RMK12 perlukan Pengurusan Perubahan: Strategi ekonomi kekal relevan dinamik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 22 September 2023

RMK12 perlukan Pengurusan Perubahan: Strategi ekonomi kekal relevan dinamik

 

 

KAJIAN Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12), 2021-2025 diperlukan bagi mengukur pencapaian semasa kerajaan Malaysia meliputi sasaran bagi tempoh dua tahun pertama serta menghadapi cabaran-cabaran getir yang menjejaskan aspirasi RMK12.

 

Seperti yang disarankan, kajian separuh penggal perlu merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi mencapai matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan lagi dalam keadaan persekitaran ekonomi dunia yang tidak stabil.

 

Kerjasama dan penglibatan aktif semua pihak yang berkepentingan terutamanya kementerian, jabatan, agensi kerajaan, kerajaan negeri dan pandangan awam perlu diambil kira bagi memastikan penyediaan KSP RMK12 berjalan lancar dan mencapai matlamat penyediaannya.

 

Semua orang bersetuju bahawa mengurus dan menangani sesuatu perubahan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu itu adalah sukar. Namun, ada juga yang bersetuju bahawa untuk menghadapinya, pengurusan perubahan yang rapi adalah satu keperluan di tengah-tengah dinamik ekonomi.

 

Perubahan yang berlaku dalam industri dan ekosistem perniagaan negara mungkin tidak semuanya buruk. Terdapat banyak perkara yang baik, tetapi apa yang menyukarkannya ialah apabila pihak berkepentingan di atas terperangkap dengan cara lama dan enggan melihat perubahan sebagai peluang untuk menambah baik.


 

rmk12

 


Apakah pengurusan perubahan?

Menurut John P Kotter, pengarang buku Leading Change, pengurusan perubahan ialah pendekatan untuk mengubah individu, pasukan dan organisasi ke arah masa depan yang diinginkan dan untuk keluar dari cabaran ekonomi yang dihadapi.

 

Pengurusan perubahan juga di perlukan untuk KSP RMK12 kerana ini merupakan proses melihat dan memudahkan perubahan pada setiap peringkat di mana perubahan itu berlaku.

 

Bagi memastikan KSP RMK12 dilaksanakan dengan lancar satu  pusat pembelajaran pengurusan perubahan perlu dibentuk untuk memastikan perubahan yang di perlukan RMK12 berjalan lancar dan menepati sasaran.

 

Pihak kerajaan perlu melihat pengurusan perubahan ialah proses, alat dan teknik untuk mengurus sumber dalam perubahan keadaan ekonomi untuk mencapai hasil yang diinginkan dan merealisasikannya dengan berkesan mengikut masa yang telah ditetapkan.

 

Agensi-agensi yang terlibat dan berkaitan dalam KSP RMK12 perlu memutuskan cara perubahan ini perlu dihadapi, membina proses dan cara melaksanakannya dengan strategi terbaik.

 

Jenis perubahan persekitaran

1. Perubahan penyesuaian

Perubahan ini adalah berperingkat, kecil, beransur-ansur dan berulang yang dilakukan oleh organisasi untuk membangunkan produk, proses, aliran kerja dan strategi dari semasa ke semasa. Contohnya ialah menyediakan pekerja berkemahiran baharu untuk meningkatkan produktiviti dalam permintaan perkhidmatan apabila jualan menunjukkan trend positif.

 

2. Perubahan transformasi

Perubahan ini boleh dipanggil asas yang mempunyai skala dan skop yang sangat besar dan selalunya dicirikan oleh perubahan dramatik, malah mendadak dan jauh dari status quo .

Contoh perubahan transformasi ini ialah melancarkan produk inovatif baharu seperti industri berasaskan teknologi hijau dan boleh diperbaharui serta mengembangkan penglibatannya ke peringkat antarabangsa.


 

rmk12

 


Mengapa KSP RMK12 memerlukan pengurusan perubahan?

Apabila kerajaan ingin membuat perubahan ke atas sesuatu strategi untuk menyesuaikan dengan keadaan ekonomi, ini tidak bermakna perkara lama yang dilakukan itu buruk atau salah, sebaliknya ia tidak lagi relevan dan mempunyai konteks yang berbeza kerana jangkaan keadaan ekonomi sebelum ini mungkin telah jauh berubah.

 

Pengurusan perubahan menjadi strategi supaya strategi-strategi ekonomi yang di laksanakan menjadi aktor perubahan, bukan mangsa perubahan. Jika kita teliti banyak kerajaan memberi tumpuan kepada perubahan kerana mereka boleh mengawal proses perubahan. Kenapa begitu?

 

Kerana jika perubahan persekitaran berlaku di luar kawalan jauh lebih cepat daripada perubahan strategi ekonomi sesebuah negara maka ingatlah bahawa ekonomi sesuatu negara berada dalam bahaya.

 

Sudah tentu, pengurusan perubahan juga boleh berlaku apabila sesebuah kerajaan itu memperoleh aspirasi baru dalam bertindak balas terhadap pelbagai perubahan dalam persekitaran luaran seperti pelancaran kerangka Ekonomi Madani.

 

Kerajaan perlu melihat bahawa bukan ekonomi  yang terkuat yang bertahan, sebaliknya ekonomi yang paling peka dan responsif terhadap perubahan ini.

 

Faedah pengurusan perubahan

Pengurusan perubahan dijalankan oleh negara yang mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh bukan sebagai tindak balas reaktif jika perubahan berlaku. Strategi ini dijalankan sebagai persediaan apabila perubahan ini berlaku.

 

Apabila agensi dan pihak berkepentingan menjalankan pengurusan perubahan, mereka perlu terlebih dahulu menilai dan menilai keadaan semasa dan mengapa perubahan diperlukan. Pengurusan perubahan ini juga perlu diselaraskan dengan keupayaan, sumber dan pelaburan negara. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags