‘iQiyi Bersama Rakyat Malaysia’ tawar langganan VIP percuma selepas vaksinasi | DagangNews Skip to main content

‘iQiyi Bersama Rakyat Malaysia’ tawar langganan VIP percuma selepas vaksinasi

 ‘iQiyi Bersama Rakyat Malaysia’ tawar langganan VIP percuma selepas vaksinasi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Peneraju penstriman hiburan Asia, iQiyi menawarkan baucer langganan VIP percuma selama dua minggu kepada orang ramai selepas mendapatkan vaksinasi. 

 

Tawaran melalui program ‘iQiyi Bersama Rakyat Malaysia’ itu merupakan kerjasama iQiyi bersama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi menggalakkan lagi usaha vaksinasi COVID-19 di negara ini.

 

Mengulas berkaitan kerjasama itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, gandingan padu pihak kerajaan dan swasta dapat menyebarkan mesej yang kuat dan jelas bahawa semua pihak memainkan peranan dalam mencegah penyebaran COVID-19 dan mempromosi kesedaran awam mengenai vaksin COVID-19.

 

"CITF telah memperluas usaha imunisasi secara signifikan dengan memastikan akses kepada lebih banyak dos vaksin yang akan membolehkan bekalan mencukupi di seluruh negara. 

 

"Pelaksanaan vaksinasi COVID-19 adalah disokong dengan membuka lebih banyak PPV termasuk PPV mega yang mempunyai kapasiti lebih besar untuk memberikan ribuan suntikan setiap hari dalam masa beberapa minggu akan datang. 

 

"Selain itu, PICK turut disokong oleh program pemberian vaksin yang disediakan menggunakan kemudahan pandu lalu," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

.

 

Dengan kerjasama itu, ratusan ribu baucar akan diberikan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.5 juta.

 

Dengan kelebihan lebih 3,000 kandungan Asia di platform iQiyi International yang diberikan secara percuma, iQiyi menjalankan tanggungjawabnya menyokong CITF bagi mendorong peningkatan pendaftaran dan kadar kehadiran vaksinasi.

 

Sementara itu, Pengurus Besar iQiyi Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan CITF dengan menghadiahkan langganan percuma kepada rakyat Malaysia yang telah menerima vaksin COVID-19.

 

"Kami ingin menghiburkan orang ramai dengan kandungan hebat Asia ketika mereka berada di rumah seterusnya menjadikan masa yang diluangkan sepanjang PKP 3.0 terasa lebih seronok dan tidak membosankan," katanya. - DagangNews.com