Kilang IBS beri kelebihan kepada IJM Corp., Maybank IB kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Kilang IBS beri kelebihan kepada IJM Corp., Maybank IB kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Mei - Penggunaan sistem bangunan berindustri (IBS) membolehkan IJM Corp. Bhd. mengeluarkan produk yang lebih berkualiti dan tepat, menurut Maybank Investment Bank (IB) Research.

 

IJM Corp. membina kilang IBS dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 500,000 meter per segi di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

 

Pengeluaran komersialnya bermula pada November 2021 dengan projek pertamanya membabitkan Hotayi Electronic Factory di Batu Kawan, Pulau Pinang. 

 

Pembinaan kilang itu membabitkan pelaburan melebihi RM100 juta bagi tempoh 3 tahun bermula 2018.

 

Maybank IB berkata, dari semasa ke semasa, kilang IBS tersebut dapat membantu menyumbang kepada pendapatan bahagian industrinya dan seterusnya, menyumbang 11% kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022. 

 

"Dengan kos pelaburan hanya melebihi RM100 juta, adalah kecil secara relatif, pendapatan kumpulan sepatutnya dapat menyerap kos tetap, justeru, kami tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan buat masa ini.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' terhadap IJM Corp. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.05 sesaham," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu menyifatkan, penggunaan IBS dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan membantu menambahbaik isu keselamatan memandangkan komponen pembinaan dihasilkan di kawasan luar tapak projek. 

 

Bagi kilang IBS yang dibina IJM Corp., sisa keluli yang tidak digunakan semula atau dikitar semula adalah kurang daripada 1%, justeru, sistem tersebut dapat membantu mengurangkan beban terhadap alam sekitar.

 

"Memandangkan kos penggunaan IBS hampir setanding dengan pembinaan konvensional, manfaat yang jelas ialah dari segi penjimatan masa, sekali gus mempercepatkan tempoh penghantaraan projek kepada pelanggan," jelasnya. - DagangNews.com