Kadar pengangguran pada April pertama kali jatuh di bawah 4% selepas 2 tahun dilanda pandemik | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran pada April pertama kali jatuh di bawah 4% selepas 2 tahun dilanda pandemik

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kadar pengangguran pada April menurun kepada 3.9%, kali pertama berada di bawah paras 4% selepas 2 tahun tercetusnya pandemik COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan.

 

Dalam Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia April 2022 yang dikeluarkan hari ini, ia menunjukkan bilangan penganggur terus menurun bagi 9 bulan berturut-turut, mencatatkan pengurangan sebanyak 3% atau19,900 orang kepada 649,300 penganggur. 

 

Sementara itu, mengikut terma pelarasan bermusim, bilangan penganggur berkurang sebanyak 4.1%. 

 

Anggaran pelarasan bermusim bagi kadar pengangguran April menunjukkan bahawa bulan ke bulan, kadar tersebut turun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 3.9%.

 

"Bagi perbandingan tahun ke tahun, bilangan penganggur berkurang sebanyak 12.6% atau 93,400 orang berbanding 742,700 pada April 2021.

 

"Malah, kadar pengangguran juga menurun sebanyak 0.7 mata peratus berbanding April 2021 pada 4.6%," katanya.

 

Pada April 2022, bilangan tenaga buruh mencatatkan peningkatan 0.4% bulan ke bulan kepada 16.5 juta orang berbanding 16.44 juta pada bulan sebelumnya. 

 

Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) April terus mengukuh sebanyak 0.2 mata peratus kepada 69.4% (Mac 2022: 69.2%), menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. 

 

Dari segi anggaran pelarasan musim, bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.4% manakala KPTB naik sebanyak 0.3 mata peratus.

 

Menuju ke hadapan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan jumlah permohonan oleh majikan bagi pekerja bukan warganegara berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara dijangka dapat mengurangkan isu kekurangan guna tenaga.

 

Ini terutamanya dalam sektor pembinaan dan pertanian dan seterusnya akan merangsang lagi kedudukan pasaran buruh negara. 

 

"Aliran masuk pelancong asing juga boleh menyumbang kepada pemulihan semula industri pelancongan terutamanya dalam subsektor penginapan. 

 

"Selain daripada kesan negatif akibat susut nilai ringgit berbanding dolar AS terhadap ekonomi, ia mungkin akan memberi kesan positif terhadap sektor pelancongan dari segi kos yang lebih rendah bagi pelancong dan menjadikan negara ini sebagai destinasi percutian pilihan," jelasnya.

 

Menurutnya, perbelanjaan pelancong juga dapat membantu perniagaan kecil untuk pulih setelah 2 tahun berdepan kesukaran akibat pandemik tersebut. 

 

"Situasi ini dilihat akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berikutan aktiviti perniagaan memerlukan lebih ramai pekerja untuk menampung permintaan barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat. 

 

"Oleh itu, pasaran buruh dijangka terus berdaya tahan pada bulan-bulan akan datang," katanya. - DagangNews.com