Keuntungan kilang minyak FGV bergantung kepada harga premium MSM | DagangNews Skip to main content

Keuntungan kilang minyak FGV bergantung kepada harga premium MSM

Gambar www.fgvholdings.com

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Perniagaan pengilangan minyak sawit mentah (MSM) oleh FGV Holdings Berhad (FGV) tidak mampu mengaut keuntungan sekiranya hanya bergantung kepada kadar minyak yang diekstrak (OER) dan juga harga hadapan komoditi itu. 

 

Sebaliknya, keuntungan perniagaan itu akan bergantung kepada harga premium MSM semerta, menurut ramalan CGS-CIMB Research yang mendapatkan penjelasan dari FGV berhubung prestasi segmen tersebut baru-baru ini. 

 

Jelas firma penyelidikan itu, FGV mendedahkan bahawa keuntungan yang lebih rendah dicatatkan dari segmen pengilangan minyak disebabkan oleh margin yang negatif. 

 

“Ini disebabkan oleh OER yang lebih rendah diperoleh di beberapa kilangnya, berbanding OER yang digunakan dalam pembayaran pembekal.

 

“Hal ini kerana beberapa estet minyak sawitnya terjejas akibat hujan lebat pada suku pertama 2021 (1Q21) menyebabkan OER yang lebih rendah. 

 

“Kedua, kami melihat harga premium MSM semerta berbanding harga hadapan MSM melebar pada 1Q21, menjadikannya sukar untuk melaksanakan strategi perlindungan nilai bagi semua tandan buah segar (FFB) yang diproses,” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajiannya hari ini.

 

CGS-CIMB meminta penjelasan dari FGV untuk memahami lebih lanjut mengapa kumpulan itu mencatatkan perolehan yang lebih rendah dalam segmen minyak sawitnya, terutamanya dalam perniagaan memproses FFB yang diperoleh dari pihak luar. 

 

Katanya, FGV menekankan bahawa kumpulan mungkin merupakan pengilang minyak sawit pihak ketiga terbesar di dalam negara di mana hanya 30% daripada jumlah FFB yang diproses di 67 kilangnya diperoleh dari estet atau ladang pajakan mereka. 

 

Selebihnya iaitu 70% diperoleh dari pekebun Felda (30%) dan peladang dan pembekal lain (40%). 

 

“Ini dengan ketara lebih tinggi berbanding pemain minyak sawit yang besar dan tersenarai lain, di mana 5% hingga 34% daripada FFB yang diproses merupakan dari pihak luar,” tambah CGS-CIMB.

 

Dalam masa sama, kilang FGV juga perlu mengambil FFB dari peladang Felda setiap masa atas tanggungjawab sosial, berbeza dengan pengilang persendirian lain, menurut CGS-CIMB. 

 

Harga FFB dari peladang Felda adalah berdasarkan harga rujukan Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB), berbanding harga yang ditetapkan ke atas peladang lain berdasarkan OER. 

 

FGV menjelaskan kepada CGS-CIMB bahawa kerugian sebanyak RM65 juta yang dicatatkan oleh segmen pengilangan minyak bagi suku tahun berkenaan tidak termasuk perlindungan nilai dan keuntungan atau kerugian inventori. 

 

Jika termasuk kesemua item-item tersebut, segmen berkenaan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM10 juta, di mana lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun lalu, iaitu RM70 juta.

 

CSG-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ saham FGV dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.30 sesaham. - DagangNews.com