Ijab Qabul - satu daripada konsep jual beli menurut Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 26 January 2024

Ijab Qabul - satu daripada konsep jual beli menurut Islam

 

 

 

JUAL beli ialah suatu akad atau kontrak ke atas pertukaran harta dengan harta bagi tujuan pemilikan secara selama-lamanya. Jual beli berlaku apabila ada pertukaran harta dengan tujuan pemilikan.

 

Demikian juga, sesuatu jual beli hendaklah berlaku ke atas sesuatu yang diiktiraf sebagai harta mengikut syarak. Jadi, tidak sah menjadikan khinzir sebagai bahan berkontrak (barang yang dijual atau dibeli) kerana syarak tidak mengiktirafnya sebagai harta.

 

Definisi jual beli (al-bay’) menurut bahasa ialah pertukaran sesuatu dengan sesuatu yang lain. Manakala menurut syarak pula ialah akad dalam menukarkan sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan.

 

Hukum asal jual beli adalah harus kerana bertujuan untuk menyempurnakan hajat manusia yang memerlukan sesuatu sebagai pemilikan. Syariat ini telah termaktub dalam al-Quran dan hadis, bahkan telah diperakui oleh ijmak ulama.

 

Pensyariatan atau sumber dalil jual beli adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba….” (Surah al-Baqarah: 275)

 

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “...janganlah kamu makan harta yang ada di kalangan kamu secara batil, melainkan dengan cara perniagaan secara redha antara kamu.” (Surah al-Nisa’: 29)

 

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “…pekerjaan tangan seseorang dari setiap jual beli yang baik-baik iaitu jual beli yang tidak sambil (menipu barang dagangan) lagi pula tidak khianat .”


 

irsyad

 


Seluruh ulama bersepakat bahawa jual beli adalah harus untuk keperluan dan kepentingan dalam kehidupan.

 

Imam al-Syafie berkata: “Asal bagi semua jual beli adalah harus jika kedua-dua orang yang berjual beli itu reda dengan barang yang dijual beli itu, kecualilah jenis jual beli yang dilarang Rasulullah SAW.”

 

Akad atau kontrak ialah perkara yang membawa makna yang sama serta mempunyai rukun dan syarat-syarat. Rukun ialah elemen yang perlu ada ketika berkontrak dan terkandung dalam kontrak tersebut.

 

Terdapat empat elemen rukun jual beli yang perlu diketahui dan dipatuhi dalam melaksanakan urusan muamalah seharian. Berikut adalah perincian setiap rukun dan syarat jual beli.

 

1. Penjual dan pembeli

Perincian syarat terhadap rukun ini ialah seorang yang baligh, berakal dan mampu menguruskan barangan dengan baik.

 

Perlakuan atas kemahuan sendiri dan bukan secara paksaan dan bebas membuat pilihan kecuali dalam kes yang melibatkan undang-undang.

 

Penjual dan pembeli adalah dua orang individu yang berlainan, beragama Islam bagi jual beli yang melibatkan al-Quran, hadis dan kitab yang mengandungi ayat al-Quran di dalamnya.

 

Pembeli bukan seorang yang kafir harbi (yang boleh diperangi) jika barangan yang dibeli adalah peralatan senjata.


 

irsyad

 


2. Barang jualan

Perincian syarat terhadap rukun ini ialah hendaklah wujud dan boleh diserahkan semasa akad jual beli dilakukan kecuali dalm jual beli al-Salam dan al-Istishna’. Barang jualan adalah bersih dan suci.

 

Seterusnya berfaedah menurut syarak dan bernilai menurut Islam. Kepunyaan penjual atau wakilnya.

 

Perlu diketahui oleh penjual dan pembeli tentang kadar, jenis dan sifatnya.

 

3. Harga atau kadar bayaran

Perincian syarat terhadap rukun ini ialah bayaran adalah bernilai atau laku dalam pasaran.

 

Bayaran jelas jumlahnya. Bayaran adalah milik pembeli. Bayaran boleh diserahkan kepada penjual walaupun secara hukum (sah jual beli dengan cek atau kad kredit).

 

Jenis matawang bayaran diketahui oleh penjual dan pembeli.

 

4. Ijab dan qabul

Perincian syarat terhadap rukun ini ialah tawaran (ijab) hendaklah berterusan dan tidak diubah hinggalah telah diterima (qabul). Ijab dan qabul berlaku dalam satu majlis dan tidak wujud tempoh yang lama antara kedua-duanya.

 

Seterusnya, ijab dan qabul tidak diselangi dengan percakapan atau perkataan lain yang tidak berkaitan dengan akad.

 

Wujud persamaan ijab dan qabul walaupun berlainan lafaz.


 

irsyad

 


Akad jual beli tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu yang tidak berkaitan dengan akad. Akad jual beli tidak boleh dihadkan untuk tempoh tertentu.

 

Apabila wujud elemen-elemen rukun seperti pembeli dan penjual, barang jualan dan harga tertentu serta serah-menyerah berdasarkan harga tertentu, maka sesuatu kontrak menjadi sah.- DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags