Pelancong 48 negara termasuk Malaysia perlu ETA masuk ke UK mulai 8 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Pelancong 48 negara termasuk Malaysia perlu ETA masuk ke UK mulai 8 Januari 2025

ETA yang sah untuk dua tahun dan membenarkan kemasukan berbilang kali itu disambungkan secara digital dengan pasport pelancong.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Jan - Pelancong dari 48 buah negara termasuk Malaysia, kini perlu memperoleh Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA) sebelum memasuki United Kingdom mulai 8 Januari 2025.

 

Keperluan baharu itu, yang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan sempadan, terpakai untuk lawatan jangka pendek kurang daripada enam bulan untuk tujuan seperti pelancongan, perniagaan, pengajian jangka pendek atau komitmen kerja berbayar yang diluluskan.

 

Antara negara yang terlibat adalah Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura. 

 

Warga Kesatuan Eropah pula hanya perlu memperoleh ETA mulai 2 April 2025, manakala penduduk yang sudah tinggal di United Kingdom dikecualikan daripada keperluan tersebut.

 

Sistem ETA, yang serupa dengan ESTA di AS, adalah sistem prapenapisan terhadap pengunjung sebelum ketibaan mereka.

 

Pada awalnya dilancarkan tahun lalu untuk warganegara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), skim berkenaan kini diperluaskan kepada negara-negara bukan Eropah, termasuk berjuta-juta pelawat tahunan dari AS, Kanada dan Australia.

 

ETA yang sah untuk dua tahun dan membenarkan kemasukan berbilang kali itu disambungkan secara digital dengan pasport pelancong.

 

Sekiranya pasport diperbaharui dalam tempoh sama, pelancong perlu memohon ETA baharu.

 

Permohonan yang berharga sekitar RM60, boleh dihantar secara dalam talian atau melalui aplikasi rasmi kerajaan UK.

 

Proses permohonan melibatkan pengisian butiran pasport, mengambil swafoto dan menjawab beberapa soalan berkaitan perjalanan, yang mengambil kira-kira 20 minit untuk diselesaikan.

 

Keputusan biasanya akan dikeluarkan dalam tempoh tiga hari dan pelancong disarankan untuk memohon lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.

 

Walaupun kelulusan awal diperoleh melalui ETA, kelulusan kemasukan akhir masih bergantung kepada budi bicara pegawai di pemeriksaan imigresen.

 

Pihak berkuasa menasihatkan pelancong untuk menggunakan saluran permohonan rasmi bagi mengelakkan risiko keselamatan atau caj tambahan. - DagangNews.com