Ketahui asas dan syarat Zakat Perniagaan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 6 October 2023

Ketahui Asas dan Syarat Zakat Perniagaan

 

 

 

ZAKAT perniagaan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas golongan yang telah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan digariskan oleh Islam.

 

Zakat perniagaan adalah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada melibatkan barangan atau perkhidmatan yang dijalankan dalam kehidupan.

 

Secara lebih terperinci, zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan, sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.

 

Seterusnya, bentuk perniagaan yang dikenakan zakat termasuk perniagaan persendirian, perkongsian, dan malahan perniagaan perkongsian dengan rakan kongsi bukan Islam.

 

Semua jenis syarikat, koperasi, gerai, perniagaan atas talian, perniagaan saham, dan setiap aktiviti yang melibatkan pertukaran wang untuk barangan atau perkhidmatan dikira sebagai perniagaan dan perlu membayar zakat jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. 

 

 

irsyad

 

 

Asas atau dalil zakat perniagaan berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah al-Nur: 37)

 

Selain itu, terdapat hadis Nabi SAW yang bermaksud: “dan jika sesuatu harta berkongsi bercampur oleh dua orang, maka keduanya saling mengeluarkan zakat dengan adil (sesuai dengan kadar atau bahagian masing-masing).” (Riwayat al-Bukhari)

 

Sementara, berkaitan asas umum pengiraan zakat perniagaan bersandarkan riwayat daripada Maimun Ibn Mihran: “Apabila sudah tiba tempohnya kamu berzakat (cukup haul), maka hitunglah berapa jumlah wang tunai yang ada padamu, dan bagi barang perniagaan yang ada, nilailah ia dengan matawang, begitu juga segala hutang pelangganmu yang mampu (diharap kembali) hendaklah diambilkira dan kemudian tolakkan hutangmu sendiri, barulah dikeluarkan zakat atas bakinya itu.” (Riwayat Abu Ubayd al-Qasim Ibn Salam, Kitab Al-Amwal)

 

Terdapat beberapa syarat wajib zakat perniagaan yang telah ditentukan seperti yang dijelaskan oleh pelbagai kitab fiqh sebagai panduan kepada masyarakat Islam yang menjalankan perniagaan.

 

Pertama, individu Muslim. Perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang Islam sahaja yang dikenakan zakat.

 

Kedua, sempurna hak milik. Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus (tasarruf) iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.

 

Ketiga, cukup nisab. Paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.

 

Keempat, cukup haul. Genap setahun perniagaan. Penilaian harta perniagaan adalah dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul.

 

Kelima, niat berniaga. Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.

 

Keenam, barang perniagaan dan Perkhidmatan yang Halal. Perniagaan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir ataupun perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah asas dan syarat zakat perniagaan yang telah dijelaskan oleh para ulama sebagai panduan dan perincian kepada golongan yang diwajibkan kerana memiliki perniagaan. - DagangNews.com

 

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

 

irsyad
Portfolio Tags