Pembudayaan sifat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 31 May 2024

Pembudayaan sifat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan

 

 

 

LAZIMNYA kesukarelawanan dikaitkan dengan aktiviti kebajikan yang dijalankan untuk membantu golongan memerlukan kerana sifat manusia memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi.

 

Bantuan yang boleh dihulurkan sangat luas dan pelbagai antaranya ialah disebabkan faktor bencana, kesihatan, kebajikan, sosioekonomi, pembangunan komuniti, perpaduan, pendidikan, pertanian, alam sekitar, dan sebagainya.

 

Islam sangat memandang mulia dan menganjurkan seluruh masyarakat Islam memupuk semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan dalam membantu golongan yang terkesan dan memerlukan.

 

Nabi SAW menggalakkan melakukan amalan kebajikan dan kesukarelawanan melalui hadis yang bermaksud “Perkara yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada manusia lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang menggembirakan orang lain atau meringankan bebanannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan” (Hadis hasan riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath: no.6026).

 

 

irsyad

 

 

Seterusnya Nabi SAW juga telah memperincikan maksud sedekah dalam konteks kebajikan dan kesukarelawanan melalui hadis yang bermaksud “Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam. Seorang sahabat bertanya: jika tiada apa yang hendak diberi? Jawab Baginda: hendaklah dia bekerja dan bila dapat duit, sedekahkanlah sebahagiannya. Sahabat itu bertanya lagi: jika tidak boleh bekerja? Jawab Baginda: tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan. Kalau ini juga tidak dapat dilakukan? tanya sahabat itu lagi: Baginda menjawab: beri nasihat untuk berbuat baik. Sahabat itu bertanya: jika itupun tidak dapat dilakukan? Jawab Baginda: janganlah ia melukakan hati orang lain, itulah sedekahnya” (Hadis Riwayat al-Bukhari: no.6022).

 

Hadis di atas menjelaskan bahawa sedekah atau amalan kebajikan dan kesukarelawanan itu tidak terhad kepada memberi wang semata-mata tetapi juga membantu orang yang dalam kesusahan, memberi nasihat untuk kebaikan dan tidak melukakan hati orang lain.

 

Selain itu, ketiadaan wang bukanlah alasan untuk tidak bersedekah. Malah, Nabi SAW menuntut agar berusaha untuk mencari kerja agar sebahagian dari hasilnya dapat didermakan. Malah, terdapat dalam hadis yang lain Nabi SAW menyatakan bahawa senyum itu juga merupakan satu sedekah.

 

Islam amat menganjurkan dan menggalakkan seluruh umat Islam untuk berusaha saling menjaga kebajikan ahli masyarakat yang merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.

 

Pertama, menghulurkan bantuan dan khidmat dalam memenuhi keperluan fizikal atau tempat tinggal. Allah SWT telah merakamkan contoh teladan yang terbaik tersebut melalui kisah orang Ansar yang telah memberi khidmat menyediakan tempat kediaman kepada golongan Muhajirin.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya, orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman serta pertolongan (kepada orang yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain… dan jika mereka meminta pertolongan dari kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya…” (Surah al-Anfal: 72).

 

 

irsyad

 

 

Kedua, membantu dalam memenuhi keperluan kewangan dan material. Ini termasuk dalam konteks bantuan kewangan dan material dalam memenuhi keperluan harian seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya” (Surah ar-Rum: 38).

 

Ketiga, mengisi keperluan kerohanian dan spiritual. Keperluan spiritual ialah membantu ahli masyarakat untuk memiliki ilmu keagamaan dan kerohanian serta mengamalkannya. Dalam kata lain, termasuk di dalam konsep kebajikan ini ialah menyampaikan ilmu keagamaan serta amar maaruf nahi mungkar.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan…” (Surah al-Taubah: 71)

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah anjuran dan panduan Islam dalam melakukan amalan kebajikan dan kesukarelawanan untuk saling membantu sesama insan supaya wujud nilai keprihatinan dan kepeduliaan. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags