Menjejak gua 7 pemuda tidur 309 tahun di Ashabul Kahfi, Jordan
KEMBARA saya diteruskan, kali ini untuk menjejak kisah penghuni gua atau Ashabul Kahfi, sebuah cerita benar dalam al-Quran melalui surah Al Kahfi. Kejadian yang sangat menakjubkan dan luar biasa mengenai tujuh pemuda tertidur di dalam sebuah gua selama 309 tahun.
Saya dapat mengagak akal manusia tidak dapat membayangkan dan menjelaskan bagaimana sekumpulan pemuda boleh tertidur selama ratusan tahun. Namun sebagai hamba yang beriman untuk meyakini tiada yang mustahil berlaku sekiranya Allah SWT menghendakinya dan membenarkan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah kamu menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) dan Ar-Raqiim termasuk antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan?” (Surah Al-Kahfi, ayat 9).
Timbul pertanyaan, di manakah letaknya lokasi gua yang menjadi tempat persembunyian dan ada perdebatan mengenai lokasi gua berkenaan.
Terdapat pandangan yang mengatakan Ashabul Kahfi berlaku di Turki, Jordan, Syria, Arab Saudi dan Sepanyol. Di Turki sahaja terdapat empat lokasi (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras dan Mardin).
Saya sempat menziarahi tiga lokasi di mana terdapatnya Gua Ashabul Kahfi iaitu di Abu Alanda, Jordan; Ephesus, Turki dan Jabal Qassiyun, Syria.
Dari bacaan dan kajian melalui kembara ke lokasi Ashabul Kahfi saya lebih berkeyakinan yang peristiwa itu berlaku di Abu Alanda, Jordan. Ini hasil bukti dari bacaan, tinjauan dan pemerhatian.
Apa yang boleh disimpulkan hasil dari bacaan, pemerhatian dua lokasi di Ephesus dan Jabal Qassiyun tidak banyak membuktikan berlakunya peristiwa Ashabul Kahfi.
Bukti dimaksudkan dari ciri-ciri gua yang diterangkan di dalam surah Al Kahfi. Berbeza dengan gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan.
Tiga ciri dari ayat Al-Quran yang menjadi perhatian :
Surah Kahfi ayat 17, dan terdapat sebuah lubang dari atas gua yang memasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam matahari berada dari arah pintu gua.
Surah Kahfi ayat 21, setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah Yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang Yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya Kami hendak membina sebuah Masjid di sisi gua mereka".
Terdapat rumah ibadat yang dibina ketika zaman itu yang dimaksudkan adalah rumah ibadat penganut Nasrani. Ketika zaman kerajaan Umawiah, rumah ibadat tersebut telah dijadikan masjid.
Surah Kahfi ayat 17, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu.
Ada bentuk gua yang luas dan lapang serta tidak dalam. Ada bukti diyakini dari kesan-kesan tinggalan sejarah dan arkeologi. Terdapat tulisan pada lengkungan pintu di dinding sebelah Timur yang menyatakan 'Masjid diperbaharui pada tahun 117 hijrah yang merujuk kepada zaman Hisham bin Abdul Malik bin Marwan.
Ini membuktikan sewaktu era kerajaan Umawiah sudah memperharui masjid yang sebelum itu menjadi rumah ibadat Nasrani. Kesan yang boleh dilihat ialah binaan mihrab iaitu petunjuk arah kiblat.
Tulisan khat Kufi mengisyaratkan masjid kedua di Ashabul Kahfi diperbaharui pada zaman Khomarumiah bin Ahmad Tholun dari kerajaan Abasiah. Masjid yang dibina berhadapan dengan gua Ashabul Kahfi setelah masjid pertama diwujudkan di atas gua ketika zaman Umawiah.
Kesan Nawawis di dalam gua memberi erti kubur orang Nasrani yang diletakkan mayat di dalamnya membuktikan tanda zaman kerajaan Rum, Byzantium pada kurun ke-3 masihi.
Menjadi adat mayat-mayat Nasrani dikuburkan di dalam bekas batu dan tidak mustahil telah menguruskan mayat pemuda tersebut dengan cara dan adat pada zaman itu.
Apalagi penemuan barangan tembikar, duit tembaga dan perak, lampu dari pelbagai zaman (Umawiah, Abasiah, Turki Uthmaniyyah) dan sekitarnya dengan tempat itu telah dijaga oleh pelbagai zaman yang berlalu.
Ada pokok zaitun berusia ratusan tahun tumbuh berhadapan gua walau telah mati dan kesan batang pokok zaitun yang berusia ratusan tahun ditempatkan di dalam muzium mini di dalam gua.
Dengan penemuan tulang di dalam Nawawis yang kepunyaan pemuda Ashabul Kahfi.
Dahulunya, kawasan itu dikenali sebagai Ar-Raqim kerana terdapat tapak arkeologi bernama Khirbet Ar-Raqim. Ashabul Kahfi adalah sebuah gua yang berada di atas bukit tinggi berdekatan kawasan kilang.
Pemuda melarikan diri ke kawasan yang lebih tenang dan berjauhan daripada penduduk bandar. Pemuda kemudian terjumpa sebuah gua lalu tidur nyenyak di dalamnya.
Sepanjang pemuda tidur, Allah SWT menjaga dengan matahari tidak merosakkan kulit mereka, badan tidak tertimbus dengan tanah, umur tidak tua dan haiwan berbisa juga tidak mengganggu.
Pada mulanya saya beranggapan Jordan tidak mempunyai apa-apa melainkan pemandangan padang pasir yang tandus semata-mata tetapi penuh sejarah yang menguja.
Firman Allah; “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (Al-Kahfi: 9)
Raja telah memerintahkan semua rakyatnya menyembah berhala atau berdepan dengan seksaan hingga boleh mati dibunuh. Hanya tujuh pemuda yang teguh dengan iman kepada Allah Taala melarikan diri ke dalam gua bagi membolehkan terus beriman kepada Allah yang berlandaskan ajaran Islam dari Nabi Isa.
Selepas 309 tahun lamanya, raja yang memerintah telah pun bertukar ganti dan kembali kepada agama yang menyembah Allah namun raja mempunyai masalah bagi membetulkan akidah rakyatnya yang telah lama dipesongkan oleh raja yang terdahulu. Sehinggalah pemuda di Gua Ashabul Kahfi ini dibangkitkan semula oleh Allah.
Setelah mereka bangun dari tidur, perbualan antara pemuda bermula.
"Mungkin kita telah tidur lebih sehari atau dua" kata salah seorang. Setelah bangkit pemuda mula mengatur langkah untuk seterusnya dan memilih antara pemuda untuk membeli makanan di pasar.
Tatkala membayar makanan yang dibeli, peniaga tersebut dengan tiba-tiba marah kerana duit yang dibayar sudah tidak lagi diguna pakai.
Ditangkap dan dibawa menghadap raja dan setelah disoal siasat sebab mulanya disangka pemuda mencuri harta warisan lama yang disimpan di dalam istana.
Dalam pada masa yang sama raja terkejut setelah mendengar cerita semua pemuda dan memberitahu yang zalim itu adalah raja yang dahulu 309 tahun yang lepas.
Dan keadaan sekarang telah berubah. Raja yang sangat gembira menghimpunkan semua rakyat dan memberitahu akan kebesaran Allah mengenai tujuh pemuda ini bagi mengembalikan aqidah rakyat.
Bersama pemuda terdapat seekor anjing bernama Qitmir yang mengekori dan tidur bersama.
Saya terus membaca al-Kahfi setiap Jumaat dan mengulang cerita Ashabul Kahfi dengan tawaduk, sesungguhnya kebesaran Allah tidak terjangkau oleh pancaindera.
Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com