Menziarah makam Habil di Syria dan kisahnya dengan Qabil | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 03 Aug 2023 07:00 AM

Menziarah makam Habil di Syria dan kisahnya dengan Qabil

 

 

 

SAYA melalui Syria semula dari Lubnan setelah melepasi Imigresen. Perjalanan yang semakin memberi banyak pengalaman dari kesan sejarah untuk orang yang mencari seperti saya. Di Lubnan, Syria dan Jordan masih banyak yang perlu dibuat sentuhan.

 

Di Syria berhampiran Damsyik ada ramai yang mengunjungi makam mangsa pembunuhan pertama dalam ketamadunan manusia. Habil anak Nabi Adam dibunuh oleh saudaranya sendiri Qabil.  Dengan rasa ketidakpuasan percaturan yang dibuat oleh Nabi Adam selepas diamanahkan oleh Allah.

 

Akibat hasutan iblis yang sememangnya sudah berikrar untuk menyesatkan manusia maka berlakulah peristiwa pembunuhan. Makam yang dijaga oleh pengamal Druse.

 

Berlakunya jenayah pertama dilakukan manusia dan masjid berhampiran menjadi tempat para nabi berdoa memohon perlindungan dari pemimpin zalim.

 

Bermula saat Nabi Adam memerintah anak laki-laki dari satu kelahiran untuk menikah dengan satu anak perempuan dari kelahiran yang lain.

 

Habil dijodohkan dengan saudara kembar Qabil. Habil adalah adik Qabil. Kembar Qabil lebih cantik daripada kembar Habil. Sehingga Qabil tidak terima kalau dinikahkan dengan  kembar Habil saat Nabi Adam memerintahkannya.

 

Nabi Adam memutuskan untuk menyuruh kedua-duanya mempersembahkan pengorbanan. Diketahui umum, Qabil adalah seorang petani dan saudaranya Habil adalah pengembala.


 

parafrasa
Pengunjung menyentuh makan Habil di Syria.

 


Ketika saatnya untuk berkorban, Habil mempersembahkan kambing yang gemuk sebab memang seorang penternak kambing. Manakala Qabil hanya mempersembahkan seikat sayuran yang buruk dari hasil tanamannya.

 

Sewaktu nyala api menyambar, api itu hanya mengambil kambing yang dikorbankan oleh Habil dengan meninggalkan korban dari Qabil. Melihat itu Qabil pun marah dengan berkata, “Wahai Habil aku akan membunuhmu supaya kamu tidak  boleh menikahi kembarku.”

 

Segera Habil menjawab, “Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa.”

 

Lalu ketika Qabil bertemu dengan adiknya itu berkata, “Korban yang kamu persembahkan telah diterima, sedangkan persembahanku tidak diterima.”

 

Habilpun menjawab, “Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa.”

 

Meninggilah marah Qabil dan mengancam akan membunuhnya. Dengan tenang Habil merespon ancaman tersebut dengan berkata,

“Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam” (Al-Maidah: 28)

 

Lalu Habil berkata kepada Qabil, “Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu? Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?”.

 

Kata-katanya itu disambung dengan nasihat yang baik kepada Qabil, “Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak!


 

parafrasa
Pintu masuk ke makan Habil di Syria.

 


Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.”

 

Ketidaksabaran Qabil itulah menyebabkan beliau telah bertindak di luar akal fikirannya yang waras. Ini dinyatakan menerusi Surah al-Maidah ayat 29 dan 30:

Maksudnya:

 “Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.” (Surah al-Maidah, ayat 29-30)

 

Qabil merasa gelisah dan bingung terhadap mayat Habil. Ia tidak tahu apa yang harus dilakukannya terhadap tubuh mayat yang semakin lama semakin busuk itu. Qabil mundar-mandir dalam keadaan tidak keruan melihat burung-burung sedang berterbangan hendak memakan jasad Habil.

 

Lalu, Allah Taala pun mendatangkan seekor burung gagak yang berkelahi dan dilihatnya gagak itu menanamkan gagak yang mati ke dalam tanah.

 

Terfikirlah Qabil untuk meniru apa yang dilakukan oleh gagak itu. Firman Allah SWT:

Maksudnya:

“Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.” (Surah al-Maidah ayat 31)

 

Begitulah cerita Qabil dan Habil yang saya dengar berkali-kali dan ingin pergi ke lokasi.


 

wainuiomata
Pemandangan bukit bersalji di dalam perjalanan ke Makam Nabi Habil

 


Dari menuju pergunungan Kalamun sebuah kawasan yang terletak berhampiran sempadan negara Lubnan. Di situ makam Habil. Ramai yakin di situlah makam Habil. Tidak jauh dari makam iaitu di Jabal Qassiyun, dikatakan tempat Nabi Adam dimakamkan.

 

Sepanjang perjalanan menuju ke kawasan makam dihiasi pemandangan indah pergunungan salji dari negara Lubnan. Turut kelihatan Jabal Syeikh yang sentiasa terdapat salji dipuncaknya sepanjang tahun.

 

Jabal Syeikh boleh nampak dengan jelas dari Irbid, Jordan jika cuaca cerah dan merupakan bukit yang menjadi punca air kepada Sungai Yarmouk yang mengalir hingga ke negara Jordan.

 

Dari persimpangan ke Zabadani mengambil jalan ke arah kanan untuk ke Makam Habil. Kawasan merupakan kem tentera Syria memandangkan  kawasan yang hampir dengan sempadan antarabangsa Syria dan Lubnan.

 

Sampai di kawasan bukit yang menempatkan Makam Habil dalam keadaan cuaca yang agak sejuk dengan matahari menyinari, tetapi angin tetap bertiup sejuk.

 

Sekiranya ke kawasan Habil dibunuh iaitu di Jabal Qassiyun rasanya tidak sempat. Tetapi bersebelahan dengan gua tersebut terdapat Makam Wali Arba'in yang ada disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya.


 

wainuiomata
Makam Habil

 


Dari arah utara Jabal Qassiyun, terdapat satu gua bernama 'Magharatud Dam' (Gua Darah) yang diyakini sebagai tempat Qabil membunuh Habil. Lokasi pembunuhan terletak di sebelah kanan jalan dari arah Damyik menuju Zabdani dan Balaudan.

 

Dalam satu riwayat, Nabi Adam sangat marah setelah peristiwa pembunuhan dan Qabil melarikan diri ke tempat yang sekarang bernama Yaman.

 

Pembunuhan pertama manusia telah menjadi suatu tanda kepada muslimin, Allah mengecam tindakan membunuh seseorang tanpa alasan yang benar. Umpamanya kalau seseorang membunuh manusia ibarat seperti membunuh seluruh manusia yang ada.


 

parafrasa
Lokasi Habil dibunuh di Jabal Qassiyun, Syria

 


Riwayat Qabil dan Habil sepatutnya dijadikan pengajaran kepada umat Islam yang nafsu amarah mampu membunuh. Marah adalah perasaan normal apabila disalurkan ke tempat yang betul seperti marah apabila melihat kalimah Allah dipersenda dan menjadi tidak normal hingga sanggup membunuh orang lain kerana kesalahan diri sendiri.

 

Saya meneruskan perjalanan untuk ke Jordan dengan melihat keindahan Syria yang terus dibelenggu perang sehingga sekarang. - DagangNews.com

 
Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

dagangnews