Mampukah Malaysia menjadi Hab Automotif ASEAN? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 28 November 2023

Mampukah Malaysia Jadi Hab Automatif ASEAN?

 

 

SEKTOR automotif boleh menjadi satu “sumber pendapatan” yang baik buat Malaysia. Sektor ini boleh menjadi satu kuasa ekonomi buat negara terutamanya di rantau ASEAN. Namun persoalannya, mampukah Malaysia menjadi kuasa industri automotif di rantau ASEAN?

 

Malaysia perlu komited untuk membangunkan industri automotif sebagai sektor ekonomi strategik jika mahu menjadi kuasa besar dalam industri automotif di rantau ASEAN.

 

Buat masa kini, banyak negara di dunia dan negara-negara pengeluar utama automotif menunjukkan bahawa impak penting daripada industri automotif ini sebagai kuasa ekonomi di samping penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja mahir.

 

Peluang muncul dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, sistem simpanan tenaga dan perkhidmatan sokongan bagi kenderaan elektrik (EV) perlu di manfaat oleh Malaysia untuk mengusai ASEAN.

 

Pentingkah industri automotif kepada Malaysia?

Industri automotif Malaysia ialah sebahagian penting dan strategik dalam sektor perkilangan. Industri ini merangkumi pengeluaran kenderaan bermotor termasuk kenderaan penumpang, kenderaan komersial, motosikal dan skuter serta komponen dan alat ganti automotif. Sub-sektor automotif adalah sebahagian daripada ekosistem lengkap yang merangkumi sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan sokongan dalam bidang automotif.

 

Industri ini sangat penting kepada ekonomi Malaysia. Impak kemajuan industri automotif negara dapat dilihat melalui aktiviti ekonomi yang dijana seperti mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran teknikal, pindahan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing.

 

Industri automotif perlu transformasi berskala besar

Jika mahu menguasai ASEAN industri automatif di Malaysia perlu membuat transformasi berskala besar.

 

Pastinya perubahan landskap automatif terarah kepada pembangunan dan infrastruktur EV dan dan Internet Pelbagai Benda (IoT).

 

Malaysia perlu menggunakan teknologi terkini dalam transformasi industri ini selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

 

Perlu tarik lebih ramai pelaburan

Malaysia perlu komited untuk menarik pelaburan dalam industri EV bagi  mencapai sasaran negara membuat EV termasuk hibrid (xEV) sekali gus menyumbang 15% kepada jumlah keseluruhan industri (TIV) ) pada tahun 2030.

 

Malaysia perlu bersedia dari segi infrastruktur untuk menarik lebih ramai pelabur dalam industri ini. Dari segi infrastruktur pengecasan, kerajaan perlu untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 unit kemudahan pengecasan awam menjelang 2025.

 

Malaysia perlu mengutamakan pembangunan ekosistem EV dan juga mengalu-alukan sokongan berterusan daripada pihak industri untuk membuat EV serta membangunkan satu ekosistem yang kukuh.

 

Kerajaan juga boleh menggalakkan pembangunan EV di Malaysia dengan memberi pakej insentif tambahan yang lebih menarik untuk menggalakkan pembangunan ekosistem EV. Terdahulu Malaysia telah mensasarkan EV menyumbang 15% kepada kumlah keseluruhan industri  (TIV) sektor automotif menjelang 2030. TIV sektor automotif dijangka meningkat sebanyak 2%-5% dari tahun 2022.

 

Thailand persaingan buat Malaysia

Industri automotif di Thailand semakin berkembang apabila jenama-jenama dari luar mula yakin dan melabur dengan begitu banyak di negara gajah  ini, terutamanya selepas melihat kepada pertumbuhan jualan.

 

Thailand dilihat sebagai pesaing buat Malaysia jika mahu menjadi hab terbesar ASEAN. Terdahulu, pengeluar EV dari China BYD telah menandatangani perjanjian untuk membeli hampir satu kilometer persegi tanah di Rayong di mana ia dijangka beroperasi untuk mengeluarkan EV pada 2024. Menurut pemaju estet perindustrian Thailand, ia merupakan urus niaga terbesar syarikat itu dalam tempoh 25 tahun.

 

Kini, China merupakan pelabur terbesar Thailand  dan telah menyingkirkan Jepun buat kali pertama sejak 1994. Kini, jenama China mendominasi pasaran EV di negara Thailand meskipun pasaran EV di Thailand hanya membentuk kurang daripada 1%.

 

Apa kelebihan Thailand?

Thailand dilihat mempunyai kebolehan dalam menawarkan rantaian bekalan yang baik yang menjadi faktor utama pelabur luar terutamanya pelabur dalam industri automotif masuk ke Thailand.

 

Walaupun persaingan di kalangan ASEAN sememangnya kuat seperti dari Malaysia, Vietnam dan Indonesia, Thailand telah lebih bersedia untuk membangunkan industri automotif negara itu dengan telah merancang mengeluarkan kenderaan EV sebanyak 30% menjelang 2030.

 

Pelabur Jepun juga menaruh harapan besar untuk pasaran Thailand apabila mula  mengembangkan pengeluaran di kilang cip di utara Bangkok sebanyak 70% serta meningkatkan bilangan pekerja kepada 3,000 daripada 1,000 menjelang fiskal 2024. Ini menunjukkan pelabur luar mula “percaya” pada Thailand.

 

Sementara itu, Honda Motor pula mengumumkan negara Gajah ini telah memulakan pengeluaran besar-besaran SUV elektrik sepenuhnya di Thailand pada tahun ini iaitu 2023. Honda juga akan mengeluarkan kereta dan motosikal di Thailand, Indonesia serta India tetapi hanya mempunyai kemudahan penyelidikan dan pembangunan di Thailand.

 

Tarik pelabur China

Kerajaan Malaysia perlu memperkasakan jalinan kerjasama ekonomi dengan  kerajaan China bagi menarik lebih banyak syarikat China untuk melabur dalam sektor automotif di Malaysia.

 

Malaysia telah meterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara EVE Energy Malaysia Sdn.Bhd. (EVE) dan Pemaju Kelang Lama Sdn Bhd.

 

EVE yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pengeluaran bateri litium dari China EVE Energy Co Ltd menerusi anak syarikatnya EVE Asia Co Ltd memeterai MoU itu dengan Pemaju Kelang Lama untuk membina kilang pembuatan bateri litium-ion silinder EVE bernilai AS$422.3 juta ( di Kedah.

 

Ini merupakan satu pelaburan yang besar buat Malaysia dalam usaha mengukuhkan industri automotif negara bagi menguasai ASEAN.

 

Pelaburan besar daripada China ini  dijangka menjana kira-kira 600 peluang pekerjaan baharu berkualiti tinggi dan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

 

Dengan penubuhan kilang pembuatan EVE di Kedah itu akan mengukuhkan ekosistem industri automotif negara.  Industri bateri adalah komponen yang diperlukan dalam peralihan ke arah yang lebih mampan dengan pengangkutan menggunakan elektrik dan mengimbangi grid kuasa.

 

Industri automotif negara perlu patuhi piawaian ESG

Bagi menjadi hab atau kuasa dalam industri automotif di ASEAN, industri automotif Malaysia  perlu memastikan ekosistem di Malaysia memenuhi matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai satu keperluan pada masa depan.

 

Industri automotif di Malaysia perlu satu  rangka kerja kemapanan dan sasaran jangka sederhana bagi  perlaksanaan ESG. Rangka kerja ini perlu memberikan penekanan pengawasan pengurusan dalam hal-hal ESG, termasuk dasar-dasar dalaman dan keutamaan tanggungjawab, berdasarkan sasaran ESG dalam industri automotif di Malaysia.

 

Jika kerajaan mahu, industri ini menjadi satu kuasa ekonomi dan menguasai ASEAN, elemen ESG ini perlu di utamakan dalam setiap sasaran yang di tetapkan.

 

Moga Malaysia akan menjadi kuasa besar dalam industri automotif di ASEAN! - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

 

Portfolio Tags