Jangan mudah terpedaya dengan skim pelaburan tidak sah dalam talian | DagangNews Skip to main content

Jangan mudah terpedaya dengan skim pelaburan tidak sah dalam talian


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mengingatkan orang ramai agar tidak muda terpedaya dengan skim pelaburan tidak sah yang ditawarkan secara dalam talian kerana dibimbangi akan menjadi mangsa penipuan.

 

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, penjenayah akan menarik perhatian mangsa dengan menawarkan skim pelaburan yang dikatakan berdaftar dengan institusi kewangan yang sah dan ada diantara mereka menyalah gunakan logo institusi itu bagi mengukuhkan dakwaan mereka.

 

"Bursa Malaysia mengadakan program pendidikan sepanjang tahun buat para pelabur untuk menerangkan kepada pelabur runcit mengenai penipuan yang sering berlaku selain mempromosikan program celik kewangan.

 

"Pada tahun ini, kami sudah menjalankan sebanyak 39 program yang disertai seramai 8,511 individu dan kami juga kerap memuat naik maklumat terkini berhubung skim penipuan pelaburan di laman sosial," katanya.

 

Dalam pada itu, Bursa Malaysia mengingatkan orang ramai untuk hanya membuat pelaburan dengan insitusi kewangan yang sah dan semakan mengenainya boleh dilakukan di https://bursaacademy.bursamarketplace.com/en/home.

 

Bursa Malaysia meminta orang ramai yang ingin membuat pelaburan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyemak jika berlakunya transaksi tidak sah sebelum membuat bayaran selain menyimpan semua data peribadi diri dan tidak melayan sebarang emel yang mencurigakan.

 

Mereka juga disarankan untuk tidak melayari sebarang pautan yang berisiko dan mendapatkan pengesahan daripada institusi seperti Bursa Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat pelaburan. 

 

Sekiranya menerima sebarang komunikasi mencurigakan yang mendakwa mereka mewakili Bursa Malaysia, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi 03-2732 0067 atau emel bursa2u@bursamalaysia.com untuk pengesahan. - DagangNews.com