Ketibaan pelancong asing 2020 susut 83.4% | DagangNews Skip to main content

Ketibaan pelancong asing 2020 susut 83.4%

Pelancong asing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac. - Malaysia mencatatkan jumlah ketibaan pelancong asing seramai 4.33 juta pada tahun 2020, susut 83.4% berbanding 26.1 juta yang dicatatkan pada 2019.

 

Tourism Malaysia berkata, selain Malaysia, negara Asia dan Pasifik turut mencatatkan penurunan ketibaan pelancong sebanyak 84%.

 

"Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dan Organisasi Pelancongan Nasional (NTO) memberitahu, negara-negara jiran termasuk Thailand mancatatkan penurunan -83.2%, Singapura (-85.7%), Vietnam (-78.7%) dan Indonesia (-75%).

 

"Kadar pendapatan negara daripada sektor pelancongan 2020 turut menyusut 85.3% kepada RM12.69 bilion berbanding RM86.14 bilion pada 2019.

 

"Purata perbelanjaan per kapita juga menyaksikan penurunan sebanyak 11.3% kepada RM2,928 berbanding RM3,300 pada 2019," jelas Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, Tourism Malaysia memberitahu, pertumbuhan negatif direkodkan bagi pelancong dalam segenap pasaran termasuk pasaran jarak dekat (-83.5%), pasaran jarak sederhana (-84.7%) dan pasaran jarak jauh (-79.7%).

 

Penurunan ketibaan pelancong asing secara ketara itu berpunca daripada penutupan sempadan Malaysia sejak 18 Mac 2020 susulan penularan wabak COVID-19.

 

"Negara-negara ASEAN atau pasaran jarak dekat kekal sebagai penyumbang utama dengan ketibaan pelancong sebanyak 61.1% (2.95 juta), diikuti dengan pasaran jarak sederhana sebanyak 20.1% termasuk Asia Timur dan Asia Selatan (870,314).

 

"Pasaran jarak jauh pula sebanyak 11.8% dengan seramai 512,484 pelancong dari Asia Barat, Timur Tengah, Amerika, Oceania, Eropah dan Afrika," ujar Tourism Malaysia lagi.

 

Dalam aspek kedatangan pelancong tertinggi ke Malaysia, negara-negara yang menduduki tangga 10 teratas termasuk Singapura (1.54 juta), Indonesia (711,723), China (405,149), Thailand (394,413), India (155,883), Brunei (136,020), Korea Selatan (119,750), Jepun (74,383), Australia (72,680) dan Vietnam (64,184).

 

Bagaimanapun, dalam aspek perbelanjaan pelancong secara keseluruhan pula, pelancong yang menjadi penyumbang utama adalah pelancong yang datang daripada Singapura, Indonesia, China, India dan Thailand. - DagangNews.com