Cabaran dunia digital: Bermain isu tanpa fakta menjadi auta | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 28 June 2024

Cabaran dunia digital: Bermain isu tanpa fakta menjadi auta

 

 

DUNIA tanpa sempadan, era globalisasi, dan era siber merupakan gelar yang diberikan kepada zaman yang kita hadapi sekarang, iaitu abad ke-21.

 

Era siber yang bermula di Amerika Syarikat pada awal abad ke-21 itu telah melahirkan budaya siber yang begitu berbeza.

 

Segala aspek kehidupan manusia, termasuk gaya bahasa menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan. Salah satu elemen yang mejadi tunjang perubahan arus perdana dunia siber ini ialah teknologi maklumat. Teknologi digital pula mula bertapak di Malaysia menerusi Dasar Langit Terbuka pada 1994.

 

Arus digital ini membawa banyak pengaruh dalam membentuk gaya hidup dan rutin harian setiap individu. Tidak kira sama ada lelaki, wanita, dewasa, remaja mahupun kanak-kanak, masing-masing merasai tempias perkembangan teknologi ini.

 

 

infiniti

 

 

Melihat dari sudut yang lebih luas, penggunaan Internet kini tidak lagi terhad di meja kerja atau di depan komputer semata-mata.

 

Wujudnya pelbagai pilihan peranti digital kini memberi nilai tambah kepada gaya hidup masyarakat. Semuanya mudah, pantas dan boleh dicapai tanpa had masa atau tempat.

 

Perkembangan Teknologi Satu Revolusi Komunikasi

Kini, teknologi sudah mampu berdiri teguh membentuk satu revolusi yang baru di negara ini. Aspirasi kerajaan memberi satu pendekatan baru yang lebih maju dan mampu bergerak seiring dengan arus persaingan pada alaf baru ini.

 

Platform digital seperti Facebook, Instagram dan TikTok hari ini seakan menjadi inkubator melahirkan pakar pakar “mee segera” yang tidak diiktiraf yang mengupas berbagai isu yang menyumbang terhadap keresahan masyarakat.

 

Ramai pakar “mee segera” ini cepat mengeluarkan hujah mereka yang amat cetek kupasannya tanpa data dan fakta dalam menghadapi isu penyasaran semula diesel baru baru ini.

 

Kita juga lihat banyak pakar ekonomi  segera yang ibarat seperti cendawan tumbuh selepas hujan yang mengupas isu BlackRock.

 

Tidak ketinggalan juga ramai pakar pakar jenayah memunculkan diri mereka memberikan konotasi terhadap kes pembunuhan adik Zayn Rayyan.

 

Adakah perkembangan ini yang masyarakat kita cari dalam menelusuri perkembangan teknologi digital?

 

 

infiniti

 

 

Sering juga platform digital dijadikan sebagai 'medan curahan perasaan' semakin menjadi trend, sama ada berkongsi yang positif dan menggembirakan atau sebaliknya.

 

Platform digital seharusnya berfungsi sebagai medan rangkaian untuk menyampaikan maklumat yang merangkumi semua dimensi kehidupan manusia sama ada berdasarkan fakta dan bukan omongan kosong yang mempengaruhi emosi.

 

Cetusan Budaya Baru

Apabila membicarakan perkara berkaitan teknologi maklumat (Information technology), tanpa kita sedar kita juga sedang membicarakan perubahan budaya baharu yang dicetuskan oleh revolusi teknologi maklumat dan ledakan pengetahuan yang disertai oleh pengaruh globalisasi yang membawa idea liberalisasi budaya dan bahasa.

 

Kemajuan dunia teknologi hari ini telah melahirkan pakar pakar tanpa bidang ilmu. Atau dengan kata lain sesiapa sahaja ingin mengeluarkan pendapat walaupun itu bukan bidang kepakaran atau pengkhususan mereka. Akhirnya golongan ini akan bercakap tanpa fakta dan menjadi auta.

 

“Tong kosong nyaring bunyinya”

“Air beriak tanda tak dalam”

 

Dua peribahasa di atas menggambarkan bagaimana sebuah fenomena di mana orang yang tidak memiliki ilmu kepakaran dalam sesuatu bidang sering kali banyak bicaranya.

 

Cukup banyak orang yang merasa paling tahu, sehingga dia juga yang paling banyak bicara. Padahal, ilmu atau kepakaran yang dimilikinya baru sedikit, tetapi berbicara seakan-akan paling mengerti.

 

Setiap orang tidak mampu untuk menolak gelombang perubahan yang dibawa bersama teknologi maklumat kerana teknologi tersebut ditunjangi oleh ilmu pengetahuan, maklumat, dan ilmu yang berubah secara pantas.

 

 

waionuiomata

 

 

Imam al-Ghazali dan kitabnya Ihya ‘Uluum al-Diin Sebagai Panduan

Imam al-Ghazali dalam Ihya ‘Uluum al-Diin (jil.1, hal. 59) menyebutkan tahap keilmuan manusia.

 

1. Orang yang tahu (berilmu) dan tahu kalau dirinya tahu (berilmu). Orang jenis ini adalah mereka yang memiliki ilmu. Maka, ikutilah ia, tanyakan dan dengarkan pendapatnya.

 

2. Seseorang yang sebenarnya tahu, tetapi tidak mengetahui bahawa dirinya sebenarnya tahu. Orang yang seperti ini seakan orang yang sedang tidur, sehingga perlu dibangunkan, disadarkan bahawa dirinya sebenarnya tahu (berilmu).

 

3. Seseorang yang tidak tahu dan tahu bahawa dirinya tidak tahu. Orang yang masuk kategori ini adalah mereka yang sedang belajar dan mencari ilmu , sehingga patut diberi arah.

 

4. Terakhir adalah orang yang sebenarnya tidak tahu (berilmu) dan tidak tahu bahawa dirinya tidak tahu. Mereka yang masuk dalam kumpulan seperti ini biasanya bebal ketika diberitahu, merasa paling benar dan mengerti.

 

Golongan ini adalah yang paling buruk. Maka tinggalkan mereka.  - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

Portfolio Tags