Kisah Pati Talak Terengganu dan hikayat maritim lain | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 05 Feb 2022 08:48 AM

KISAH PATI TALAK TERENGGANU dan hikayat maritim lain

 


 

MINGGU lepas kita melihat bagaimana Hikayat Melayu bagaikan peta indah memberi petunjuk kepada keberadaan dunia Melayu dalam alam Maritim.

 

Seterusnya, kita bakal mengenali destinasi-destinasi utama zaman dahulukala yang disebut dalam Hikayat.


 

hikayat

 


KISAH PATI TALAK TERENGGANU

Dalam kisah Awang Sulong Merah Muda, terdapat seorang Raja, Tuanku Si Helang Laut nama diberi.

 

Baginda berkata kepada permaisurinya, “Mari kita belayar ke laut, permaisuriku. Kita ke Lautan Tanjong Jati. Angin laut dan pemandangan indah akan membawa ketenangan dan kebahagiaan kepada kita."

 

Mereka belayar menaiki Bahtera Kerajaan, Bunga Rampai Layangan Angin. Perjalanan itu sangat menyenangkan. Di sana, Tuanku Si Helang Laut menangkap seekor terubok jantan mengarang telor.

 

Inilah kebiasaan Raja dahulu, belayar kelautan luas. Malah puteri dunia Melayu juga hebat belayar di laut…Tersebutlah dalam hikayat yang sama, kisah dua puteri dunia Melayu berperang di lautan, kisah hikayat srikandi yang menakhodakan kapal kakap layar dan geliong, menggunakan senjata api dan meriam tanpa ragu, tanpa kecan. 

 

 

hikayat

 

 

Puteri Dayang Nuramah dari Mengkaleh, sepupu kepada Awang Sulong Merah Muda berasa pilu dan hiba kerana kehilangan saudara sepermainan dari kecil. Dia pun bersiap-siap untuk berlayar di laut, dengan anak-anak kapal terdiri seluruhnya oleh anak dara.

 

Lalu bertitah ayahandanya Datok Batin Alam kepada Bujang Selamat,  

 

“Himpunkanlah anak-anak dara datang mengadap ke istana. Pergilah kau panggil mualim, jurubatu, jurumudi sekeliannya suruh siapkan kakap Bunga Rampai Layangan Angin itu serta alat senjata alat peperangan.”

 

Maka Bujang Selamat terus menjunjung titah Raja dan bermohon pergi mendapatkan mualim, jurumudi, jurubatu sekeliannya.  Segeralah jurumudi mengerakan sekelian hulubalang memuatkan obat bedil peluru serta menyiapkan meriam senapang apa yang kurang disuruh ditambahi.

 

 Setelah selesai segala persiapan, jurumudi, hulubalang dan mualim mengajarlah anak dara apa yang patut. Tinggal sekelian anak dara;  ada yang menjadi mualim, jurumudi, jurubatu masing masing dengan jawatannya. 

 

 

hikayat

 

 

Setelah selesai segala persiapan dan cukup bekalan, Puteri Dayang Nuraimah menaiki kakap Bunga Rampai Layangan Angin lengkap dengan senjata api di laut. Maka kakap pun belayar.

 

Jauh di laut, kakap Bunga Rampai Layangan Angin itu begitu baik pengendaliannya oleh juru malim, jurumudi, juru batu, begitu laju layarnya. Tidak lama kemudian, puteri itu terlihatlah geliong panjang kepunyaan puteri Jawa Puteri Dayang Seri Jawa.  Puteri Dayang Nuraimah mengarahkan melabuhkan sauh.

 

Kedua-dua kapal menaikkan bendera kuning, tanda hormat dan arif hal laut dan dijemputlah Puteri Dayang Seri Jawa supaya Puteri Dayang Nuramah menaiki geliong, disambut dengan sireh, dan bertukar pantun - sungguh berbudi bahasa di kalangan puteri bangsawan.

 

Dengan beradab mereka bersapa di tengah lautan.

 

LANGKASUKA

Tersebutlah legenda Langkasuka bukti keindahan seluruh Dunia Melayu. Keberadaan terawalnya bagai legenda agung yang hilang dari ingatan, dirahsiakan. Diperintah oleh Raja Sang Tawal diwarisi kedua anakanda iaitu Raja Bharubhasa dan Puteri Arduga Wijamalai. Inilah titik mula kerajaan Langkasuka yang kemudiannya diperluaskan oleh Raja Bharubasa bermaharajalela di Kerajaan Cermin meliputi Semenanjung, Champa, Kemboja dan Samudera.

 

 

langkasuka

 

 

Langkasuka memang sebuah kerajaan yang wujud dalam memori Dunia Melayu. Kerajaan ini muncul dalam pelbagai rekod dan legenda lama di Siam, China dan Hikayat Merong Mahawangsa kita sendiri.

 

Antara kisah terawal dalam Hikayat Merong Mahawangsa, epik Melayu yang paling agung, mengisahkan tentang penempatan yang aman dan makmur telah menyaksikan pertempuran seorang perkasa menentang Garuda yang ganas.

.

RajaMerong Mahawangsa belayar dari barat ke timur dalam perjalanan ke China, mengiringi putera Rom ke majlis perkahwinannya dengan puteri China. Namun, apabila bahtera mereka memasuki perairan Selat Melaka, mereka diserang oleh garoda yang tinggal di Langkapuri.

 

Raja Merong Mahawangsa berlindung di tanjung yang indah. Penduduk tanah itu membina kubu dan istana untuk Raja Merong Mahawangsa dan mengangkatnya sebagai raja.

 

Kerajaan baru itu bernama Langkasuka. Apabila Raja hendak mencarikan pengantin untuk puteranya, dia melihat ke Aceh dan Kelinggi.

 

Maka sembah Menteri tua yang keempat, “Tiada tuanku negeri yang dekat dekat ini; patek sekelian beroleh khabar hanya yang ada negeri pun khabaran di Pulau Perca, Negeri Aceh. Namanya Tuanku ada di susur laut jua negeri itu, banyak jua takluknya. Dan jauh pelayarannya 25 hari lamanya daripada sini dan halanyasebelah tanah daratan kit aini ada sebuah negeri pula. Nama rajanya Kelinggi, lautnya daripada sebelah kita datang jua, negeri itupun jauhlah jua pelayarannya itu hingga sebulan belayar maka sampailah; terlalu banyak segala yang Ajaib di dalam negeri itu – Hikayat Merong Mahawangsa

 

 Hikayat jelas menceritakan perjalanan kapal belayar antara negeri.

 

Hari ini, kita mengetahui bukti yang didokumentasikan tentang kewujudan Kerajaan Melayu ini sebagai rujukan dalam teks kuno Cina dan India menunjukkan kewujudan tamadun awal berhampiran Gunung Jerai, Kedah sekitar 100 Masihi. Sebagai contoh, rekod Cina dari Dinasti Liang (c. 500AD) merujuk kepada Lang-ya-xiu, yang diterima umum sebagai Langkasuka. Dan sami Yi Jing merakam pertemuannya dengan sami dari Lang-chia-su dan kemudian semasa Dinasti Song(960-1279AD), kerajaan itu dikenali sebagai Lang-ya-se-chia.


 

hikayat

 


HIKAYAT RAJA PASAI

Pasai Samudera cukup terkenal sebagai kerajaan di utara kepulauan Sumatera. Negeri ini dikatakan pernah dilawati pengembara hebat Ibn Batutta dan juga Marco Polo.

 

Dalam Hikayat Pasai ini diceritakan diakhir kisah, Ratu Majapahit marah tidak terkira apabila mendapat tahu puterinya Puteri Gemerencang mati lemas di Pasai. Ratu Majapahit mengerah pendekarnya menyerang Pasai.

 

Senapati pun mengerahkan segala Menteri, penggawa, dengan segala rakyat naik kebahteraannya masing-masing bermuat segala arta rampasan dan orang tawanan terlalu banyak dimuatkannya, hingga saratlah segala kelengkapan itu seperti berenang di udara.  Demikianlah rupanya segala kelengkapan.  Maka sekaliannya pun belayarlah kembali ke negerinya dengan kemenangannya, sepanjang laut dengan tempik soraknya.  Hatta, berapa lamanya ia di laut, maka sampailah ia ke Jambi dan ke Palembang.  Maka singgahlah ia di Jambi dan di Palembang.  Maka kedua buah negeri itupun menunggu dan berserah senjata, maka takluklah kedua buah negeri itu ke Majapahit.

 

Dalam perjalanan balik ke Majapahit, askar Majapahit menawan Jambi dan Palembang serta membawa balik ramai tawanan perang dan para ulama.

 

 

majapahit

 

Kisah dari Hikayat Pasai dan juga hikayat lain sebelum ini menunjukkan betapa Dunia Melayu itu disulami kisah pelayaran hebat. Janganlah anak muda kita lupa warisan hebat ini dan semoga semangat pelayar pelayar berani zaman dahulukala memberi inspirasi pada kita untuk berani mengembara di dunia yang luas ini.

 

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA