Kastam pulangkan lebih RM4 bilion tuntutan bayaran balik GST | DagangNews Skip to main content

Kastam pulangkan lebih RM4 bilion tuntutan bayaran balik GST

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menyelesaikan 40,280 tuntutan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bernilai RM4.006 bilion. 

 

Bayaran tuntutan itu telah dibuat bermula 22 Jun hingga 30 November 2020 yang melibatkan 27,426 buah syarikat. 

 

Bagaimanapun, sebanyak 82,517 tuntutan bayaran balik GST tidak dapat diselesaikan, kata Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

 

Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Abdul Latif Abdul Kadir.

 

Tuntutan yang tidak dapat diproses itu melibatkan sejumlah RM1.316 bilion daripada 48,225 buah syarikat.

 

Berkata kepada media, beliau menjelaskan isu berkenaan antaranya berpunca daripada penuntut gagal memberi maklum balas untuk menghantar dokumen yang diperlukan. 

 

Selain itu, pihaknya turut menerima maklumat bank yang tidak sah. 

 

Ujar Abdul Latif, penuntut tidak mengemaskini maklumat pendaftaran syarikat seperti alamat perniagaan, nombor telefon dan e-mel ke dalam sistem MyGST. 

 

Tetapi, Abdul Latif menegaskan bahawa pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya memuktamadkan bahawa tuntutan-tuntuan yang diterima itu palsu. 

 

Sehubungan itu, jabatannya akan menjalankan siasatan dan audit terlebih dahulu sebelum mengesahkan bahawa ia adalah tuntutan palsu.

 

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan kerajaan akan membayar balik tuntutan GST bermula 22 Jun dan dijangka selesai sehingga bulan ini. - DagangNews.com