Industri aeroangkasa negara mampu bangkit semula | DagangNews Skip to main content

Industri aeroangkasa negara mampu bangkit semula

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 22 April - Industri aeroangkasa negara dijangka mampu bangkit semula dan mencapai tahap pendapatan sebelum pandemik seawal tahun hadapan setelah terjejas akibat wabak COVID-19.

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sasaran ini boleh dicapai sekiranya Malaysia meneruskan usaha meneroka pakej kerja baharu yang boleh memberi impak kepada keseluruhan ekosistem menerusi penempatan produk. 

 

"Pemulihan ini juga akan lebih cepat jika industri boleh mengembangkan perkhidmatan kargo, perniagaan penerbangan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta perkhidmatan latihan profesional," katanya ketika menyampaikan ucap tama dalam Airbus Malaysia Connect Webinar hari ini. 

 

Menurut beliau, akibat pandemik COVID-19, pendapatan industri aeroangkasa negara susut antara 20 hingga 30% tahun lalu berbanding 2019 sebanyak RM16.22 bilion. 

 

Sektor penerbangan komersial paling terjejas teruk apabila sempadan antarabangsa ditutup dan perjalanan domestik disekat.

 

"Ia turut menyaksikan pesanan tertangguh bagi perniagaan pembuatan aeroangkasa dan MRO dengan kebanyakan aktiviti pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa juga terhenti manakala pekerja dibuang apabila sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh dunia," katanya

 

Sehubungan itu, Mohamed Azmin berkata, seperti di dalam bajet, kerajaan telah mengumumkan 5 projek aeroangkasa dengan matlamat untuk menghidupan semula industri dan mengekalkan daya saing di peringkat global.

 

"Sebanyak RM15 juta diperuntukkan bagi program pembangunan industri meliputi galakan bagi ekosistem industri aeroangkasa Malaysia, memperkasa Pusat Kecemerlangan Aeroangka Kebangsaan dan meningkatkan kecekapan menerusi sistem digital dan industri 4.0 serta pembangunan bahan untuk industri aeroangkasa berasaskan bio," katanya.

 

Kerajaan juga, katanya, telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bagi menyokong pemulihan industri aeroangkasa dan peralatan perubatan. - DagangNews.com