Jualan kenderaan UMW Holdings merosot kepada 32,600 unit pada April | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan UMW Holdings merosot kepada 32,600 unit pada April

KUALA LUMPUR 18 Mei - Jualan kenderaan UMW Holdings Bhd merosot kepada 32,600 unit bulan lepas daripada 35,246 unit yang dijual pada Mac berikutan gangguan dalam pengeluaran yang disebabkan oleh isu rantaian bekalan yang menjejaskan industri automotif.

 

Bagaimanapun, pada bulan April, momentum jualan yang kukuh adalah berterusan apabila UMW Toyota Motor mencatatkan jualan yang bertambah baik.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, walaupun terdapat banyak masalah yang dihadapi industri automotif, syarikat itu mencatatkan jualan positif untuk UMW Toyota (UMWT) dan Perodua pada April 2022.

 

Ahmad Fuad berkata isu rantaian bekalan yang berterusan telah mengganggu pengeluaran pada April.

 

"Kedua-dua syarikat bekerjasama rapat dengan pembekal mereka untuk meminimumkan kesan ke atas jadual pengeluaran mereka dan mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelanggan kami.

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap produk dan perkhidmatan kami," katanya.

 

UMWT mencatatkan jualan sebanyak 6,946 unit pada April 2022.

 

Tahun sehingga kini (YTD) April 2022, UMWT menjual 29,393 unit, 11.2 peratus lebih tinggi daripada 26,431 unit yang dijual pada tempoh yang sama 2021.

 

 

Datuk Ahmad Fuaad Kenali
                           Datuk Ahmad Fuaad Kenali

 

 

Kumpulan UMW berkata Toyota Vios, Yaris, Corolla Cross dan Hilux adalah antara model terlarisnya pada April.

 

"Kempen jualan berterusan untuk Hari Raya seperti 'Bersama Lebih Bermakna' dijangka memacu jualan," katanya.


 

cross

 


Sementara itu, Kumpulan UMW berkata syarikat bersekutunya Perusahaan Otomotif Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan jualan sebanyak 25,654 unit pada April 2022, 4.1 peratus lebih rendah daripada 26,759 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya.

 

Bagi empat bulan pertama 2022, Perodua menjual 87,278 unit, 11.5 peratus lebih tinggi daripada 78,308 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2021


 

myvi

 


Jualan Perodua terus dipacu oleh model terlarisnya, iaitu Myvi, Axia dan Bezza.

 

Dengan permintaan yang bertambah baik dan prospek positif bagi industri automotif di Malaysia, Perodua telah menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 247,800 unit untuk 2022.

 

Jualan yang lebih tinggi akan didorong oleh pengecualian cukai jualan dan pengenalan model baharu dan dipertingkatkan, tambahnya. - DagangNews.com