Bertemu pelajar Malaysia di Jordan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 1 June 2023

Bertemu pelajar Malaysia di Jordan

 

 

 

SAYA pergi ke sebuah masjid dan bertemu ramai pelajar Malaysia yang belajar di universiti Yarmouk. Mereka berehat sambil menunggu waktu berbuka puasa seperti kami yang mencari tempat berbuka.

 

Saya ingin tahu pembelajaran di Jordan dari pelajar dan mendengar dengan ralit kisah dari pengalaman mereka.

 

Ada senarai universiti yang menempatkan pelajar-pelajar Malaysia, Jordan University of Science Technology yang menempatkan pelajar Perubatan dan Pergigian tajaan JPA, Mara dan Persendirian. Dalam bidang Agama dan Bahasa Arab di Universiti Yarmouk, Universiti Al Bayt, University of Jordan dan Universiti Mu’tah.  

 

Universiti Jordan sering disingkatkan sebagai UJ, ialah sebuah universiti awam. Ia diasaskan pada tahun 1962 melalui titah diraja, dan merupakan institusi pengajian tinggi terbesar dan tertua di Jordan.

 

 

jordan
Menara Jam di Universiti Jordan

 

 

Terletak di ibu kota Amman di kawasan Jubaiha di Daerah Universiti. Ia terdiri daripada 20 fakulti dan mengandungi lebih 95 jabatan. Strategi dan peraturan utama universiti adalah untuk menjadi global dan produktif dalam semua bidang pendidikannya.

 

Daerah Universiti dianggap sebagai salah satu bahagian paling maju di Amman, dengan sejarah pendidikan, budaya dan kepadatan penduduk yang tinggi. Universiti Jordan sering digelar sebagai "universiti ibunda", berpunca daripada fakta universiti pertama di Jordan dan telah menamatkan pengajian ramai tokoh awam dan politik yang mengambil peranan penting dalam kerajaan dan media serta membantu menubuhkan universiti lain di Jordan dan negara jiran.

 

Universiti Yarmouk atau nama singkatannya YU adalah sebuah universiti di Jordan terletak di bahagian utara Jordan iaitu sebuah kawasan yang memiliki kadar populasi yang tinggi dan ianya terletak di tengah-tengah pertemuan jalan yang menghubungkan Jordan, Syria, Turki dan Eropah malah meluas hinga ke Selatan Aqabah. Ditubuhkan pada 24 Jun 1975.

 

 

Yarmouk
Universiti Yarmouk

 

Universiti Yarmouk mempunyai beberapa perkongsian antarabangsa dengan universiti  di luar negeri dimana sebuah agensi kerajaan yang dibiayai, tetapi menikmati tahap autonomi.

 

Universiti Yarmouk juga mempunyai Sekolah Menengah Swasta di Kampus iaitu sebuah institusi yang sepenuh di bawah jagaannya. Sebagai Model Sekolah Universiti Yarmouk (YUMS), walaupun sekolah tersebut menikmati tahap autonomi  namun penerimaannya terhad kepada kakitangan Universiti dan ahli akademik yang lain.

 

Tidak dapat dipastikan pada tahun berapa Universiti Yarmouk tidak mampu menampung bilangan pelajar yang terlalu ramai lebih-lebih lagi pelajar perubatan, oleh itu dipecahkan. Sebuah bagunan khas dibina untuk bidang perubatan dan pergigian, bidang kedoktoran dan perubatan Universiti Yarmouk dikenali sebagai Jordan of University Science & Technology (JUST).

 

Oleh yang demikian, Universiti Yarmouk terus didesak pihak tertentu untuk diluaskan bidangnya sehingga sekarang terdapat keseluruhan bidang, tidak terkecuali satu pun, ianya termasuklah Bidang Pengajian Islam, Agama, Art, Adab, Tarbiah, Fizik, Kimia, kedoktoran, Kejuruteraan, Pendidikan Sekular, dan banyak lagi namun yang diiktiraf Kerajaan Malaysia adalah JUST (Kedoktoran, Pergigian dan Fizik), Pengajian Islam dan Tarbiah Islamiah sahaja.

 

Universiti Yarmouk bercita-cita untuk menawarkan lebih banyak jurusan bagi memenuhi pelbagai keperluan di negara Jordan dan masyarakat Arab.

 

Seorang ustaz telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis semasa menuntut di Yarmouk. Pengalaman bermula apabila beliau mengikuti kursus bahasa di pusat bahasa atau lebih dikenali dengan markaz lughah. Satu persediaan sebelum beliau mengikuti satu lagi markaz lughah yang diatur oleh Universiti Yarmouk sebelum mengikuti kursus sebenar dalam bidang yang diambil.

 

Para pelajar yang terlibat dengan markaz lughah terdiri daripada pelbagai bangsa dan mereka yang berwarga Negara Malaysia hanyalah seramai 4 orang. Walaupun di sebuah Negara Arab, namun mereka masih belum mampu untuk bertutur dalam bahasa Arab dengan baik kerana di peringkat permulaan. Oleh itu, salah satu kesukaran yang timbul pada ketika ini adalah kesukaran untuk berkomunikasi.  

 

 

Yarmouk

 

 

Sempat menceritakan pengalamannya ketika tahun pertama memasuki kuliah di Universiti. Beliau tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang diterangkan oleh pensyarahnya ketika sesi kuliah berlansung sehingga beliau pernah menangis. Namun begitu, masalah tersebut dapat diatasi apabila  ikhtiar untuk membaca sendiri kitab-kitab dengan meminta pertolongan rakan lain untuk menerangkannya. Setelah beberapa bulan mengikuti markaz lughah, beliau dapat merasakan pemahaman terhadap bahasa Arab bertambah sedikit demi sedikit.  Dapat bertutur dalam bahasa Arab dengan baik pada tahun tiga pembelajaran.

 

Mahasiswa yang baru mengikuti pengajian di Yarmouk turut meminta pertolongannya dalam pembelajaran terutama dalam menterjemah kitab-kitab Arab. Di Universiti Yarmouk, ada rumah yang dikenali sebagai rumah negeri dan menempatkan pelajar daripada Malaysia sahaja. Perjalanan untuk pergi ke Universiti mudah kerana penempatan yang disediakan untuk pelajar adalah berhampiran dengan Universiti. Perjalanan daripada rumah pelajar ke Universiti  hanya memakan masa lebih kurang 10 minit sahaja dengan berjalan kaki.

 

Penempatan sebegitu ada baik dan buruknya. Kebaikannya adalah mudah untuk berkumpul bersama  serta merapatkan lagi hubungan  diantara pelajar. Manakala keburukannya para pelajar sukar untuk berdikari dan berkomunikasi dalam fasahah dengan baik. Ini kerana pelajar tidak mengambil peluang untuk tinggal bersama-sama pelajar yang berlainan bangsa yang mampu untuk meningkatkan kemahiran pertuturan mereka dalam bahasa Arab.

 

Sistem pembelajaran di Universiti Yarmouk terbahagi kepada tiga semester. Dua semester wajib ambil, satu semester tidak wajib di musim panas. Dalam setiap semester wajib boleh ambil 6 subjek sahaja. Untuk semester musim panas pula 3 subjek paling banyak boleh ambil.
 

Menurut pelajar itu jadual kuliah kena susun sendiri dan bergantung kesukaan untuk pagi atau petang. Kalau tidak tahan bahang matahari di musim panas boleh kelas pagi. Sehari kuliah berapa jam pun bergantung kepada pelajar.
Bahasa perantaraan bagi Universiti Yarmouk adalah dalam bahasa Arab dan  bagi JUST dalam bahasa Inggeris. Bagi pelajar JUST yang teringin menambah ilmu agama, mereka boleh bermustami' kuliah di Universiti Yarmouk dan boleh mendengar kuliah-kuliah bersama pelajar Yarmouk. Ada kelebihan di situ.

 

Kelas tambahan di luar universiti disediakan dengan bayaran yang berpatutan. Antaranya kelas bahasa Arab, Al-Quran dan Aqidah.

 

Antara tokoh-tokoh kelahiran universiti di Jordan ini; Ustaz Zaharuddin (Yarmouk), Dr. Maza (Uni. of Jordan), Ustaz Hasrizal (Mu'tah) dan Dr Maszlee (Al-Bayt).

 

 

Yarmouk
Dr Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza

 

 

Diberitahu setiap individu memerlukan kos sara hidup yang berbeza-beza setiap bulan dalam lingkungan RM700-RM1,000. Bagi yang kurang berkemampuan  pintu rezeki orang yang menuntut ilmu ini sentiasa terbuka luas.  

 

Jabatan zakat setiap negeri ada menyediakan peruntukan zakat untuk setiap mahasiswa. Kuantitinya bergantung kepada negeri masing-masing. Sebagai contoh negeri Kedah memperuntukkan RM5,000 setahun, Terengganu RM9,000 ke atas dan Perak RM6,000. Kalau ada rezeki lebih, ada orang Arab memberi bantuan.

 

Cabaran  mengelirukan adalah sikap masyarakat Arab itu sendiri. Kalau yang jenis baik macam doktor-doktor universiti tidak mengapa. Mereka hormat bangsa-bangsa asing tetapi kalau dapat yang minta itu ini kena bersabar.

 

Orang Arab menganggu selalu tidak diendahkan kerana masyarakat Melayu di Amman sangat prihatin terhadap keselamatan sahabat-sahabat. Begitulah pertemuan dengan mahasiswa Malaysia di universiti di Jordan.

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

 

Rtrt

 

Portfolio Tags