Berpuasa dan beramal di Gaza, Palestin pada Ogos 2010
Wilayah Gaza adalah 41 kilometer panjang, dari 6 hingga 12 kilometer lebar, dan mempunyai jumlah keluasan 365 kilometer persegi.
Dengan kira-kira 1.85 juta penduduk Palestin pada kira-kira 362 kilometer persegi, Gaza, jika dianggap sebagai unit politik peringkat atasan, menduduki tempat ke-3 paling padat penduduk di dunia.
Pada 10 Ogos 2000, sukarelawan seramai 45 orang dari pelbagai latar belakang dan usia berkumpul di KLIA untuk menghantar bantuan berjumlah kira-kira RM3 juta dalam bentuk makanan, ubat-ubatan dan pelbagai keperluan kepada penduduk Gaza.
Kira-kira jam 8.30 malam, suasana di Balai Berlepas, KLIA meriah dengan sukarelawan, sekretariat, ahli keluarga dan pihak media bagi menunjukkan sokongan kepada program ini.
Turut menyertai misi ini ialah Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (bekas Pengerusi Persatuan Ulama' Malaysia) dan rakan media termasuk saudara Mohd. Nizal Mohamad (bekas wartawan TV3).
Semangat perjuangan turut dirasakan dalam kalangan ahli keluarga sukarelawan. Meskipun memahami risiko yang bakal ditanggung, riak wajah tenang oleh keluarga dan para sahabat yang mengiringi menenggelamkan suasana pilu yang wujud di hati masing-masing.
Penerangan akhir diberikan oleh Setiausaha Agung MAPIM, Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi serta Mustapha Mansor. Pesawat berlepas dari KLIA kira-kira jam 10 malam.
Misi tersebut dianjurkan susulan enam kapal awam Gaza Freedom Flotilla yang diserang pada 31 Mei 2010 di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean. Sembilan aktivis terbunuh di dalam satu kapal yang diserang tentera Israel.
Misi 'Ramadan March for Freedom', selepas melalui Terusan Suez tiba di Gaza pada 5.15 petang (waktu tempatan) Selasa (10.30 malam waktu Malaysia), berlepas dari El-Arish dan tiba ke Rafah, sebuah bandar pelancongan 345 km dari Kaherah.
Dengan menaiki empat van, mereka tiba di Rafah pada 4.30 petang (waktu Malaysia) sebelum bertolak ke Gaza setengah jam kemudian.
Kumpulan sepatutnya melalui 18 pusat pemeriksaan dari Kaherah ke El-Arish yang terletak tidak jauh dari bandar Rafah. Walaubagaimanapun, di pusat keempat di Belize, polis terus mengiringi kami ke El-Arish.
Pemeriksaan keselamatan di setiap pusat mengambil masa kira-kira 15 minit manakala perjalanan dari Kaherah ke El-Arish mengambil masa selama enam jam.
Misi itu berada di Gaza sehingga 18 Ogos.
Rombongan di atas dasar keprihatinan rakyat Malaysia tentang nasib saudara-saudara di Gaza, Palestin, telah bangkit merealisasikan program Ramadan Di Gaza.
Misi ini bertujuan untuk mengumpul maklumat dan membuat dokumentasi yang berkaitan untuk tujuan mengenal pasti bantuan dan keperluan umat Palestin khususnya di Gaza.
Selain itu kami juga akan menghulurkan bantuan makanan dan perubatan yang sewajarnya kepada penduduk Gaza yang memerlukan. Lebih menarik kami akan cuba berpuasa bersama penduduk Gaza pada peringkat awal Ramadan.
Pada saya, kalau ditakdirkan Allah apa-apa berlaku kepada kami, termasuk kemungkinan terkorban, kami berharap Allah akan mencatatkannya sebagai sebahagian daripada amal kami yang tidak seberapa.
Tiga dari enam kapal flotila, yang dianjurkan oleh Gerakan Gaza Bebas dan Yayasan Turki untuk Hak Asasi Manusia dan Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan (İHH), membawa bantuan kemanusiaan dan bahan binaan, dengan tujuan untuk memecahkan sekatan Israel di Gaza.
Israel telah mengeluarkan peringatan supaya membatalkan misi mereka yang disifatkan oleh rejim zionis sebagai provokasi.
Anggota rombongan yang tiba, masing-masing merasai keletihan namun keadaan mereka menggambarkan kegembiraan setelah berjaya memasuki Gaza dengan selamat.
Kami melahirkan rasa teruja dengan sikap penduduk Gaza yang disifatkan lembut berbanding Arab di negara lain. Sempat menyelami cerita-cerita Gaza yang dibawa oleh anggota-anggota rombongan.
Menyentuh usaha kami, pihak rombongan ini akan terus membantu penduduk Gaza dengan beberapa rancangan yang telah disusun atur.
Dua wira Mavi Marmara Malaysia yang terlibat di dalam tragedi berdarah menggemparkan dunia pada 31 Mei menerima watikah penghargaan tertinggi daripada Perdana Menteri Gaza Palestin, Ismail Haniyeh.
Mustapa Mansor, Setiausaha Inisiatif Malaysia untuk Pembebasan Palestin, MAPIM dan Ashwad Ismail, wartawan Astro Awani (sekarang Ketua Pengarang) dikejutkan dengan penyampaian watikah sewaktu kunjungan hormat delegasi pada jam 2.00 petang waktu tempatan di Pejabat Perdana Menteri itu.
Sewaktu diminta reaksi spontan selepas menerima watikah penghargaan, kedua-duanya menyatakan kegembiraan dan kesyukuran masing-masing.
"Saya gembira dan terharu dengan kesungguhan pihak pemerintah Hamas Gaza. Sebenarnya mereka sangat sensitif dan prihatin dengan apa yang terjadi. Keprihatinan mereka sangat tinggi terhadap sesiapa sahaja yang telah berkorban untuk pembebasan Palestin," luah Mustapa.
"Secara peribadi, penghargaan ini meningkatkan lagi keyakinan dan kesungguhan diri saya untuk terus melakukan inisiatif mempertingkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin. Bagi MAPIM pula saya bersyukur kerana inisiatif yang tidak mengenal penat lelah yang dilakukan MAPIM selama ini tidak sia-sia malah akhirnya membuahkan hasil dan mendapat pengiktirafan," tambah beliau lagi.
Ashwad pula memberi reaksi tersendiri. Kata beliau, "Saya melihat ini sebagai sesuatu yang cukup berharga dalam pengalaman sebagai seorang wartawan muda sepanjang usaha mengetengahkan konflik enam dekad Asia Barat.
''Saya amat menghargainya dan ia menjadi pembakar semangat kepada saya dan juga rakan-rakan wartawan lain untuk melaporkan realiti sebenar keadaan yang menimpa rakyat Gaza dan Palestin akibat penjajahan dan kekejaman dasar zionis kerajaan Israel."
Acara yang dihadiri menteri dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan Gaza Palestin telah mendapat liputan meluas stesen televisyen tempatan Al-Quds dan Al-Aqsa. Dalam pertemuan satu setengah jam itu, pelbagai perkara telah dikemukakan kepada Ismail Haniyeh.
Antaranya termasuk, cadangan pembinaan Hospital Kanak-Kanak di bandar raya Gaza, bantuan kemanusiaan termasuk makanan, kemasyarakatan dan perubatan serta usaha sama pendidikan khususnya institusi pengajian tinggi.
Acara bersejarah itu juga menyaksikan Perdana Menteri Gaza Palestin mengalungkan selendang tertera bendera Palestin dan Malaysia kepada semua anggota delegasi. Sebelum beredar, delegasi sempat mengambil gambar beramai-ramai bersama Ismail Haniyeh.
Kepimpinan wanita Hamas sangat berkarisma, berwibawa dan sangat solehah. Pimpinan yang lelaki sangat mesra dan low profile. Kagum dengan kepimpinan Hamas
Sempat bertarawikh di masjid tertua di Gaza yg berusia 1500 tahun. Bacaan imam sangat mantap, kemas dan merdu.
Misi Ramadhan Di Gaza adalah untuk melihat tapak cadangan untuk hospital pediatrik di Gaza. Di samping itu berkemungkinan upacara perletakan batu asas untuk pembinaan tersebut bakal dijalankan. Sebahagian dari dokumen cadangan pembinaan hospital yang bernilai kira-kira RM127 juta.
(bersambung minggu hadapan)
Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com