Kekal di Laut Mati, polis Israel tidak benarkan masuk Baitulmuqqadis | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 18 May 2023 07:00 AM

Kekal di Laut Mati, polis Israel tidak benarkan masuk Baitulmuqqadis

 

 

SAYA berminat untuk mengunjungi Petra, sebuah daripada kota Nabatein yang terkenal di dunia. Petra terletak di Barat Daya negara Jordan, merupakan tapak warisan dunia yang telah digazet oleh UNESCO.

 

Dibangunkan oleh kaum Nabatean, kaum yang bangkit selepas  Tsamud umat Nabi Saleh. Kotanya bermula dari Mada’in Saleh di utara Madinah.

 

Nabatean merupakan kaum pedagang yang terulung dan penguasa dunia sebelum kebangkitan Empayar Rom. Kota Petra  tapak laluan perdagangan mereka dan disebabkan selalu melalui tempat itu lalu membina sebuar bandar persinggahan. Petra lengkap dengan tempat ibadat, rumah, kubur yang dipahat pada batu.


 

fudzail

 


Petra terletak di wilayah Ma’an di selatan Jordan, bersebelahan dengan Aqaba. Namun Petra di lupakan  sehingga Johann Ludwig Burckhardt datang ke situ pada tahun 1812 dan dibangunkan menjadi tempat pelancongan utama di Jordan.

 

Sebelum ke Petra, kami tiba di Laut Mati sebuah tasik dan tidak bersambung dengan mana-mana laut. Airnya sangat masin sehinggakan tiada hidupan di dalamnya.  Badan boleh terapung dengan yang mengatakan Laut Mati semakin mengering dan dijangka airnya kering sepenuhnya.

 

Saya dan Zulkifli Noordin turun untuk terapung dan bermain air. Sewaktu itu tiada orang dan menanggalkan pakaian.

 

Laut Mati ada kisahnya tersendiri iaitu berlaku pada zaman Nabi Luth. Kawasan itu bukan tasik biasa, tetapi terjadi akibat malapetaka besar. Allah SWT menurunkan azab dengan menterbalikkan kota itu dan sehingga tidak dapat dikesan.

 

Satu lagi lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai adalah Wadi Rum, tempatnya seakan-akan planet Marikh kerana keadaan pasirnya yang berwarna kemerah-merahan.


 

Wadi rum
WADI RUM

 

 

Laut Mati terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat dan merupakan tasik masin terdalam dengan kedalaman 330 meter, manakala airnya mempunyai kadar kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Assal di Djibouti.

 

Laut Mati pernah mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam riwayat peradaban manusia dengan kesan peninggalan masih dapat dilihat sehingga kini. Peristiwa paling sinonim dengan Laut Mati ialah kemusnahan kaum sodom iaitu kaum Nabi Lut yang mengamalkan gaya hidup songsang dan menafikan kenabian Nabi Lut.

 

Allah telah menurunkan bencana yang amat dahsyat, membenam kaum Lut ke dalam tanah seperti yang digambarkan di dalam al-Quran. Peristiwa tersebut dianggarkan berlaku kira-kira pada 1800 tahun sebelum Masihi.

 

“Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar”. (Surah Al-Hijr : Ayat 74)

 

Sepanjang di Laut Mati saya terhidu bau yang cukup menyeramkan di sebalik bukit bukau, hanya saya yang berbau. Saya hairan tetapi Allah menunjukkan bukti di mana kaum Luth dimusnahkan. Kemusnahan tersebut menyebabkan struktur geografi di kawasan itu turut berubah.

 

Sesungguhnya saya dapat menghidu bau yang menggambarkan zaman Nabi Lut dan merasa diri kekecilan dengan kebesaran Allah dan berishtigfar dan bertaubat.


 

sodom
Ahli arkeologi percaya mereka telah menemukan tapak bandar Sodom di Jordan.

 


Pada asalnya Laut Mati adalah dataran tanah rata bertukar menjadi kawah yang dalam sehingga membentuk tasik air masin yang luas terbentang. Dari peristiwa kaum Luth telah menyebabkan pesisir pantai Laut Mati menjadi lembah terendah di muka bumi.

 

Kalau diukur dari sudut geografi, gunung Everest diiktiraf sebagai titik tertinggi di dunia. Sedangkan pesisir pantai Laut Mati daratan terendah iaitu berada pada kedudukan 394.6 meter di bawah paras laut.

 

Laut Mati bukanlah laut merupakan sebuah tasik air masin yang berukuran 67 kilometer panjang dan 18 kilometer lebar. Disebabkan keluasannya yang sangat besar dikenali sebagai laut dengan cabang utamanya Sungai Jordan.

 

Rentetan peristiwa yang berlaku di Laut Mati disentuh al-Quran tentang struktur geografinya dan menerangkan dengan jelas kedudukan tanah rendah pesisir pantai di dalam surah Ar-Rum.

 

Di dalam surah Ar-Rum dari ayat satu hingga empat telah menggambarkan dengan jelas kedudukan geografi Laut Mati yang merupakan lembah terendah di muka bumi.

 

Firman Allah yang bermaksud, “Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah (adna) di permukaan bumi (al-ard), dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun. Bagi Allah lah urusan sebelum dan sesudah.” (Surah Ar-Rum; ayat 1-4).

 

Dimaklumkan dalam surah Ar-Rum kerajaan Rom telah ditumpaskan di tanah paling rendah di permukaan bumi. Frasa ‘adna’ di dalam bahasa Arab diertikan sebagai ‘hampir’ dalam kebanyakan tafsir. Bukanlah pengertian literal dari kenyataan yang asal, tetapi lebih berbentuk tafsiran secara kiasan dan metafora.

 

Kalimat ‘adna’ dalam Bahasa Arab berasal daripada kalimat ‘daniy’ yang bererti rendah. Dari situ tafsiran ayat untuk perkataan ‘adna al-ard’ memberi erti kawasan yang paling rendah di muka bumi.

 

Peperangan yang terjadi di antara empayar Byzantine dan Persia benar-benar terjadi di titik paling rendah di muka bumi yang terletak di titik persilangan antara tanah Syria, Palestin dan Jordan. Kekalahan menyebabkan Byzantine kehilangan wilayah Baitulmuqqadis.


 

byzantine

 


Dari ayat  meramalkan tentang kemenangan Byzantine ke atas tentera Persia pimpinan maharaja Heraklius ketika itu dijangka runtuh. Semua gabenor menentang Heraklius dan wilayah Mesopotamia, Alicik, Syria, Palestin, Mesir dan Armenia yang sebelum itu berada di bawah jajahan Byzantine telah dicerobohi oleh tentera Persia dan menjangkakan empayar Byzantine akan musnah.

 

Selepas tujuh tahun ayat pertama surah Ar-Rum ini diturunkan, berlaku peperangan sengit antara Byzantine dan Persia di Ninaveh. Byzantine akhirnya berjaya menewaskan tentera Persia benar seperti apa yang dijelaskan di dalam al-Quran.

 

Mukjizat dan kehebatan al-Quran dibuktikan melalui sains, malah mengetahui perkara yang akan berlaku. Sewaktu ayat diturunkan tiada siapa yang mengetahui altitud sebenar Laut Mati. Tiada siapa yang mampu meramal kemenangan tentera Byzantine.

 

Al-Quran adalah kalam Allah yang mengetahui segala-galanya, dan  juga berhak ke atas apa yang ada di atas muka bumi ini.


 

fudzail

 


Saya terus berada di Laut Mati kerana tidak masuk ke Baitulmuqqadis kerana ada cop Gaza di pasport dan polis Israel tidak membenarkan saya masuk. Saya terasa sedih tidak berpeluang untuk ke masjid Aqsa dan seluruh bumi Palestin.

 

Dalam perjalanan dapat melihat Baitulmuqqadis kerana jarak yang dekat dengan Laut Mati dan melawat rumah Presiden Palestin, banglo yang besar.

 

Saya juga dibawa ke tempat Nabi Isa oleh sahabat Palestin yang membawa kami dengan keretanya.

 

 

parafrasa

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA