Pesara warga emas berisiko jadi usahawan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 25 Apr 2024 07:00 AM

Pesara warga emas berisiko jadi usahawan

 

 

 

MENURUT Sun Life,  hanya 18 peratus rakyat Malaysia mempunyai pelan simpanan persaraan untuk menyokong matlamat kewangan selepas bersara.

 

Sebanyak 66 peratus responden yakin dapat memenuhi matlamat kewangan jangka panjang, namun hanya 38 peratus yang mempunyai pelan kewangan melangkaui satu tahun ke hadapan.

 

Rakyat Malaysia menyenaraikan persaraan dan simpanan sebagai keutamaan kewangan kedua tertinggi. Tetapi hanya 18 peratus yang mempunyai pelan persaraan atau pencen bagi menyokong matlamat untuk masa yang terhad.

 

Indeks yang mengkaji 1,000 responden itu mendapati  golongan milenial iaitu berusia antara 28 hingga 43 tahun adalah generasi yang mempunyai tahap kewangan paling berdaya tahan.

 

Dalam 69 peratus yakin dengan masa hadapan kewangan, malah berkemungkinan lebih besar untuk membuat keputusan kewangan berdasarkan kajian berbanding generasi yang lebih tua.

 

 

wainuiomata

 

 

Golongan milenial juga lebih yakin untuk dapat memenuhi matlamat kewangan jangka panjang mereka berbanding dengan generasi lebih tua, namun hanya 40 peratus responden milenial mempunyai pelan kewangan melangkaui satu tahun ke hadapan, sekali meletakkan matlamat kewangan mereka dalam keadaan berisiko.

 

Sebagai generasi celik teknologi, milenial mempunyai lebih banyak alat yang boleh digunakan untuk merancang kewangan dan berkemungkinan untuk meletakkan asas keputusan mereka berdasarkan penyelidikan.

 

Namun menonjolkan fenomena membimbangkan kerana tidak ramai yang mempunyai pelan kewangan jangka panjang bagi memenuhi matlamat hidup. Memiliki pelan yang tersusun perlu menjadi keutamaan bagi mereka yang mahu membina masa hadapan kewangan.

 

Dalam landskap pelaburan yang sering berubah dan dinamik hari ini mendapati yang paling kaya turut memiliki jurang dari segi persediaan, tidak cermat berbelanja dan kurang mempunyai perancangan kewangan jangka panjang.

 

Fenomena berpendapatan rendah dan tinggi kedua-duanya berkemungkinan berbelanja melebihi bajet bulanan mereka, malah hanya 46 peratus berpendapatan tinggi mempunyai pelan kewangan melebihi satu tahun.

 

Hanya 54 peratus berpendapatan tinggi dapat menyimpan untuk matlamat jangka panjang sambil memenuhi keperluan jangka pendek, hanya tinggi sedikit berbanding 49 peratus berpendapatan lebih rendah.

 

Melihat senario semasa, sebagai pesara dari keusahawanan, ada kebimbangan apabila melihat semakin ramai pesara warga emas mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan dengan wang persaraan walau ada yang mencukupi.

 

 

wainuiomata

 

 

Tindakan itu satu percaturan silap kerana warga emas berisiko tinggi menjadi mangsa sindiket penipuan skim cepat kaya. Ini kerana pesara kerajaan akan mendapat wang ganjaran selain pencen, manakala pesara swasta menerima wang caruman KWSP dan menjadi tumpuan sindiket.

 

Apa lagi jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat kepada 14 peratus daripada populasi Malaysia pada 2030. Negara kita menuju penuaan dan harus melihat lebih terbuka dengan masalah semasa terutama melibatkan warga emas.

 

Kesilapan mangsa bukan sahaja kerana sikap tamak serta mudah menyerahkan wang berjuta ringgit kepada individu yang tidak dikenali bahkan, disebabkan terlalu gelojoh mahu menjadi usahawan yang berjaya.

 

Sebagai seorang usahawan di peringkat antarabangsa, bagi saya menceburi dunia perniagaan selepas umur bersara adalah percaturan berisiko tinggi.

 

Mangsa tidak mahir selok-belok urusan jual beli, strategi perniagaan mahupun perancangan dunia bisnes yang penuh risiko dan sekali gus memberi peluang mudah kepada ejen sindiket memanipulasi.

 

Kebanyakan pekerja makan gaji gemar mendengar perkataan tidak ada risiko, pastinya untung dan tidak akan rugi. Biasanya ayat promosi  dikaitkan dengan skim penipuan berbanding individu yang sejak awal lagi memang terlibat dalam dunia keusahawanan.

 

Saya sudah lama berkecimpung dalam bisnes, sudah sedia maklum bahawa tidak ada satu perniagaan pun di dunia ini yang menjamin sesuatu pelaburan itu selamat tanpa ada sebarang kerugian.

 

Saya sendiri mengalami kerugian dan terus mempelajari sepanjang kehidupan walaupun senang bekerja dengan gaji yang tinggi sebagai ekspatriat.

 

 

wainuiomata

 

 

Pelaburan tinggi tanpa atau kurang risiko tak logik tetapi itulah modus operandi ejen penipuan skim menipu selain menggunakan kenderaan mewah, selebriti dan ahli agama yang menumpang.

 

Apa lagi pesara warga emas biasanya suka dengar pelaburan berasaskan agama kononnya boleh dapat tambah pahala dan dapat pula untung berganda hanya dengan melabur.

 

Satu daripada 11 warga emas terdedah kepada aktiviti penganiayaan oleh individu dipercayai, manakala polis pula melaporkan 71,833 kes penipuan membabitkan kerugian RM5.2 bilion sejak 2020 hingga 2022.

 

Contoh scam ialah kes pelaburan, love scam, penjagaan kesihatan, penipuan haji dan umrah membabitkan kerugian daripada ribuan hingga jutaan ringgit.

 

Dengan kehilangan wang pasti menghadapi kesukaran menampung keperluan asas terutama pembayaran perubatan dan kos sara hidup.

 

Ini memberikan tekanan dan mengancam kualiti hidup sedia terhad hingga ada menghidapi kemurungan serta mengambil jalan pintas untuk membunuh dari.

 

Masalah kesihatan dan pergerakan menyukarkan keluar rumah untuk bersosial dengan orang lain. Ada juga bersendirian disebabkan perceraian dan masalah rumah tangga hingga terpaksa menghabiskan masa di rumah.

 

Kebanyakan bergantung teknologi maklumat dengan laptop yang membuka ruang terjebak dalam penipuan dalam talian. Selalunya kerana scammer akan memanipulasi keperluan warga emas berhubung dengan orang lain.

 

 

wainuiomata

 

 

Bagi saya pihak berkuasa dan masyarakat perlu bekerjasama mengambil tindakan proaktif dalam mencegah penipuan warga emas dengan keluarga menjadi benteng utama untuk menghalang.

 

Ada mempamerkan gejala defisit kognitif seperti kerap lupa, mereka perlu dibawa mendapatkan penilaian dan rawatan.

 

Pihak berkuasa perlu meningkatkan tindakan pencegahan dan perlindungan, termasuk peningkatan pemantauan serta kajian terhadap laman sesawang penipuan dalam talian. Ini akan mengenal pasti penipu dalam talian dan mengambil tindakan pantas untuk melindungi warga emas.

 

Pihak Bank Negara telah mengeluarkan lima langkah tambahan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan secara dalam talian.

 

Banyak program bengkel keusahawanan sama ada anjuran syarikat atau mana-mana pertubuhan begitu gemar menyelitkan modul meminjam duit melalui agensi kerajaan terpilih yang memberi bantuan modal untuk memulakan bisnes.

 

Sepatutnya pengisian kursus persaraan ditumpukan kepada pengurusan kewangan dan persediaan menghadapi hari tersebut dengan aktiviti lebih berfaedah.

 

Apalagi  sudah bersara yang bukan masa untuk buat bisnes lagi. Jika kita mahu buat bisnes, sertai dunia bisnes sebaiknya sebelum berusia 45 tahun dan ramai yang sudah kecundang.

 

Pesara perlu sedar bahawa jumlah wang yang banyak tidaklah sebesar yang disangka untuk menempuh zaman persaraan kerana ada kemungkinan lain seperti keperluan perubatan dan kecemasan.

 

 

wainuiomata

 

 

Sebaik-baiknya berhati-hatilah jika mahu membelanjakan wang persaraan kerana tidak pasti umur bila akan berakhir.

 

Lebih baik kita belajar AI dan kredit karbon melalui web secara percuma untuk pengetahuan dan kalau ada rezeki mungkin ditawarkan sebagai penasihat dengan pengalaman.

 

Seperti ramai yang percaya tiada masa untuk bersara selagi mahu memberi sumbangan.

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

dagangnews