Kelebihan dan keistimewaan orang bertakwa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 23 February 2024

Kelebihan dan Keistimewaan Orang Bertakwa

 

 

 

PERKATAAN ‘takwa’ telah disebutkan lebih 200 kali di dalam al-Quran yang merupakan sifat paling banyak diperkatakan di dalam al-Quran berbanding sifat mulia yang lain, bahkan ‘takwa’ menjadi sifat pertama disebutkan iaitu ‘al-muttaqin’ (orang yang bertakwa) pada ayat ke-2 dalam Surah al-Baqarah.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 2)

 

Menurut Imam al-Ghazali, takwa bermaksud usaha membersihkan diri dari dosa yang sebelumnya sehingga lahir motivasi dalam diri untuk meninggalkannya atau dengan kata lain, takwa menjadi usaha untuk menjaga diri dari kemaksiatan.

 

Takwa ditafsirkan ke dalam tiga makna seperti yang terdapat dalam al-Quran. 

 

Pertama, ‘khasyyah’ (takut berbalut cinta) dan ‘haibah’ (takut berbalut pengagungan).

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan takutlah kalian dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kalian dikembalikan kepada Allah.” (Surah al-Baqarah: 41)

 

Kedua, taat dan beribadah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Surah Ali Imran: 102).

 

Ketiga, membersihkan hati dari berbagai dosa. Firman Allah SWT yang bermaksud:  “dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (Surah al-Nur: 52)

 

 

irsyad

 

 

Terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang Allah SWT telah janjikan kepada orang bertakwa seperti yang telah dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran.

 

1. Jalan atau penyebab untuk masuk ke dalam syurga.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Itulah taman syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.” (Surah al-Maryam: 63)

 

2. Menjadikan sebab amalan dan ibadah seseorang akan diterima.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanya- sanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Maidah: 27)

 

3. Dipermudahkan urusan dalam kehidupan seharian.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “…Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.” (Surah al-Talaq: 4)

 

4. Menjamin keluasan dan kemurahan rezeki dari Allah SWT

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah s.w.. telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq: 2-3)

 

5. Dikurniakan keselamatan dari kecelakaan kepada seseorang

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.” (Surah al-Maryam: 71-72)

 

6. Memperoleh keampunan Allah SWT daripada dosa-dosa.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Surah al-Anfal: 29)

 

Demikianlah sebahagian kelebihan dan keistimewaan orang yang bertaqwa kepada Allah SWT seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran sebagai motivasi dan pembakar semangat supaya berusaha mencapai takwa di sisi Allah SWT. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags