Kerajaan tiada kompromi tangani PATI - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tiada kompromi tangani PATI - PM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kawalan sempadan akan menjadi antara fokus kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus bagi menangani isu pendatang tanpa izin (PATI) terutama bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan 5 sempadan hadapan atau five-front approach merangkumi sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dengan menambah aset dan penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi yang berbeza mengikut kesesuaian bentuk mukabumi di sempadan.

 

Katanya, ini termasuklah penambahan pos-pos kawalan, pagar sempadan, CCTV, radar dan dron yang berkapasiti tinggi.

 

"Sebagai langkah ke hadapan, kerajaan akan terus melaksanakan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan terutama terhadap arahan perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa. 

 

"Selain itu, dasar dan perundangan berkaitan keselamatan akan diperkasakan bagi mengukuhkan lagi aspek penguatkuasaan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung pagi ini.
  

Sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 6,634 operasi ke atas PATI telah dilaksanakan dan seramai 22,522 orang PATI dan 387 orang majikan telah ditangkap.

 

Selain itu, beliau memberitahu, 11 sindiket berkaitan PATI dan 111 orang dalang telah ditahan.  

 

"Kerajaan tidak sedikitpun berkompromi dalam isu pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama dalam usaha membendung penularan wabak ini," tegasnya.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperkasakan kawalan sempadan melalui Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) yang terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan bagi mengekang kemasukan PATI yang menyebabkan peningkatan penularan COVID-19.  

 

Op Benteng antaranya telah berjaya melaksanakan tangkapan dan pengusiran ke atas PATI, tekong serta merampas bot haram yang cuba memasuki perairan negara, katanya. - DagangNews.com