Hutang Felcra RM312.22 juta: Apa sudah jadi? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 20 February 2023

Hutang Felcra RM312.22 juta: Apa sudah jadi?

 

 

 

LAPORAN  Ketua Audit Negara (LKAN) mengumumkan Felcra Bhd (Felcra) mempunyai tunggakan hutang tidak mampu dibayar berjumlah RM312.22 juta pada tahun 2021.

 

Jumlah ini meningkat sebanyak 280% yang mana jumlah tunggakan hutang pada tahun 2020 hanya RM82 juta.

 

LKAN juga melaporkan sehingga 31 Disember 2021, Felcra masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.67 bilion.

 

Kegagalan  dan hutang Felcra

Status kewangan semasa FELCRA tidak mencapai petunjuk perspektif dan penurunan kos pentadbiran. FELCRA mengaitkan kegagalan itu disebabkan peningkatan perbelanjaan disebabkan program tanggungjawab sosial korporatnya berjumlah RM10 juta yang tidak diperuntukan pada awal tahun.

 

Namun begitu, ia bukan satu alasan untuk Felcra terus “menuding jari” mengenai jumlah hutangnya yang semakin banyak.

 

 

feclra

 

 

Secara asasnya,  hutang yang semakin meningkat ini adalah kegagalan Felcra dalam mencatat keuntungan bagi setiap tahun di samping kos operasi dan pentadbiran semakin meningkat.

 

Adakah Felcra akan terus berdiam diri dan membiarkan hutang Felcra akan meningkat dan terus meningkat saban tahun?

 

Penstrukturan semula dan perancangan strategik

Felcra perlu segera menstruktur semula operasinya dengan memaksimumkan tenaga kerja terutamanya tenaga kerja ladangnya selaras dengan keperluannya supaya dapat meningkatkan produktiviti hasil dan pendapatan Felcra pada tahap optimum.

 

Felcra juga perlu melabur dengan “teknologi”  serta mengguna pakai sistem secara digital bagi pengurusan penyenggaraan operasi terutamanya kilang sawit seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

 

Pada masa kini, pengurusan operasi ladang adalah tidak cekap kerana tidak mematuhi jadual perancangan pembajaan dan jadual pusingan penuaian. Felcra gagal mengatur jadual operasi ladangnya dengan  tenaga kerja yang telah tinggal melebihi tempoh sah laku Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

 

felcra

Felcra perlu proaktif tambah peluang perniagaan lain

Selain mengurangkan kos operasi, Felcra yang dahulunya yang lebih tertumpu kepada pengurusan ladang sawit dan menguruskan lebih 260,000 hektar ladang kelapa sawit di Malaysia perlu mengintai peluang lain.

 

Felcra perlu proaktif membangunkan teras perniagaan yang lain seperti sub sektor makanan pertanian yang perlu menjadi tumpuan utama dalam sektor pertanian untuk mencapai agenda meningkatkan jaminan makanan Malaysia dan menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi barisan hadapan pertanian.

 

Segera bangunkan Pelan Transformasi 3.0

Felca perlu segera bangunkan Pelan Transformasi 3.0 khususnya bagi membantu negara dalam isu jaminan sekuriti makanan.

 

Felcra mempunyai keupayaan dalam isu sekuriti makanan ini. Antara yang boleh diberi penekanan dalam pelan ini berkaitan isu kurangnya bekalan ayam, minyak masak, beras dan lain- lain barangan keperluan asas yang mana  barang-barang ini masih lagi bergantung kepada import.

 

Kekurangan bekalan ayam peluang terbaik Felcra

Menerusi Pelan Transformasi 3.0,  Felcra  boleh memastikan kestabilan dan jaminan bekalan asas untuk rakyat Malaysia. Melalui pelan ini, Felcra boleh mengeluarkan ayam daging, beras dan minyak masak.

 

Melalui pelan ini, Felcra  perlu bersama-sama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) boleh memenuhi permintaan ayam daging dalam negara. Jika pelan ini berjaya, dijangka akan mengeluarkan 6 juta ayam daging setahun bagi penggunaan dalam Malaysia.

 

 

felcra

 

 

Ia sedikit sebanyak sumbangan Felcra kepada negara dalam membantu negara bagi mengukuhkan jaminan sekuriti makanan di Malaysia.

 

Terdahulu,  Felcra sudah mula mengorak langkah dengan memulakan projek ternakan ayam ini  di Rompin Pahang seluas 20 hektar.

 

Felcra sedang mengintai peluang untuk memperluaskan projek ternakan ayam ini  di Kedah dan Kelantan pula.

 

Apa yang diharapkan suntikan dana sebanyak RM42 juta ini membawa pulangan pelaburan (ROI) yang baik. Jangan habis begitu sahaja tanya ROI sudah lah!.

 

Sudah sampai masanya dengan jenama sendiri

Felcra juga boleh menerokai bidang padi dan beras. Felcra dilihat mempunyai kekuatan dalam menerokai bidang padi dan beras.

 

Masih banyak lagi sawah-sawah yang terbiar di Malaysia. Felcra boleh berhubung dengan tuan tanah untuk mengusahakan kembali sawah-sawah yang terbiar itu.

 

 

volatiliti

 

 

Sawah-sawah yang terbiar ini boleh dipajak oleh Felcra dan diusahakan.  Sasarannya adalah supaya Felcra dapat menghasilkan sehingga 40,000 tan padi setahun.

 

Dari jumlah 40,000 tan setahun ini, jika telah diproses menjadi beras dan dibungkus dengan pek 5 kilogram (kg)  bagi setiap pek, sebanyak 3.6 juta bungkus beras 5 kg dapat dihasilkan.

 

Felcra boleh membungkus beras ini dengan jenama sendiri. Hebat!

 

Selain itu, jumlah ini satu jumlah yang banyak dan sekali gus boleh mengurangkan ke bergantungan import beras negara.

 

Hutang ditukar kepada ekuiti kerajaan

Semoga tahun 2023 ini Felcra akan berjaya mencatat keuntungan yang tinggi selari dengan “tanggungjawab” Felca dalam Pelan Transformasi 3.0.

 

Hutang Felcra kini ditukar statusnya daripada pinjaman kerajaan kepada ekuiti kerajaan.

 

Pertukaran hutang kepada ekuiti kerajaan ini menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap isu bebanan hutang yang dihadapi oleh Felcra.

 

Keadaan ini  telah memberi ruang kepada Felcra untuk memperkukuhkan kedudukan kewangannya bagi jangka masa panjang yang sekali gus dapat melunaskan tanggungjawab sosial kepada peserta dan negara amnya.

 

 

tnb

 

 

Jangan terlalu selesa

Sebagai sebuah entiti korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan (diperbadankan), Felcra mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan teras utama pengoperasian syarikat perlu capai bagi memenuhi mandat sosial syarikat untuk rakyat khususnya kepada peserta dan negara amnya.

 

Felcra tidak boleh  terlalu selesa” dengan “status quo” yang dimilikinya dengan asyik mengharapkan bantuan daripada kerajaan sahaja.

 

Seharusnya Felcra perlu  bekerjasama dengan kerajaan dalam mencari pasaran baharu dan pada masa yang sama menggalakkan pelaburan bagi mengukuhkan kedudukan dan mengurungkan jumlah hutangnya!  - DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor

 

Portfolio Tags