Tujuh syarat wajib ibadah puasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 17 Mar 2023 07:57 AM

Tujuh syarat wajib ibadah puasa

 

 

PUASA bermaksud menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan dalam waktu yang ditetapkan.

 

Masyarakat Islam di bulan Ramadan dilarang makan dan minum serta perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.

 

Puasa Ramadan merupakan ibadah wajib yang harus dilaksanakan oleh umat Islam. Kewajiban ini telah disebutkan dalam pelbagai ayat dan hadis. Penting bagi umat Islam untuk mengetahui rukun dan syarat puasa dalam menjalankan ibadah puasa,

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berhari rayalah kerana melihatnya, jika hilal hilang dari penglihatanmu maka sempurnakan bilangan Sya'ban sampai tiga puluh hari.” (Riwayat al-Bukhari)


 

irsyad

 

 

Rukun puasa Ramadan ada dua iaitu niat dan ‘imsak’ menahan diri dari perkara.

 

Terdapat tujuh syarat wajib puasa:

 

1. Beragama Islam

Masyarakat Islam wajib menjalankan ibadah puasa selama sebulan Ramadan. Seruan dalam al-Quran berpuasa ditujukan kepada orang yang beriman. Para ulama sepakat menyatakan orang yang tidak beragama Islam tidak diwajibkan untuk berpuasa.

 

2. Berusia baligh

Tiada kewajiban bagi anak kecil yang belum baligh untuk melaksanakan puasa Ramadan.

 

3. Berakal untuk melaksanakan puasa

Ulama bersepakat bahawa orang gila adalah orang yang tidak berakal sehingga tidak dikenakan kewajiban untuk berpuasa.

 

4. Sihat secara fizikal

Orang yang sedang sakit boleh untuk meninggalkan puasa tetapi wajib menggantikan di hari lain ketika sudah sembuh. Penyakit yang dimaksudkan pada syarat ini adalah penyakit yang akan bertambah parah apabila berpuasa atau dibimbangi sakit akan terlambat sembuh.

 

5. Mampu

Allah SWT mewajibkan puasa bagi orang yang mampu melakukannya. Orang tua yang sudah lemah tidak memungkinkan untuk berpuasa maka boleh meninggalkannya.

 

Namun, wajib menggantikan dengan membayar fidyah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184)

 

6. Tidak dalam perjalanan

Orang yang sedang dalam perjalanan jauh boleh meninggalkan puasa tetapi wajib baginya untuk menggantikan di hari yang lain sejumlah puasa yang ditinggalkan.

 

7. Suci dari haid dan nifas

Menurut ijma' para ulama, wanita yang sedang haid dan nifas tidak diwajibkan untuk berpuasa. Bahkan haram hukumnya jika menjalankan puasa.

 

 

irsyad

 

 

Perlu difahami, syiar Ramadan bukanlah suasana pesta makan, sebaliknya adalah suasana muslim tidak makan melainkan hanya pada waktu malam.

 

Sewajarnya, masyarakat Islam gembira dengan Ramadan yang bakal menjelma dengan tawaran Allah SWT yang lumayan. Sebaliknya golongan munafiq pula berasa gelisah dan buntu dengan Ramadan.

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah SAW bersumpah: “Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadan dan tidaklah kepada munafiq itu lebih teruk daripada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah SWT menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad, 8870; Ibn Khuzaimah, 1884). - DagangNews.com

 

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM)

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD