Menghargai perjuangan dan pengorbanan Pahlawan Negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 02 Aug 2024 07:00 AM

Menghargai Perjuangan dan Pengorbanan Pahlawan Negara

 

 

 

PADA setiap 31 Julai Hari Pahlawan disambut sebagai memperingati perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan dianjurkan secara bergilir antara ATM dan PDRM sejak 1968.

 

Sambutan Hari Pahlawan adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan yang telah menetapkan satu hari yang khas bagi mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

 

 

irsyad

 

 

Kisah pengorbanan pahlawan dan perwira negara seakan sudah luput daripada ingatan masyarakat kerana hampir tidak kedengaran.

 

Generasi kini dilihat kurang memberi perhatian terhadap kisah perjuangan tokoh, sebaliknya lebih berminat terhadap kisah cinta dan politik. Bahkan, terdapat segelintir yang memandang rendah jasa anggota pasukan keselamatan negara.

 

Keberanian dan jati diri pahlawan negara seperti pejuang kemerdekaan, tentera, polis dan anggota keselamatan lain adalah terbukti sangat kuat dan berkesan dalam perjuangan membebaskan dan mempertahankan tanah air daripada cengkaman musuh bermula dari tahun 1511 sehinggalah merdeka.

 

Sejarah telah mencatatkan bahawa kepercayaan dan keyakinan pahlawan negara terhadap pegangan Islam dapat dilihat jelas dan diketahui menjadi punca kekuatan jati diri pahlawan negara.

 

Para pahlawan negara berani menentang penjajah menggambarkan bahawa mempunyai kefahaman agama yang tinggi kerana mempertahankan agama dan negara adalah kewajipan fardhu ain dalam agama.

 

Terdahulu, tokoh pahlawan Tanah Melayu yang telah memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah seperti Dato’ Maharaja Lela gelaran Pandak Lam Bin Maharaja Lela Maulud, Tok Janggut gelaran Haji Mat Hassan bin Mat Munas, Dato’ Dol Said gelaran Dato’ Abdul Said bin Omar dan sebagainya.

 

 

irsyad

 

 

Kebanyakan pahlawan negara adalah terdiri dari golongan ulama dan diikuti oleh anak murid masing-masing. Contohnya, tekanan dan permasalahan yang menimpa masyarakat Islam di negeri-negeri Melayu pada zaman penjajahan telah mendapat perhatian serius dalam kalangan ulama Melayu yang sedang menuntut dan mengajar di Mekah antaranya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

 

Ulama tersohor yang tercatat dalam lipatan sejarah sebagai pejuang kedaulatan watan ialah Tok Kenali di Kelantan, Kiyai Haji Salleh di Johor, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Tuan Besar dan Tok Ku Paloh pula adalah nama gah di Terengganu.

 

Sheikh Daud dan para ulama Melayu selalu menekankan kewajiban masyarakat Islam untuk berjihad sekiranya negeri dijajah oleh orang-orang kafir. Hukum jihad akan kekal sehingga masyarakat Islam mendapat kembali negeri yang dikuasai oleh orang-orang kafir.

 

Berdasarkan pesanan-pesanan tersebut, para pahlawan negara bertekad untuk menentang penjajah dalam kalangan orang kafir. Selain itu, perwira-perwira negara ini berjuang dan berjihad membebaskan penderitaan rakyat yang dibebani dengan pelbagai jenis penindasan seperti cukai yang melampau yang dikenakan kepada rakyat oleh penjajah.

 

Terdapat pelbagai pengajaran dan iktibar yang boleh diperoleh dari semangat perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu dalam mempertahankan dan mendaulatkan negara tercinta.

 

Pertama, wajib mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan negara seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada setiap Muslim.

 

Allah SWT telah mengarahkan orang-orang yang beriman supaya sentiasa bersedia membela agama Islam, mempertahankan negara dan berjuang dengan ikhlas serta berani.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.” (Surah al-Taubah: 14)

 

 

irsyad

 

 

Kedua, meneladani perjuangan dan pengorbanan pahlawan-pahlawan negara yang ikhlas menyelamat dan mempertahankan negara.

 

Para perwira meyakini perjuangan itu bukan dinilai sama ada kalah mahupun menang tetapi yang lebih penting adalah semangat juang yang ikhlas dalam mempertahankan maruah agama Islam, bangsa dan negara demi menegakkan keadilan dan kebenaran.

 

Jangan digadaikan kesucian agama, merosakkan diri dan musnahkan keluarga dengan penyakit tamak dan dengki untuk mencari kepentingan dunia, harta, pangkat dan kedudukan.

 

Kesucian jiwa dan keikhlasan hati para perwira menyebabkan musuh atau penjajah berasa gerun dan gementar kerana sanggup mengorbankan masa muda untuk berjuang demi agama dan negara. Meninggalkan keluarga tersayang dan kampung halaman demi sebuah perjuangan jauh di hutan belantara menghadapi musuh.

 

 

irsyad

 

 

Ketiga, yakin terhadap janji-janji Allah SWT yang akan memberikan kemenangan di dunia, dikurniakan mati syahid dan ganjaran syurga di akhirat kelak. Ganjaran mati syahid ‘fi sabilillah’ ini adalah lebih besar dan tidak dapat manusia tentukan dan hitungkan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka. Allah akan memimpin mereka yang berjuang (ke jalan mendapat sebaik-baik balasan) dan menjadikan keadaan mereka baik dan berguna (di dunia dan di akhirat). Serta memasukkan mereka ke dalam Syurga yang telah dijanjikan dan diterangkan sifat-sifatnya kepada mereka.” (Surah Muhammad: 4-6)

 

Demikianlah pengajaran dan impak positif yang boleh diterapkan kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, remaja, pemuda mahupun golongan dewasa.

 

Semangat dan keberanian perwira negara perlu menjadi inspirasi kepada generasi muda masa kini bagi mencintai dan mempertahankan tanah air, agama Islam dan bangsa yang tercinta.  - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews