Jelajah AKM Kelantan tawar hampir 4,000 peluang kerja | DagangNews Skip to main content

Jelajah AKM Kelantan tawar hampir 4,000 peluang kerja

KOTA BHARU 18 Julai - Hampir 4,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan menerusi program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV bermula 22 hingga 24 Julai ini.

 

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata seramai 28 majikan yang terdiri daripada pelbagai industri akan turun padang menawarkan peluang pekerjaan itu menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

 

Beliau berkata tawaran peluang pekerjaan itu bertepatan ketika negara berada dalam fasa peralihan ke endemik sekali gus dapat membantu masyarakat bangkit semula dari segi ekonomi mereka selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

 

“Seperti kita sedia maklum, selepas pandemik COVID-19, ramai pihak ingin bangunkan semula ekonomi masing-masing, jadi ini masa terbaik untuk mereka merebut peluang hadir ke AKM Kelantan bagi mengisi kekosongan jawatan yang akan ditawarkan.

 

“Mereka yang berminat disaran supaya berdaftar terlebih dahulu menerusi MYFutureJobs malah saya juga dimaklumkan bahawa temu duga secara terus di AKM Kelantan akan dilaksanakan sekiranya posisi jawatan bersesuaian dengan calon yang hadir,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam sebuah program terbitan stesen televisyen tempatan pada Ahad, Bernama melaporkan.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kelantan 22 Julai ini dijangka tarik 50,000 pengunjung - Annuar

 

Mengulas lanjut, Ahmad berkata selain tawaran peluang pekerjaan, AKM Kelantan yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut
menyediakan kaunter perkhidmatan kerajaan, pameran daripada pelbagai agensi dan kementerian, gerai jualan dan jualan industri kecil sederhana (IKS).

 

 

AKM

 

aspirasi keluarga malaysia

 

AKM

 

Menurutnya persiapan sedang giat dilakukan penganjur dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam dan komuniti setempat.

 

“Kita ada pelbagai pengisian menerusi jelajah ini yang akan berlangsung pada 9 pagi hingga 9 malam selama tiga hari. Oleh itu, kita ingin menyeru seluruh rakyat Kelantan untuk bersama-sama hadir memeriahkan jelajah ini selain mengambil kesempatan mengambil manfaat daripada pelbagai pengisian itu,” katanya.

 

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap penyelaras AKM Kelantan Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata seramai 50,000 pengunjung dijangka
menghadiri siri keenam jelajah itu. - DagangNews.com