Jumlah jualan kereta dijangka meningkat dipacu oleh kenaikan gaji kakitangan awam - BIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Jumlah jualan kereta dijangka meningkat dipacu oleh kenaikan gaji kakitangan awam - BIMB Securities

Gambar hiasan dari Freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Permintaan domestik kukuh didorong oleh kenaikan gaji kakitangan awam dan pengenalan gaji minimum yang lebih tinggi tahun bakal memacu jumlah jualan kereta, kata BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran jumlah volum industri (TIV) bagi sektor automotif sebanyak 810,000 unit pada 2025.

 

Katanya, unjuran tersebut disokong oleh trend dahulu yang menunjukkan jumlah kereta terjual meningkat sejajar dengan kenaikan gaji kakitangan awam. 

 

“Sebagai contoh, TIV meningkat sebanyak 7% tahun ke tahun (YoY) pada 2008 dan 5% YoY pada 2012, dipacu oleh kenaikan gaji kakitangan awam.

 

"Kenaikan gaji mempunyai kesan yang ketara kepada pengguna yang akan mendorong kepada peningkatan permintaan automotif," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Pelarasan gaji penjawat awam akan datang yang dilaksanakan dalam dua fasa pada 1 Disember 2024 dan fasa kedua pada 1 Januari  2026, dijangka mempunyai kesan yang sama.

 

Firma penyelidikan itu berkata fasa satu akan membantu mengekalkan permintaan pada 2025, manakala fasa dua dijangka memanjangkan trajektori pertumbuhan ke 2026.

 

BIMB Securities berkata, kenaikan pendapatan, dasar kerajaan yang menyokong dan sentimen pasaran yang positif akan meletakkan 2025 sebagai tahun penting bagi sektor automotif.

 

Sektor automotif mencatat prestasi stabil dalam tempoh 11 bulan 2024, dengan TIV mencecah 731,534 unit, mencerminkan pertumbuhan sederhana 1.4% YoY  berbanding 721,392 unit dalam tempoh yang sama pada 2023.

 

Sementara itu, BIMB Securities berkata rasionalisasi subsidi RON95 boleh memacu peralihan ke arah kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan jimat bahan api.

 

"Kami juga menjangkakan golongan berpendapatan tinggi daripada isi rumah T15 mungkin mengambil peluang ini untuk beralih kepada EV akibat kos bahan api yang semakin meningkat," kata firma penyelidikan itu.

 

Oleh itu, BIMB Securities mengekalkan pendirian "overweight" terhadap sektor automotif.

 

Sehubungan dengan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan panggilan "beli" ke atas Sime Darby Bhd dengan harga sasaran (TP) RM2.60 dan "tahan" bagi MBM Resources Bhd (TP: RM5.50) dan Bermaz Auto Bhd (TP: RM1.46).

 

Namun begitu, risiko penurunan saranan termasuk kenaikan kadar faedah, yang boleh meningkatkan kos pembiayaan kenderaan, permintaan pengguna yang lebih rendah dan gangguan rantaian bekalan global yang berterusan.- DagangNews.com