Pengajaran Peristiwa Israk dan Mikraj | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 9 February 2024

Pengajaran Peristiwa Israk dan Mikraj

 

 

 

ISRAK DAN MIKRAJ adalah suatu peristiwa agung dan besar yang berlaku dalam sejarah Islam di bulan Rejab. Perisitiwa ini berlaku ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW adalah sebagai suatu anugerah dari Allah SWT.

 

Peristiwa tersebut berlaku adalah bertujuan untuk mengajar erti kehambaan kepada Allah SWT.

 

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab Tafsir al-Munir menjelaskan bahawa perkataan ‘israk’ bermaksud perjalanan di malam hari.

 

Menurut istilah pula ialah ‘israk’ bermaksud perjalanan Nabi SAW pada suatu malam dari Masjidil al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Israk: 1).


 

irsyad
Masjidil al-Aqsa, tempat Rasulullah diangkat bertemu dengan Allah S.W.T dalam peristiwa Israk dan Mikraj

 


Manakala perkataan ‘mikraj’ menurut bahasa bermaksud naik. Secara istilah membawa makna Nabi SAW naik ke ‘Sidratul Muntaha’.

 

Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahwa sidratul muntaha adalah tempat tertinggi di langit yang menjadi batas hujung pengetahuan dan amal aktiviti makhluk. Seterusnya, tiada seorang makhluk pun mengetahui sesuatu yang ada di belakangnya.

 

Peristiwa mikraj juga telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam ayat yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (iaitu) di Sidratil Muntaha. Dekatnya ada syurga tempat tinggal. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika di Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Nabi Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar” (Surah al-Najm: 13-18)

 

Israk dan mikraj merupakan ‘tasliyah’ (hiburan) dari Allah SWT untuk Nabi SAW yang dilanda perasaan dukacita kerana dua insan yang disayangi telah meninggal dunia iaitu Khadijah isteri Nabi SAW dan Abu Talib bapa saudara Nabi SAW. Sehinggakan tahun tersebut disebut dengan ‘‘am al-huzn’ (tahun dukacita).

 

Perjalanan Nabi SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj mendidik masyarakat Islam bahawa ada masa dan ketikanya perlu berehat sejenak untuk memberi laluan dan pengisian terhadap diri sendiri dengan kisah-kisah yang memotivasikan.

 

Allah SWT telah merehatkan seketika Nabi SAW untuk memberi hiburan kerohanian atau tempoh bertenang yang akan memantapkan motivasi Nabi SAW pada masa akan datang.


 

irsyad
Perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad bermula di Masjidil Haram Mekah.

 


Ketika peristiwa tersebut berlaku, Nabi SAW telah singgah di Masjid al-Aqsa serta bertemu dengan para nabi. Nabi SAW kemudiannya dipertontonkan dengan Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Ibrahim AS yang mendirikan solat.

 

Sudah tentu perasaan gembira wujud dalam jiwa Nabi SAW ketika diperlihatkan dengan sejumlah besar para nabi yang dahulunya turut berjuang menyampaikan risalah.

 

Persinggahan Nabi SAW di Masjid al-Aqsa adalah sebagai simbolik meneruskan perjuangan para nabi yang majoriti dari bumi Palestin. Ianya bukan sekadar semata-mata kerana masjid tersebut, tetapi turut diperlihatkan dengan situasi para nabi yang mendirikan solat dengan penuh kerehatan dan kegembiraan.

 

Pengajaran peristiwa ini kepada Nabi SAW bahawa solat akan menjadikan seseorang hamba kuat. Allah SWT telah hadirkan motivasi pertama buat Nabi SAW ketika di Masjid al-Aqsa dengan mengimamkan para nabi bagi mengatasi perasaan kedukaaan Nabi SAW ketika di Mekah, ditolak dakwah, serta dicaci dan dicemuh oleh masyarakat.

 

Selanjutnya dalam peristiwa ini, Nabi SAW telah diperintahkan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam. Kepentingan dan kedudukan solat yang tinggi dizahirkan melalui perintah yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW secara langsung tanpa melalui perantara malaikat Jibril.


 

irsyad

 


Solat juga telah menjadi hiburan (tasliyah) atau sumber ketenangan bagi hamba Allah SWT ketika berada di atas dunia ini yang pasti diuji dalam kehidupan.

 

Seseorang hamba boleh berdialog secara langsung dengan Allah SWT dalam setiap bacaan, untaian zikir dan doa yang diungkapkan ketika solat.

 

Demikianlah, solat yang telah diperintahkan dalam peristiwa israk dan mikraj adalah perkara penting dalam kehidupan manusia supaya sentiasa wujud dan terjalin hubungan dengan Allah SWT. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags