KUALA LUMPUR 7 April - Sentral Real Estate Investment Trust (REIT) menjangkakan kadar sewa dan tahap penghunian bangunan pejabat Lembah Klang akan terus mengalami tekanan menurun pada tahun kewangan 2022 (FY2022) disebabkan oleh lebihan bekalan sekarang dan jangkaan pertambahan bekalan.
Bagaimanapun, Sentral REIT yang sebelum ini dikenali sebagai MRCB-Quill REIT, berkata ia optimis pemulihan ekonomi tahun ini akan memberi kesan positif kepada pasaran ruang pejabat.
“Pengurus percaya bahawa Sentral REIT akan dapat melepasi cabaran pasaran ini kerana ia terus mempergiatkan usaha untuk mengekalkan hasil yang disokong oleh
strategi berterusan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ia berkata antara strateginya ialah pengurusan modal berhemat, pengurusan proaktif untuk memacu pertumbuhan organik, pelaburan berhemat untuk menghasilkan pertumbuhan dan kepelbagaian.
“Sentral REIT mampu mempertimbangkan semua jenis hartanah komersial sekiranya terdapat peluang untuk mempelbagaikan pada masa hadapan,” katanya.
Pada TK2021, Sentral REIT mempunyai portfolio sembilan hartanah komersial di negara ini bernilai RM2.08 bilion dengan kadar pembaharuan 66 peratus.
Dari segi penilaian, hartanah di Lembah Klang merangkumi 77 peratus daripada jumlah nilai portfolio Sentral REIT diikuti oleh Cyberjaya dengan 16 peratus dan Pulau Pinang dengan tujuh peratus. - DagangNews.com