Jangan ghairah buat pelaburan emas, ambil tahu patuh syariah atau tidak? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 26 October 2021

Jangan ghairah buat pelaburan emas, ambil tahu patuh syariah atau tidak?

 


PELABURAN emas kini menjadi 'kegilaan' masyarakat, apatah lagi ia dilihat mampu memberi pulangan 'lumayan' dan lebih 'selamat' berbanding pelaburan lain. Ini menyaksikan banyak syarikat menawarkan skim pelaburan emas mulai tumbuh bagai cendawan selepas hujan dalam memenuhi permintaan yang kian meningkat.

 

emas
Pastikan pelaburan emas yang kita sertai adalah patuh syariah dan jangan terburu-buru membuat pelaburan.

 

 

Namun, dalam keghairahan membuat pelaburan ini, terdapat beberapa persoalan penting perlu diketahui oleh pelabur. Hakikatnya, ia mesti mengikut kaedah yang dibenarkan oleh syariah.

 

Ramai kenalan bertanya kepada penulis tentang kaedah kepatuhan syariah dalam pelaburan emas ini.

 

Mereka mengatakan terdapat beberapa perkara yang kabur dan tidak menepati kehendak syariah seperti 'barang tidak ada, tetapi masih dijual'.  

 

Menurut syariah, barang (emas) mestilah ada, dan ia perlu dimiliki oleh penjual, sebelum si penjual menjual kepada pembeli.

 

Satu lagi perkara yang dibangkitkan ialah penggunaan nama-nama cendekiawan Islam atau penasihat-penasihat syariah (yang terdiri daripada ustaz-ustaz terkenal) oleh syarikat pelaburan emas untuk meyakinkan para pelabur bahawa skim pelaburan mereka itu adalah patuh syariah.

 

Pada penulis, isu kepatuhan syariah pelaburan emas ini adalah berkaitan dengan isu kewartaan (pronouncement) yang dibuat oleh penasihat syariah syarikat pelaburan emas itu sendiri. 

 

Kewartaan kepatuhan syariah ini selalunya mempunyai had waktu terpakai, contohnya, kepatuhan syariah ini hanya sah diperlakukan untuk tempoh 1 tahun. 

 

Selepas tempoh tersebut, pihak syarikat pelaburan emas ini perlu mendapatkan kewartaan baharu untuk tujuan kepatuhan syariah. 

 

Sebelum kewartaan kepatuhan syariah baharu dikeluarkan, penasihat syariah akan melaksanakan proses audit ke atas operasi pelaburan emas tersebut dahulu. 

 

Proses audit ini adalah amat penting untuk memastikan operasi yang dijalankan mereka adalah patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan penasihat syariah. 

 

Pronouncement akan diwartakan setelah pihak penasihat syariah berpuas hati dengan operasi yang dilaksanakan oleh syarikat pelaburan emas tersebut.

 

Selagi mana, pronouncement tidak diwarta, maka status kepatuhan syariah pelaburan emas masih tergantung. 

 

Maka, para pelabur emas yang baharu dinasihat agar bersabar untuk membuat pelaburan, sehinggalah kepatuhan syariah diwartakan.

 

Sekiranya para pelabur mahu juga membuat pelaburan maka mereka telah mengambil risiko, yang mana kebarangkalian pelaburan emas yang dilaksana oleh syarikat emas tersebut tidak patuh syariah.

 

Jadi, sekiranya setelah membuat pelaburan dan kemudian pronouncement diwarta bahawa pelaburan emas syarikat tidak patuh syariah, maka segala keuntungan pelaburan tersebut tidak boleh dijadikan pendapatan, tetapi akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan ataupun kepada Baitulmal. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags