Kolej 17 UPM kini dikenali sebagai Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee | DagangNews Skip to main content

Kolej 17 UPM kini dikenali sebagai Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee

Oleh Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG 26 Jun - Kolej 17 Universiti Putra Malaysia (UPM) kini dikenali dengan nama baharu iaitu Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee pada Majlis Makan Malam Kilauan Berjasa ke-14, baru-baru ini.

 

Pengetua Kolej 17, Prof Madya Dr Jasronita Jasni berkata, pertukaran nama tersebut merupakan satu inisiatif yang diambil oleh pengurusan UPM dalam usaha penjenamaan semula nama-nama kolej kediaman berinspirasikan nama tokoh terkemuka yang berkaitan dengan bidang pelajaran pelajar.

 

“Umum mengetahui bahawa Allahyarham Tan Sri Mustaffa Babjee merupakan tokoh akademik terkemuka dalam bidang perubatan, perubatan veterinar serta sains kesihatan yang telah banyak menyumbang bakti sama ada di peringkat kebangsan mahupun antarabangsa.

 

“Usaha penjenamaan semula kolej ini juga telah bermula sewaktu Naib Canselor UPM, Prof Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman menyandang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor UPM manakala Prof Dr Daud Ahmad Israf Ali sebagai pengetua Kolej 17,” katanya.

 

Majlis yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM itu turut meraikan pelajar yang telah berbakti kepada Kolej 17 sepanjang sesi 2021/2022.

 

Prof Madya Dr Jasronita berkata pihaknya ingin melihat pelajar Kolej 17 dapat melahirkan kelompok graduan yang berkualiti dan memenuhi kehendak keperluan pekerjaan yang semakin kompetitif.

 

“Perkara ini sejajar dengan Matlamat Satu dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

 

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 


“Justeru itu, penganjuran program yang bersifat holistik adalah penting untuk membentuk keseimbangan spiritual, fizikal, emosi dan intelek bakal graduan,” katanya ketika berucap.

 

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Sri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Naib Canselor UPM, Prof Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, dan waris kepada Allahyarham Tan Sri Ahmad Mustaffa Babjee. - DagangNews.com