Muhammad Gergawi panggil menghadap | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 21 Jan 2021 09:14 AM

Muhammad Gergawi panggil menghadap

 

 

PASUKAN SingTel dan French Telekom tiba untuk presentation dalam seminggu. SingTel diketuai Duta Singapura yang membawa pasukan 5 orang termasuk Naib Presiden. Saya kagum dengan Duta yang mempunyai tanggungjawab bisnes dan korporat untuk syarikat Singapura.

 

“Kerajaan Singapura akan bertanggungjawab terhadap apa yang SingTel lakukan. Kamu jangan bimbang, segala kerjasama adalah dibawah kerajaan Singapura yang mahu melihat kejayaan bersama!”

 

SingTel terus mengadakan presentation yang lengkap dan baik. Saya memberi sepenuh tumpuan terhadap apa yang diperkatakan.

 

Kemudian French Telecom pula. Wakil French Telecom bercakap Inggeris dengan baik walaupun tidak lekang dengan bahasa Perancis.

 

dubai
SEBAHAGIAN daripada Dubai Internet City sekarang.

 

Setelah tamat kami diberi masa seminggu untuk membuat pilihan dari tiga syarikat berkenaan. Saya masih terasa AT&T sebagai syarikat terbesar di dunia mempunyai kelebihan. Apalagi dari Amerika Syarikat yang menjadi pelopor internet dan segala yang baru seperti Microsoft, Oracle, HP dan Yahoo!

 

Temuduga untuk jawatan setiausaha ditangguhkan sebab sukar untuk mendapatkan calon. Saya terus menjadi setiausaha disambung lagi. Saya pula telah biasa dan merasa seronok dengan tugas ini.

 

BACA JUGA:  Syarat jadi setiausaha Arab mesti bujang

 

Tiba-tiba Hamed Kazim memberitahu beliau akan bercuti dengan famili untuk dua minggu mulai minggu depan.

 

Saya terkejut kerana kesibukan Hamid dengan temujanji yang telah diatur. Beliau menyuruh semua temujanji ditunda kerana percutian dengan famili sudah lama tidak dibuat. Beliau perlu menghabiskan cuti sebelum menempuh lagi kesibukan.

 

Saya tidak bertanya dengan isteri mana, mungkin keempat-empat sekaligus! Saya juga tidak bertanya beliau bercuti di mana. Saya akur dan mula memikirkan apa yang perlu saya buat.

 

Hamed hanya datang ke pejabat untuk menyerahkan tugas kepada saya. Saya terkejut untuk menggantikan CEO Dubai Internet City. Biar betul!

 

Walau beliau tidak menyebut secara terus-terang saya dapat merasakan dari pesanan terhadap kerja dan tugas untuk dilakukan.

 

Hamed memberitahu beliau akan menelefon saya pada pukul 5 setiap hari walau hari cuti.

 

Saya pada masa itu mengambil lesen memandu Dubai kerana lesen Malaysia tidak diterima dan terpaksa belajar semula. Lesen Singapura seperti lesen Eropah dan Amerika diterima Dubai untuk pertukaran tanpa pergi ke sekolah memandu.

 

Saya mendaftar di sekolah memandu agak lambat. Isteri saya sudah mendapat lesen Dubai dan kami membeli kereta untuk berulang-alik. Kereta di Dubai memang murah dan kami membeli Kia Carnival dengan harga Dirham 40,000 waktu itu sebab Kia Carnival kereta baru diperkenalkan.

 

dubai
KAWASAN ujian memandu mengikut sistem kerajaan Emiriah Arab Bersatu.

 

Setelah selesai latihan saya pergi ke ujian memandu. Polis yang menjaga. Polis itu melihat alamat tempat bekerja.

 

“Awak kerja dengan Sheikh Mohammad?” Saya mengangguk.

 

“Sama berboskan dengan polis. Kamu boleh lulus!”

 

Dia memandang saya kekaguman. Dubai Internet City adalah syarikat baru setahun yang ramai mahu bekerja untuk pembaharuan yang serba menarik. Lagipun dunia internet pada tahun 2001 masih baru di seluruh dunia.

 

“Awak dari Malaysia?” Saya terus mengangguk.

 

“Bagus, saya belum bertemu orang Malaysia. Hanya orang India yang ramai!”

 

Dia berkata dengan serius dan menyerahkan kereta untuk ujian parkir.

 

Saya membawa kereta dan parkir ke atas dan side parking. Saya tersilap salah parkir kerana tidak biasa lagi membawa kereta sebelah kiri. Saya lihat polis itu. Dia tidak kisah dengan memandang ke arah lain.

 

Saya mula faham dia sengaja membiarkan saya kerana satu ‘gang’.

 

Saya pun mula bergaya dengan kereta dengan parkir mengikut sendiri tanpa polis itu melihat. Ikut suka saya hendak parkir macam mana bukan mengikut polis. Setelah rasa puas saya menyerahkan balik kunci dan polis itu hanya ketawa.

 

Passed ...!!”   Kata dia dan saya pun ketawa.

 

Setelah itu untuk memandu di jalan raya dengan empat orang pemandu lain. Saya pemandu pertama dipilih dan duduk di depan tempat memandu. Berdebar juga dengan polis yang nampak serius.

 

Saya diarahkan membawa kereta dan mengikut SOP dengan melihat cermin terlebih dahulu. Sudah itu saya memulakan kereta dan baru masuk gear 4 saya disuruh berhenti digantikan dengan pemandu lain.

 

Saya terkejut kerana baru masuk gear 4 disuruh berhenti. Ketiga pemandu bergilir dan mengambil masa setengah jam untuk ketiga-tiga pemandu dari India dan Afghanistan.

 

Setelah berhenti kami disuruh menanti untuk tahu keputusan. Setelah lebih kurang 15 minit keputusan diterima.

 

Hanya saya seorang saja lulus walau memandu tidak sampai 2 minit!

 

Saya berterima kasih kepada polis yang memberikan kemudahan untuk orang Malaysia dan pekerja kepada Sheikh Mohammad untuk lulus dengan senang.

 

Waktu itu untuk lulus ujian memandu bukan mudah, dalam 10% sahaja saja lulus. Ada terpaksa mengambil dua atau berkali-kali ujian yang dianjurkan pihak polis.

 

dubai

 

Sementara itu Hamed menelefon saya bertanya tentang hal ehwal pejabat pukul 5 petang. Saya terasa seperti COO untuk beliau dan para pekerja Dubai Internet City terpaksa melalui saya sahaja untuk berkomunikasi dengan Hamed. Pejabat saya sering didatangi bertanya khabar dengan update segala hal. Sibuk sampai ke malam.

 

Kemudian telefon saya berdering.

 

“Ini Muhammad Gergawi!”

 

Saya terkejut.

 

“Saya ingin bertemu kamu di pejabat saya di Emirates Towers!”

 

Gergawi
Muhammad Gergawi

 

Saya benar-benar terkejut dan berdebar apabila pengerusi Dubai Internet City mahu bertemu dan bercakap sesuatu yang penting!

 

(Bersambung)

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

BACA JUGA WAINUIOMATA MINGGU LALU : AJK SIGGRAPH Amerika Syarikat