Penjenamaan vs Pemasaran: Dua konsep sering pemain politik keliru
APABILA hendak menjalankan strategi pertumbuhan atau pengukuhan pengaruh sesebuah parti politik, mereka yang terlibat perlu memikirkan dan memahami terlebih dahulu konsep penjenamaan lawan pemasaran.
Bagi pimpinan parti politik yang baru memasuki dunia ini dan tidak melihat perkara ini melalui perspektif perniagaan, penjenamaan dan pemasaran sering dianggap sama, walaupun mereka mempunyai perbezaan yang sangat ketara.
Jika mereka mahukan perkhidmatan atau jenama mereka menjadi lebih kukuh dan pengaruh mereka meningkat, maka jangan terkeliru dengan dua konsep yang hampir serupa ini.
Untuk memahami penjenamaan vs pemasaran dengan lebih mendalam mereka perlulah meneliti apakah yang berlaku melalui konsep perniagaan.
Apakah pemasaran?
Definisi pemasaran menurut pengamal dan ahli akademik pemasaran rata-rata mengatakannya bermaksud satu amalan mempromosi dan menjual produk atau perkhidmatan.
Aktiviti pemasaran termasuklah menjalani proses penyelidikan pasaran, pengiklanan, jualan, dan termasuk penjenamaan.
Pemasaran juga dalam dunia perniagaan selalu dilihat sebagai satu set kaedah untuk berhubung dengan pelanggan dan menggalakkan mereka membeli produk atau perkhidmatan dan dalam keadaan politik pula pelanggan itu adalah golongan sasaran dan perkhidmatan itu adalah terdiri dari produk politik.
Strategi pemasaran seharusnya melibatkan strategi proaktif dan bukan defensif untuk menjangkau khalayak sasaran, menukar mereka menjadi pelanggan setia dan mengembangkan perniagaan.
Pada masa ini, strategi pemasaran semakin pelbagai, daripada konvensional kepada digital. Daripada pemasaran media sosial, pemasaran kandungan, pemasaran komuniti, dan lain-lain.
Apakah penjenamaan?
Jika kita amati melalui konteks perniagaan, penjenamaan ialah merupakan satu amalan yang membentuk identiti jenama sesebuah perniagaan dan dalam persekitaran politik ia mewakili sesebuah organisasi politik tersebut.
Apabila mereka berusaha mencipta identiti jenama, ini bermakna pemain atau ahli mereka ini sedang cuba memasukkan watak dan kehidupan dalam naratif penjenamaan yang mereka ingin cipta.
Melalui penjenamaan selalunya sesebuah organisasi politik akan perlu bercakap tentang siapa mereka sebagai sebuah organisasi politik. Ia berkaitan dengan misi, nilai dan sesuatu yang menjadikan jenama tersebut istimewa, unik dan tidak mampu disaingi oleh organisasi politik lain melalui usaha yang sama.
Secara umumnya, penjenamaan perlu mempunyai beberapa elemen yang memudahkan khalayak atau peminat mereka untuk menentukan siapa mereka, bermula daripada logo, slogan, warna rasmi, bentuk tulisan, laman web dan banyak lagi. Itulah yang sesebuah organisasi politik akan sampaikan kepada khalayak sasaran mereka.
Bina penjenamaan dahulu sebelum pemasaran
Identiti jenama adalah asas kepada keseluruhan rancangan pemasaran. Tanpa logo, konsep dan ideologi yang menarik, dan kurang difahami, pengiklanan sukar untuk menarik perhatian golongan sasar.
Tanpa pesona jenama, penciptaan kandungan di media sosial akan menjadi kering. Dengan cara itu, nilai jenama yang terbina hasil daripada aktiviti penjenamaan adalah merupakan perkara utama yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum strategi pemasaran.
Penjenamaan kukuh bina pengikut setia, pemasaran cipta pengikut baru
Strategi pemasaran umumnya disasarkan untuk mencapai sasaran jualan baru dalam jangka pendek dan sering berubah.
Berbeza dengan pemasaran, penjenamaan secara amnya lebih menumpukan pada jangka panjang dan mengekalkan pengikut sedia ada.
Jika sesebuah parti politik ingin meningkatkan jumlah pengikut mereka, maka penjenamaan bukanlah strategi yang betul, melainkan organisasi politik ingin membina dan mengekalkan kesetiaan pengikut, memacu sentimen jenama yang positif, dan mencipta kumpulan pengikut yang setia.
Pemasaran menarik perhatian khalayak dan penjenamaan mengekalkannya
Untuk mengetahui siapa khalayak sasaran organisasi politik ini, maka kempen pengiklanan dalam strategi pemasaran adalah cara yang betul.
Pemasaran akan menggalakkan khalayak sasaran untuk berminat mendengar naratif tawaran organisasi politik yang dipamerkan melalui aktiviti semasa.
Walau bagaimanapun, sebelum mereka mempercayai ideologi organisasi politik tersebut, mereka perlu mencari sebab mengapa tawaran yang ditawarkan itu merupakan tawaran yang terbaik. Penjenamaan berfungsi untuk ini.
Strategi penjenamaan bertujuan untuk membina hubungan jangka panjang dengan khalayak melalui kisah jenama yang menarik dan ikonik.
Itulah serba sedikit penjelasan tentang penjenamaan vs pemasaran yang jelas mempunyai perbezaan dan perlu dibezakan oleh parti atau organisasi politik yang beraksi di negara ini.
Penjenamaan diperlukan menjawab soalan "siapa" dan "mengapa", manakala pemasaran menerangkan persoalan "bagaimana".
Dengan memahami kedua-dua konsep ini, barulah sesebuah organisasi politik itu boleh membangunkan strategi pemasaran dan penjenamaan dengan lebih baik dalam jangka pendek dan panjang. - DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI