Kadar tol PLUS disemak semula, mungkin dikurangkan lagi | DagangNews Skip to main content

Kadar tol PLUS disemak semula, mungkin dikurangkan lagi

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kerajaan sedang dalam peringkat akhir perbincangan semakan semula pengurangan kadar tol secara purata sebanyak 18 peratus di lebuh raya PLUS yang telah dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata,telah membuat keputusan untuk merunding semula keputusan penstrukturan semula tol syarikat Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dengan penelitian terhadap kaedah pelaksanaan penstrukturan PLUS dengan mengambil kira kepentingan termasuklah kepentingan Kerajaan Persekutuan, rakyat Malaysia, Khazanah Nasional, KWSP, dan pemegang sukuk.

Menurut beliau, dalam keputusan yang dicapai pada Jun lalu, kerajaan akan menjalankan analisis kesan jangka panjang terhadap ekonomi negara secara keseluruhannya.

tokpa
Mustapa Mohamed


"Cadangan penstrukturan syarikat PLUS sedang diteliti semula oleh beberapa pihak, termasuklah Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan Unit Kerjasama Awam-Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS).

"Memorandum Jemaah Menteri bersama akan disediakan dalam masa terdekat oleh UKAS, Kementerian Kewangan, dan Kementerian 4 Kerja Raya untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.

"Dalam membuat keputusan, kita mengambil kira semua kepentingan. Dan sudah tentu, apabila kita kaji semula, ia bermakna kita merasakan bahawa penyelesaian yang dibuat oleh kerajaan PH, boleh diperbaiki lagi. Itu sebabnya dibuat kajian semula,'' katanya dalam jawapan lisan semasa sesi soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen DAP bagi Damansara, Tony Pua Kiam Wee yang meminta Perdana Menteri menyatakan kedudukan penstrukturan semula PLUS, sama ada perjanjian penstrukturan telah dimuktamadkan serta anggaran penjimatan yang akan dinikmati oleh pengguna lebuh raya dan pampasan yang perlu dibayar oleh Kerajaan untuk setiap tahun sehingga penamatan konsesi. 

Mustapa berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan pada 22 Januari 2020 untuk mempertimbangkan penstrukturan semula lebuh raya bertol dimiliki oleh PLUS dan telah bersetuju antara lain dengan perkara-perkara seperti berikut:

  •  Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kekal sebagai pemilik PLUS; 
  • Kerajaan melaksanakan pengurangan kadar tol secara purata sebanyak 18% kepada kenderaan persendirian berkuasa 1 Februari 2020; tetapi
  • Tempoh konsesi PLUS akan dilanjutkan selama 20 tahun dari tahun 2038 hingga 2058.
  • Manakala tempoh konsesi LPT2 dilanjutkan sehingga tahun 2054.

Beliau berkata, buat masa ini, semua pengguna lebuh raya milik PLUS kecuali kelas 2 dan 3 (kelas 6 dan 7 untuk Jambatan Pulau Pinang) telah menikmati diskaun kadar tol secara purata sebanyak 18%.

``Mengikut anggaran Kerajaan terdahulu, pemberian diskaun ini dijangka akan memberikan penjimatan sehingga kira-kira RM1,130 juta setahun kepada pengguna lebuh raya PLUS sehingga 31 Disember 2038," ujar beliau.

Menurut beliau, Lebuhraya PLUS dibina secara penswastaan melalui kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT) dan Kerajaan telah menandatangani Perjanjian Konsesi dengan syarikat PLUS pada 18 Mac 1988.

PLUS kini dimiliki penuh oleh Khazanah Malaysia Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan saham masing-masing sebanyak 51% dan 49%.

Kini, PLUS memiliki tujuh lebuhraya bertol iaitu Lebuhraya Utara Selatan (LUS); Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE); Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA); Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH); Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE); Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).  - DagangNews.com