Kita semua mahu memiliki ciri-ciri orang bertakwa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 1 March 2024

Kita semua mahu memiliki ciri-ciri orang bertakwa

 

 

 

Masyarakat Islam dituntut dan dianjurkan sentiasa berdoa dan berharap supaya Allah SWT mempertemukan dengan bulan Ramadan setiap kali masuk bulan Rejab dan Syaaban.

 

Sewajarnya masyarakat Islam sentiasa melakukan muhasabah dan penilaian terhadap puasa yang telah dilakukan pada tahun terdahulu sama ada mampu mencapai darjat ketakwaan seperti tujuan puasa.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

 

Terdapat beberapa ciri orang bertakwa yang telah digariskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai panduan dan bimbingan kepada masyarakat Islam.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain, dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan." (Surah Ali-Imran: 134)

 

Ayat di atas menjelaskan empat ciri orang yang bertakwa yang perlu dilihat secara mendalam dan terperinci supaya menjadi panduan masyarakat Islam.

 

Pertama, mampu dan suka bersedekah atau memberi infak sama ada dalam keadaan lapang (senang) mahupun ketika dalam keadaan sempit (susah).

 

Orang yang bertakwa adalah orang yang suka bersedekah, saling membantu orang yang memerlukan dan menolong orang yang dalam kesusahan dengan sebahagian harta serta rezeki yang dimiliki.

 

Bersedekah dalam kedaan lapang atau senang, sudah tentu lebih mudah untuk dilakukan, berbeza keadaan bersedekah ketika diri dan keluarga sendiri dalam keadaan kekurangan serta kesusahan.

 

Sekiranya dalam keadaan susah masih lagi mampu ikhlas bersedekah, maka itulah ciri orang yang bertakwa seperti yang Allah SWT nyatakan dalam ayat di atas.

 

Kedua, mampu menahan amarah atau sikap marah. Setiap individu pasti memiliki sifat amarah, bahkan menjadi sifat kebiasaan segelintir individu.

 

Ketika seseorang direndahkan martabat dan dicederakan fizikal, maka akan wujud secara spontan dorongan untuk membalas atau melampiaskan amarah kepada orang yang merendahkan atau mencederakan.

 

Respon dan refleks dengan marah tersebut dari sisi kemanusiaan dilihat seperti wajar.

 

Namun, Allah SWT akan menaikkan darjat seseorang sekiranya mampu menahan amarah ketika direndahkan, dicederakan atau tidak dihargai.

 

Oleh kerana itu, Nabi SAW pernah menyatakan bahawa orang yang kuat itu bukanlah orang yang menang atau kuat dalam bergusti, tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menahan diri dari amarah.

 

Perlu difahami bahawa kekuatan dan keperkasaan seseorang tidak dilihat dari sudut kekuatan fizikal, tetapi dari sudut kekuatan menahan marah atau mengendalikan kemarahan.

 

Ketiga, mampu memberi maaf kepada orang lain. Sukarela memberi kemaafan di atas kesalahan orang yang telah melukai dan menyakiti hati, adalah sikap yang sukar dizahirkan.

 

Kerelaan memaafkan kesalahan orang lain memerlukan sikap berjiwa besar dan berlapang dada kerana memerlukan keikhlasan dan bebas dari rasa dendam kesumat.

 

Keempat, mampu melaksanakan ihsan atau berbuat baik. Fitrah semulajadi manusia, tidak ada manusia yang tidak suka dengan kebaikan. Begitulah juga para pendosa yang suka melakukan kemaksiatan, melanggar larangan Allah SWT, pasti di dalam hatinya mengakui dan merindukan kebaikan.

 

Lazimnya, tidak ada orang yang tidak suka dengan perbuatan yang baik. Ketika seseorang sentiasa berbuat baik (ihsan), maka secara automatik seseorang telah berjaya meninggalkan perbuatan yang buruk dan dosa. Secara tidak langsung, keburukan secara automatik dapat dicegah dengan kebaikan.

 

Demikianlah ciri-ciri orang bertakwa yang menuntut pengorbanan besar perlu dilakukan dalam kehidupan, maka sewajarnya golongan ini mendapat darjat ketakwaan di sisi Allah SWT. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags