Ekonomi Malaysia kekal stabil pada 2025 walaupun terdapat kebimbangan geopolitik - FMM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia kekal stabil pada 2025 walaupun terdapat kebimbangan geopolitik - FMM

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Jan - Ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil tahun ini walaupun terdapat potensi ketegangan geopolitik, kata Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

 

Presidennya, Soh Thian Lai berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka berada dalam lingkungan 4.5% hingga 5% tahun ini, susulan kadar pertumbuhan 5.9% pada suku kedua (Q2) dan 5.3% pada suku ketiga (Q3) tahun lepas.

 

Jelas beliau, pertumbuhan KDNK akan dipacu oleh permintaan yang kukuh, aktiviti pelaburan yang teguh, serta pertumbuhan dalam sektor eksport dan pelancongan.

 

"Bagaimanapun, risiko masih wujud, termasuk pemulihan yang lebih perlahan di China, kemungkinan perubahan dasar di Amerika Syarikat (AS), turun naik harga komoditi global dan tekanan inflasi domestik," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, kesan tarif AS terhadap eksport Malaysia dijangka terhad berdasarkan data sejarah.

 

Thian Lai berkata, eksport terus menunjukkan prestasi yang baik tahun ini, dengan sektor utama seperti elektrik dan elektronik, semikonduktor, minyak sawit, mesin dan bahan kimia menjadi pemacu perkembangan.

 

Bagaimanapun beliau menambah, inflasi dijangka meningkat kepada sekitar 3% tahun ini, didorong oleh faktor domestik seperti kenaikan gaji minimum, perubahan dalam caruman KWSP untuk pekerja asing, lanjutan cukai jualan dan perkhidmatan serta usaha rasionalisasi subsidi.

 

"Namun, inflasi dijangka kekal dalam julat sasaran Kementerian Kewangan iaitu 2-3.5%," ujarnya.

 

Beliau berkata, nilai ringgit dijangka kekal kukuh pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang teguh dan sektor pelancongan yang semakin pulih.

 

"Faktor seperti pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan AS, perubahan bekalan buruh dan inflasi akan mempengaruhi kekuatan mata wang tersebut," katanya. - DagangNews.com