Sahabat dalam lokap sewaktu Ramadan di Dubai 14 tahun lalu
Pada 14 tahun lalu saya dan sahabat di Dubai terus berusaha untuk membantu seorang sahabat yang teraniaya dan ditahan di sebuah balai polis Dubai, Al Muraqabat.
Ada halangan terutama dari segi keupayaan majikan beliau, sebuah syarikat Malaysia berunding dan mengumpulkan dana untuk membayar wang sebanyak AED50,000 untuk peguam.
Laporan berita yang disiarkan oleh akhbar perdana melalui Bernama sedikit sebanyak memberi publisiti yang diperlukan.
Walau tidak seperti mana yang diharapkan dalam menyelesaikan masalah, tetapi sekurang-kurangnya membuka mata beberapa pihak tertentu dalam mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan sebenar.
Bagi kami yang berada di luar syarikat terbabit, tidak banyak mengetahui selok-belok politik dan agihan kuasa. Tidak sekali mahu mencampuri urusan syarikat yang tersenarai di BSKL dan dikatakan dikuasai oleh puak yang sealiran dengan pihak berkuasa.
Objektif utama adalah untuk membebaskan beliau secepat mungkin dan membersihkan nama beliau dari beberapa ‘tuduhan’ yang dikatakan berlegar di koridor syarikat.
Beberapa kali maklumat yang diberikan oleh pekerja syarikat tersebut tidak seperti yang dinyatakan.
Kekalutan dan kecelaruan mungkin disebabkan oleh pertindihan kuasa di peringkat HQ dan para pekerja berkenaan, kebanyakannya sudah meletakkan jawatan dan hanya mahu menghabiskan tempoh notis.
Begitu sekali keadaan semasa syarikat terbabit di mana ramai pekerja berjawatan penting sudah meletakkan jawatan.
Bagi kami yang mempunyai harapan dan harapan yang tinggi terhadap kecekapan mereka untuk menyelesaikan masalah kecemasan seperti ini, setiap janji seakan sekadar penyedap hati.
Buat masa ini, janji-janji masih belum dikotakan. Maklumat juga semakin membayangkan ketidakupayaan, selain mungkin ada ‘konspirasi’ untuk menjadikan sahabat kami tersebut sekadar kambing hitam dalam kegagalan operasi syarikat di Dubai yang berterusan.
Apalagi buat keluarga sahabat kami, terutama isteri dan anak-anak yang masih dalam keadaan tidak menentu.
Mereka sepatutnya sudah berada di sebuah negara lain dalam meneruskan kerjaya dan kehidupan.
Dalam dua pertemuan dengan wakil syarikat yang datang dari Kuala Lumpur untuk menyelesaikan rundingan dengan pihak pembekal, ternyata banyak perkara yang masih sekadar di atas kertas, itupun belum siap sepenuhnya.
Pertemuan kali kedua baru-baru ini agak panas kerana kami merasakan wakil syarikat bukan sahaja ‘kurang ajar’ tetapi memperlekehkan kami, para sahabat yang selama ini membantu di kala syarikat sekadar melepaskan batuk di tangga, termasuk menyediakan dana untuk yuran peguam (setelah syarikat tidak meneruskan usaha untuk mendapatkan peguam membantu pekerjanya sendiri) dan menyediakan tempat tinggal.
Keadaan tegang dalam suasana yang panas mengambarkan emosi kami yang tinggi.
Kami tidak mahu mendengar cerita yang semakin basi, tetapi mahu tahu apakah tindakan syarikat dalam keadaan semasa yang semakin mendesak.
Malangnya, wakil yang datang dengan kebiadapan terus sahaja berkata bahawa para pegawai tinggi syarikat masih sahaja ‘berusaha’, dan wang masih belum mampu dikumpulkan, malah gaji pekerja di Dubai telah dua bulan tertunggak selain kontrak penyewaan rumah pekerja sudah juga banyak bulan tertunggak.
Kerana itu, mungkin pegawai tinggi dari KL ada yang takut untuk datang ke Dubai, bimbang mereka juga akan sama-sama ditahan di lokap!
Kami juga sedang mengutip tandatangan untuk petisyen pengampunan kepada Raja Dubai sebagai satu cara membebaskan beliau. Setiap kali ramadan dan hari raya, Raja Dubai akan membebaskan sejumlah tahanan sebagai memperingati bulan yang mulia.
Diharapkan usaha ini akan berhasil dan sahabat kami boleh bebas sebelum hari raya, Aktiviti Ramadan Untuk Warga Ekspatriat Malaysia di Dubai.
Ramadan tahun ini di Dubai buat warga ekspatriat Malaysia mungkin sedikit hambar dengan penahanan sahabat itu.
Begitupun, aktiviti seperti majlis berbuka puasa terus diadakan dari rumah ke rumah, terutama di hujung minggu.
Dalam majlis seperti ini, kami dapat juga bertemu dengan ramai warga yang baru tiba pada tahun 2008.
Penambahan warga Malaysia memang agak ketara dan diharapkan mereka dapat menambahkan kemeriahan suasana di Dubai.
Beberapa sahabat juga menjadi wakil kepada pertubuhan amal di Malaysia untuk kutipan zakat dan nampaknya dengan kehadiran ramai warga Malaysia, dana yang terkumpul semakin bertambah.
Buat kami yang tidak pulang ke tanahair buat tahun 2008 untuk berhari raya, sambutan mungkin lebih bermakna, namun sahabat hanya keluar selepas raya.
Yang saya ingat, sambutan Hari Raya terus meriah dengan kami berhari raya seperti biasa.
Begitulah 14 tahun dahulu, seorang rakyat Malaysia masuk lokap di Dubai.
Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA