Terminal minyak dan gas di Sabah. - Gambar Wikipedia
SINGAPURA 17 Sept. - Eksport minyak mentah Malaysia, Kimanis akan menyaksikan penurunan pada Oktober dan November ekoran berdepan isu pengeluaran di lapangan minyak yang dikendalikan Royal Dutch Shell, menurut 3 sumber seperti dilapor Reuters.
Salah satu sumber berkata, Petroleum Brunei, antara pihak berkepentingan terlibat turut membatalkan tender untuk menjual kargo minyak mentah Kimanis yang sepatutnya dimuat naik pada awal November disebabkan masalah berkenaan.
Pengeluaran minyak mentah Kimanis menyusut kira-kira 117,000 tong sehari (bpd) dan jumlah muatan setiap kargo pada Oktober juga berkurangan, kata sumber lain.
Keadaan ini akan memberi kekangan kepada bekalan minyak mentah sweet (merujuk kepada minyak petroleum yang mempunyai kandungan sulfur rendah) Asia, yang mana boleh menyokong harga bagi eksport yang sama dari Vietnam dan Lembah Atlantik.
Bagaimanapun, menurut laporan itu seperti dipetik MalayMail, Shell enggan mengulas lanjut mengenai perkaran berkenaa. Petroleum Brunei dan Petronas juga tidak memberi sebarang maklum balas.
Sumber lain berkata, terdapat kebocoran baru-baru ini di unit pemampat lapangan minyak Gumusut-Kakap di luar Sabah Timur Malaysia, yang telah ditutup pada Ogos untuk menjalankan kerja penyelenggaraan.
"Unit ini yang sepatutnya kembali beroperasi bulan ini, akan terus kekal tutup sehinga kerja-kerja pembaikan dijalankan pada November," tambahnya.
Katanya lagi, tarikh muat naik kargo yang pada asalnya dijadualkan untuk dieksport pada akhir September hingga November juga ditangguhkan antara 3 hingga 12 hari.
Pihak berkepentingan lain yang terlibat dalam pengeluaran Kimanis ini termasuklah Pertamina (Indonesia), PTTEP (Thailand) dan ConocoPhillips.
Shell mengendalikan 2 lapangan air dalam iaitu Gumusut-Kakap dan Malikai di perairan luar Sabah, yang mampu mengeluarkan 170,000 bpd minyak mentah Kimanis pada waktu puncak.
Pengeluaran minyak mentah Kimanis bagaimanapun menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi masih menyumbang sebahagian besar pasaran eksport Malaysia. - DagangNews.com