Lima panduan menyambut Hari Raya Aidilfitri | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 21 April 2023

Lima panduan menyambut Hari Raya Aidilfitri

 

 

KEHADIRAN 1 Syawal 1444 (22 April 2023) adalah suatu anugerah dan kemenangan kerana kejayaan umat Islam melaksanakan tuntutan agama yang merupakan antara lima rukun Islam perlu dilaksanakan.

 

Aidilfitri adalah gabungan dua patah perkataan bahasa Arab iaitu ‘eid’ bermaksud kembali, perayaan atau hari ulang tahun.

 

Manakala ‘fitr’ pula bermakna berbuka atau makan serta minum kerana pada 1 Syawal umat Islam diharamkan berpuasa. Selain itu, ‘fitr’ juga bermakna fitrah atau tabiat semulajadi.

 

Ibadah puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadan mampu menjadikan seseorang bersih dari segala dosa dan pada 1 Syawal umat Islam akan kembali kepada fitrah seperti bayi yang baru dilahirkan.

 

 

ninot aziz

 

 

Terdapat beberapa panduan Islam dalam menyambut dan meraikan Aidilfitri selari kehendak serta landasan syariat supaya memperoleh ganjaran pahala dari Allah SWT:

 

1. Berazam konsisten melaksanakan amalan semasa Ramadan di bulan seterusnya

Segala amal ibadah yang dikerjakan semasa bulan Ramadan seperti solat tahajjud, solat sunat, bacaan al-Quran, mengawal perbuatan serta perkataan dan sebagainya perlu diteruskan pada bulan-bulan berikutnya.

 

Selain itu, amalan puasa juga boleh diteruskan pada bulan Syawal dengan melaksanakan puasa sunat enam hari sebagai pelengkap puasa di bulan Ramadan.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim: no.1164)

 

2. Berusaha kembali kepada fitrah dan melaksanakan peranan sebagai hamba

Sekiranya terdapat kepincangan dan kekurangan dalam ibadah, maka mesti berusaha memulihkan.

 

Contohnya solat lima waktu yang tidak ditunaikan secara sempurna, sebaiknya diperbaiki dan sedaya upaya diusahakan sehari semalam. Begitu juga dengan ibadah lain, perlu diperbaiki dan disempurnakan.

 

 

tnb

 

 

3. Berbelanja secara sederhana dan mengikut kemampuan diri masing-masing

Seharusnya masyarakat Islam memastikan sambutan Aidilfitri dalam keadaan sederhana dan tidak membebankan.

 

Sikap segelintir masyarakat yang suka meminjam dan berhutang semata-mata untuk memuaskan kehendak berhari raya adalah tindakan yang salah dan perlu disedarkan. Begitu juga, sikap menunjuk-nunjuk untuk menzahirkan kemewahan dan kelebihan demi hanya kepuasan diri.

 

Oleh itu elakkan diri dari berbelanja di luar kemampuan, dan sambutlah hari kemenangan Aidilfitri dengan seadanya, semampunya dan sesederhananya.

 

4. Hindari pembaziran

Masyarakat Islam perlu mengelakkan diri dari melakukan pembaziran semasa membuat persiapan hari raya sama ada dari sudut makanan, hiasan dan kelengkapan lain yang hanya untuk kelihatan cantik sahaja.

 

Kebiasaannya, apabila tiba hari raya segelintir sikap masyarakat akan menukar barangan perabot baru walaupun tidak rosak, cat rumah diwarnakan baru walaupun masih kelihatan cantik sehinggakan membawa kepada pembaziran.

 

 

ninot aziz

 

 

5. Membezakan budaya dengan agama

Lazimnya, amalan berziarah dan meminta maaf dilakukan semasa hari raya. Sedangkan meminta maaf adalah lebih baik sewaktu berada bulan Ramadan.

 

Begitu juga dengan amalan memberi duit raya pada hari raya, sebenarnya memberi sedekah adalah lebih baik pada bulan Ramadan kerana ganjaran pahala bersedekah ketika itu adalah sangat besar.

 

Namun, berziarah, memohon maaf, memberi duit pada hari Aidilfitri bukanlah suatu kesalahan, bahkan amalan tersebut membawa kepada mengeratkan silaturahim dan perlu diteruskan.

 

 

tnb

 

 

Demikianlah, panduan dan pedoman yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat Islam dalam menyambut hari kemenangan atau Aidilfitri supaya selari dengan tuntutan syariat Islam yang membawa keberkatan dalam kehidupan.

 

Teruskan berdoa mengharap dari Allah SWT sebagaimana orang soleh terdahulu:

"Ya Allah, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang kembali dan mendapatkan kemenangan. Semoga Allah menerima amal kita sekalian".

 

Aaminn - DagangNews.com

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags