Pendefinisian Asnaf ‘Ibn Sabil’ menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 4 August 2023

Pendefinisian Asnaf ‘Ibn Sabil’ menurut Ulama Mazhab dan Ulama Semasa

 

 

 

ASNAF ‘Ibn Sabil’ adalah asnaf yang kelapan atau terakhir dalam senarai yang layak menerima dana zakat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah zakat itu hanyalah bagi orang-orang fakir, miskin, amil, mualaf yang dipujuk hatinya, untuk hamba, orang yang berhutang, pada jalan Allah dan orang-orang yang dalam perjalanan sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Tawbah: 60)

 

Terdapat pelbagai lagi ayat al-Quran yang menyentuh tentang galakan memberi bantuan kepada ibn al-sabil.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah.” (Surah al-Rum: 38)

 

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.” (Surah al-Baqarah:177)

 

Selanjutnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anakanak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah al-Baqarah: 215)

 

Ketiga-tiga ayat al-Quran di atas menunjukkan bahawa Islam menggalakkan umat Islam membantu golongan ibn al-sabil kerana akan mendapat kebaikan dan pahala yang besar daripada Allah SWT.


 

irsyad
Masjid Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan. - Gambar Muhammad Asysyahiid

 


Allah SWT turut memberi jaminan untuk membantu seseorang sekiranya membantu orang lain. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan membantu seseorang hamba itu selama dia membantu saudaranya.” (Riwayat Muslim)

 

Perkataan ‘ibn’ bermaksud anak, manakala ‘al-sabil’ pula bermaksud jalan. Gabungannya bermaksud anak jalan. Ungkapan ini merupakan satu kiasan terhadap orang yang selalu merantau atau bermusafir disebabkan selalu berada di jalan bagi tujuan permusafiran tersebut.

 

Lazimnya, tatabahasa Arab menisbahkan penyifatan sesuatu sebagai ‘anak’ daripada sesuatu yang dia sertai.

 

Menurut Ibn Qudamah yang bermazhab Hanbali, ibn al-sabil adalah musafir yang tidak memiliki (harta) untuk membekali kepulangannya ke negara asal, sementara dia merupakan orang yang mampu di negaranya. Maka, dia diberikan sekadar yang mencukupinya sebagai bekal untuk kembali ke negaranya atau berhak memperoleh harta zakat sekadar keperluan safarnya serta tidak lebih.

 

Menurut al-Bahuti bermazhab Hanbali dalam kitabnya ‘Kashshaf al-Qina‘ ‘an Matn al-Iqna’ menjelaskan ibn al-sabil dalam konteks asnaf zakat bermaksud musafir yang menempuhi kesukaran dalam perjalanannya dan perjalanannya itu adalah atas urusan ketaatan (agama) atau perkara-perkara yang harus.

 

"Dia juga tidak mempunyai harta yang mencukupi untuk meneruskan perjalanannya sama ada untuk ke destinasinya ataupun untuk pulang ke tanah airnya". Musafir ini adalah layak untuk menerima zakat walaupun dia adalah seorang yang kaya di tanah airnya.

 

Walau bagaimanapun, menurut mazhab ini, orang yang baru hendak memulakan perjalanan dari tanah airnya adalah terkecuali daripada golongan ini.


 

irsyad
Masjid Selat, Melaka. - Gambar Mijie 59

 


Seterusnya, Imam al-Syafie dalam kitabnya ‘al-Umm’ pula mentakrifkan sebagai orang yang berada di suatu kawasan harta sedekah (zakat), dan dalam permusafiran yang bukan maksiat, namun dia tidak mampu untuk sampai ke destinasi melainkan diberi bantuan kepadanya.

 

Imam al-Nawawi bermazhab Syafie dalam kitabnya ‘al-Majmu‘’ menjelaskan bahawa terdapat dua golongan yang boleh dikategorikan sebagai ibn al-sabil. Pertama, anak watan atau bukan, atau orang yang bermukim di sesuatu tempat yang ingin memulakan perjalanannya. Kedua, orang asing yang terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanannya.

 

Selain itu, menurut al-Kasani bermazhab Hanafi dalam kitabnya ‘Bada’i‘ al-Sana’i‘ fi Tartib al-Shara’i‘’ mendefinisikan ibn al-sabil sebagai orang asing yang terputus hartanya meskipun dia seorang yang kaya di tanah airnya kerana dianggap sebagai seorang fakir pada masa tersebut.

 

Pandangan ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak dihalalkan sedekah (zakat) untuk orang kaya kecuali pada jalan Allah atau ibn al-sabil atau jiran yang miskin yang diberikan sedekah kepadanya lalu diberikannya kepadamu atau mendoakan kamu.” (Riwayat Abu Daud: no.1639)

 

Sementara, menurut al-Dusuqi bermazhab Maliki dalam kitabnya ‘Hashiyat al-Dusuqi’ menjelaskan ibn al-sabil adalah orang asing yang memerlukan harta bagi meneruskan perjalanan ke destinasinya yang mesti bukan dalam perkara maksiat dan tidak memiliki wang untuk menyara dirinya meskipun memiliki wang di tanah air.

 

Seterusnya, Shaikh Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan Ali al-Sharbaji dalam kitab ‘al-Fiqh al-Manhaji’ menjelaskan bahawa musafir ialah orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syarak, sekalipun untuk melancong. Orang tersebut layak diberikan harta zakat yang mencukupi untuk perjalanan pergi dan balik.

 

Begitu juga perbelanjaan, kenderaan dan binatang tunggangan untuk membawa barang-barangnya sekira dirinya tidak mampu membawa sendiri. Namun, jika bermusafir dengan tujuan maksiat, maka zakat tidak boleh diberikan kepadanya melainkan setelah dia bertaubat.


 

irsyad
Masjid Negeri Selangor, Shah Alam. - Gambar Ansari Mulyadi

 


Berdasarkan huraian yang dinukilkan di atas, dapat difahami bahawa pada asasnya, ibn al-sabil adalah orang yang terkandas atau menghadapi kesukaran dalam perjalanan disebabkan terputusnya bekalan. Sekiranya disalurkan bantuan tersebut kepadanya, pastinya boleh membantu untuk sampai ke tempat yang hendak dituju.

 

Demikianlah, Islam telah menyediakan ‘pelan kecemasan’ kepada orang musafir yang keputusan wang dengan dana zakat melalui asnaf ibn al-sabil.

 

Walaupun, lazimnya orang yang ingin bermusafir akan membuat persediaan terutama daripada segi kewangan. Namun, sesuatu kemungkinan boleh berlaku dalam perjalanan sama ada berlaku kecurian atau rompakan, kehilangan, berlaku bencana dan sebagainya. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

 

irsyad

 

Portfolio Tags