Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Tualang Sekah tawar jualan murah  | DagangNews Skip to main content

Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Tualang Sekah tawar jualan murah 

Jualan murah turut melibatkan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Perikanan negeri Perak.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 17 September - Masyarakat setempat khususnya sekitar Simpang Pulai, Malim Nawar, Gopeng dan Kampar berpeluang untuk berbelanja murah pada Karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030 bermula hari ini.

 

Bertempat di Arena Rakyat, Tualang Sekah, Kampar, pelbagai barangan keperluan berasaskan hasil tani dijual lebih rendah berbanding harga pasaran.

 

Karnival dua hari itu anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Jabatan Pertanian Negeri Perak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya berkata, ini merupakan karnival kedua selepas diadakan di Dewan Milinieum, Lubok Merbau, Kuala Kangsar pada 4 hingga 5 September lalu. 

 

Menurut beliau, karnival jualan itu memberi peluang warga Perak mendapatkan barangan keperluan harian berasaskan produk industri asas tani.


 

Yahanis Yahya
                                       Yahanis Yahya

 


"Pengunjung berpeluang membeli seekor ayam hanya RM4 pada jualan 'happy hour' manakala telur ayam gred B pula RM10 sepapan.

 

"Makanan dan pelbagai produk hiliran dengan harga rendah serta diskaun yang tinggi berbanding di pasaran ditawarkan para peniaga.

 

"Jualan murah turut melibatkan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan," ujarnya.


 

sadc
Pelbagai barangan keperluan berasaskan hasil tani dijual lebih rendah berbanding harga pasaran.

 


Karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030 ini turut melibatkan 11 jabatan dan agensi.

 

Antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Jabatan Perikanan negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan  dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

 

Kata Yuhanis, orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan maklumat pelbagai kursus daripada agensi kerajaan seperti viral pemasaran anjuran Majlis Amanah Rakyat.


 

sadc
Penting Zoo turut diadakan pada karnival ini untuk tarikan pengunjung terutamanya kanak-kanak.

 


"Juga subsidi ujian mamogram dan HPV DNA oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara," ujarnya.

 

Sekuriti makanan antara indikator dalam visi Perak Sejahtera 2030 menumpukan pada petani, penternak serta usahawan yang terlibat secara langsung dalam sektor pertanian, penternakan serta perikanan. - DagangNews.com