WEF: Kadar faedah tinggi, apa nasib Asia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 23 January 2024

WEF: Kadar faedah tinggi, apa nasib Asia?

 

 

 

MESYUARAT Forum Ekonomi Dunia (WEF) merumuskan kadar faedah yang tinggi akan menjadi ancaman utama ekonomi untuk tahun 2024.

 

Apa yang agak membimbangkan apabila kadar faedah yang tinggi khususnya di Amerika Syarikat akan menjejaskan negara membangun.

 

Menurut Presiden Peterson Institute for International Economics (PIIE), Adam Posen semasa membentangkan ucapannya yang bertajuk The Prices We Pay menyatakan masyarakat dunia pasti akan terkesan dalam beberapa tahun akan datang dalam konteks makro-ekonomi adalah kadar faedah yang tinggi.


 

terengganu inc

 


Membawa kepada kesan inflasi

Kadar faedah yang dijangka tinggi ini potensi untuk meningkatkan kadar inflasi.

 

Kadar faedah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kos pinjaman meningkat, yang pada gilirannya boleh meningkatkan kos produk dan perkhidmatan dan akhirnya mengheret kepada inflasi.

 

Namun ramai yang tidak boleh menghubungkan bagaimana kadar faedah ini dengan inflasi?

 

Kadar faedah yang tinggi boleh menyebabkan inflasi melalui beberapa mekanisme ekonomi.

 

Pertama:

Kos Pembiayaan yang Tinggi: Kadar faedah yang tinggi bermakna kos untuk meminjam wang menjadi lebih mahal. Ini termasuk kos faedah yang perlu dibayar oleh perniagaan, individu, dan kerajaan ketika mereka mengambil pinjaman.

 

Apabila kos pembiayaan meningkat, perniagaan cenderung menaikkan harga produk dan perkhidmatan mereka untuk menutupi kos yang lebih tinggi tersebut.

 

Kedua:

Pengurangan Pengeluaran dan Pelaburan: Kadar faedah yang tinggi boleh mengakibatkan pengurangan pengeluaran dan pelaburan oleh perniagaan dan individu. Ini disebabkan oleh kos yang lebih tinggi untuk meminjam, yang mengakibatkan penurunan permintaan barang dan perkhidmatan.

 

Dengan pengurangan permintaan, peniaga mungkin mencuba mengekalkan keuntungan dengan menaikkan harga, menyebabkan peningkatan inflasi.


 

waionuiomata

 


Ketiga:

Impak ke Atas Pembelian Harta Modal: Kadar faedah yang tinggi boleh memberikan impak terhadap pembelian hartanah dan aset modal lain.

 

Kenaikan kos pinjaman untuk hartanah dan pelaburan boleh menyebabkan penurunan permintaan di pasaran hartanah. Penurunan ini dapat mempengaruhi harga hartanah, yang kemudian menyumbang kepada inflasi.

 

Keempat:

Peningkatan Kos Modal dan Operasi: Kadar faedah yang tinggi meningkatkan kos modal dan operasi perniagaan. Perniagaan yang menghadapi kos yang lebih tinggi mungkin akan menaikkan harga produk mereka untuk mengekalkan keuntungan.

 

Peningkatan kos operasi ini dapat menyebabkan peningkatan kos produksi secara keseluruhan, yang kemudian boleh menyumbang kepada inflasi.

 

Keempat-empat mekanisme ekonomi ini yang menjelaskan hubungkait antara kadar faedah dan inflasi. Dengan kadar faedah yang tinggi akan membawa kepada kepada inflasi. Pastinya semua negara di dunia sedang bergelut dengan situasi inflasi ini.

 

Ketegangan hubungan antara China dan Amerika Syarikat

“Perbalahan” antara China dan Amerika Syarikat (AS) secara purata turut berisiko meningkatkan kadar faedah kerana aliran dana antara dua negara terjejas.

 

Hubungan China dan Amerika Serikat tidak menunjukkan “jalan damai” dengan masa depan hubungan yang tidak dan ketegangan masih berlaku dalam perebutan semikonduktor, dan persaingan ketenteraan yang semakin meningkat.


 

parafrasa

 


Pada November 2023 yang lalu pertemuan Presiden AS Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping masih belum mampu meredakan ketegangan di antara kedua negara.

 

Jika “perang” China dan Amerika Syarikat ini terus berlaku, negara lain di dunia juga akan menerima kesannya akibat meningkatkan kadar faedah kerana aliran dana antara dua negara terjejas.

 

Kesan kepada Asia, kadar faedah AS meningkat

Akibat kadar faedah yang tinggi ini, penganalisa ekonomi meramalkan pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat akan melemah dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika Utara juga akan mengalami nasib yang sama.

 

Namun begitu, berbeza dengan pertumbuhan ekonomi  Asia yang  dijangka  sederhana dan kekal positif pada tahun 2024 ini.

 

Sebanyak 93%  pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan sederhana bagi Asia pada 2024 manakala 86%  pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan tidak berubah.

 

China lindungi ekonomi Asia

Walaupun ekonomi global akan banyak bergantung kepada AS termasuk Asia, Asia kini telah berjaya memperbaiki struktur ekonomi Asia sendiri dengan meningkatkan produktiviti, dan memperluas pasaran eksport.

 

Kejayaan ini juga disokong oleh pembangunan infrastruktur yang pesat, meningkatkan perniagaan antarabangsa, dan pelaburan dalam pendidikan dan penyelidikan.

 

China memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Asia. China telah menjadi pusat inovasi, teknologi, dan perdagangan yang membawa impak positif kepada kesejahteraan ekonomi serantau.

 

Kemunculan China sebagai “kuasa baharu ekonomi dunia” juga memberikan peluang kepada negara-negara Asia yang lain untuk menjalin kerjasama ekonomi dan perdagangan yang melibatkan perkongsian teknologi, pemindahan pengetahuan, dan peluang perniagaan yang saling menguntungkan.


 

iktisad

 


Jangkaan KDNK Malaysia meningkat tahun 2024

Dalam menghadapi kelembapan ekonomi global dan kesan kadar faedah AS yang tinggi, Malaysia perlu mengukuhkan ekonomi negara.

 

Pertumbuhan ekonomi global dijangka menurun pada 2024 kepada sekitar 2.8% berbanding pertumbuhan 2023 sebanyak 3.3%.

 

Bagi Malaysia pula, jangkaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara berkembang 4.4%  pada 2024 berbanding pertumbuhan 3.9% pada 2023 boleh dicapai jika perbelanjaan pengguna yang utuh, peningkatan penggunaan kerajaan dan pelaburan swasta.

 

Jika ekonomi Malaysia mendapat sokongan daripada pemulihan dalam perkhidmatan berkaitan perdagangan dalam industri perkhidmatan dan pembuatan iaitu pelancongan dan elektronik, ia pasti lebih baik dan menyumbang kepada KDNK yang lebih tinggi pada tahun ini.

 

keadaan ekonomi Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam membentuk landskap ekonomi global dan mempunyai kesan langsung ke atas pertumbuhan dan kestabilan ekonomi di negara-negara Asia.

 

Laksanakan dasar ekonomi

Bagi menghadapi tekanan kesan faedah AS yang tinggi ini, Malaysia perlu mengambil langkah-langkah seperti diversifikasi ekonomi, memperkuatkan kebolehpercayaan dalam sektor kewangan, dan menyusun strategi ekonomi yang bersifat mampan bagi mengatasi ketidakpastian global.

 

Tahun 2024, Malaysia perlu melaksanakan dasar-dasar yang sudah dirancang.

 

Jangan dok bangunkan dasar dan pelan lagi, laksanakan sahaja semua dasar yang telah dirancang bagi mengukuhkan ekonomi menghadapi pasaran global yang  tidak menentu. Ayuh Malaysia! - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags