Pos Malaysia lantik Natalia sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia baharu berkuat kuasa 2 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia lantik Natalia sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia baharu berkuat kuasa 2 Januari 2025

Natalia Ahmed Shukri Navin
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Jan - Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), mengumumkan pelantikan Natalia Ahmed Shukri Navin sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan baharu berkuatkuasa 2 Januari 2025. 

 

Beliau akan melaporkan diri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer.

 

Brewer berkata, pihaknya amat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan Natalia ke dalam keluarga Pos Malaysia sebagai anggota pasukan pengurusan kanan. 

 

"Beliau merupakan seorang pemimpin sumber manusia yang cemerlang dengan rekod prestasi yang terbukti dalam membina pasukan berprestasi tinggi dan memacu perubahan organisasi yang berimpak besar. 

 

"Pengalaman luas dan kepakaran mendalam beliau dalam bidang sumber manusia, yang diperoleh di syarikat tempatan dan multinasional, akan memainkan peranan penting dalam memajukan strategi insan kami dan membawa ia ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas mengenai pelantikannya, Natalia berkata, beliau berbangga dapat menyertai Pos Malaysia yang juga institusi dan syarikat logistik terkemuka di Malaysia. 

 

"Saya tidak sabar untuk memberikan sumbangan kepada perjalanan peralihan syarikat ini. Budaya Pos Malaysia yang mengutamakan kesejahteraan tenaga kerja serta komitmennya terhadap perkembangan dan kejayaan pekerja sangat memberi inspirasi kepada saya. 

 

"Saya akan memperkukuhkan lagi budaya kerja di sini, sambil melaksanakan strategi inovatif yang akan terus memperkasakan pekerja kami untuk mencapai potensi penuh mereka dan memberi kesan yang berkekalan," ujarnya.

 

Dalam peranan baharunya, Natalia akan memberi fokus kepada pengukuhan strategi insan Pos Malaysia, dengan penekanan terhadap perubahan budaya, pengurusan dan pembangunan bakat, penglibatan pekerja serta keselamatan.

 

Sebelum menyertai Pos Malaysia, Natalia berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia di Maxis dari tahun 2019 hingga 2024.

 

Beliau yang berkelulusan dalam bidang undang-undang, memulakan kerjayanya sebagai Peguam Bela & Peguam Cara di Zaid Ibrahim & Co dalam bidang perhubungan industri dan undang-undang pekerjaan, sebelum berkhidmat dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR). 

 

Natalia kemudian memegang beberapa peranan kepimpinan dalam bidang sumber manusia di organisasi terkemuka di pelbagai sektor, di mana beliau berjaya memacu inisiatif sumber manusia dan usaha perubahan di rantau Asia Pasifik.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Staffordshire. - DagangNews.com