Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KUPTM) naik taraf universiti penuh | DagangNews Skip to main content

Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KUPTM) naik taraf universiti penuh

Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan) menyerahkan perisytiharaan naik taraf universiti UPTM kepada CEO kolej universiti, Nordin Ahmad di Putrajaya pada 23 Feb 2022.

PUTRAJAYA 23 Feb. – Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur atau KUPTM, mencatat sejarah baharu apabila diiktiraf sebagai universiti penuh.


 
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KUPTM kini dikenali sebagai Universiti Poly-Tech Malaysia, UPTM.


 
“KUPTM sebelum itu dikenali sebagai Kolej Poly-Tech MARA, KPTM, yang ditubuhkan pada 1987 yang kemudiannya  dinaiktaraf kepada kolej universiti pada Oktober 2015.


 
Selepas lima tahun, KUPTM layak untuk memohon untuk kenaikan taraf kepada universiti penuh dan Alhamdulillah kita telah berjaya mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


 
Jelas Mahdzir, KUPTM telah membuat pembentangan permohonan naik taraf universiti penuh kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 1 Disember 2020.


 
Kelulusan penubuhan universiti telah diterima daripada KPT pada 31 Mac 2021 dengan beberapa syarat sebelum pendaftaran taraf universiti penuh.


 

kuptm

 

kuptm

 

kuptm

 


Seterusnya, pada 21 Februari 2022 , KPT telah bersetuju dengan memberi kelonggaran syarat pendaftaran pertama Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Swasta bertaraf universiti.


 
Ini membolehkan nama UPTM digunakan secara rasmi dengan mematuhi syarat utama dalam tempoh 5 tahun beroperasi sebagai universiti.


 
“Tujuan penubuhan satu lagi universiti di bawah MARA adalah sebagai pelengkap eko sistem pendidikan tinggi MARA yang memfokuskan kepada kebitaraan perniagaan dan perakaunan.


 

kuptm


 

kuptm

 

kuptm

 


KUPTM juga aktif dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan inovasi diperingkat nasional dan antarabangsa.”


 
Sepanjang penubuhan sebagai kolej universiti, KUPTM telah menawarkan 14 program Ijazah Sarjana Muda,  4 Program Sarjana dan 2 program Ijazah Doktor Falsafah.


 
KUPTM mempunyai 155 orang ketua penyelidik yang telah menghasilkan 111 projek penyelidikan serta menerbitkan 198 artikel ilmiah dalam pelbagai jurnal.


 
“Dengan penubuhan UPTM, sektor pendidikan tinggi negara diperlihatkan pada landasan betul dan dapat merealisasikan dan mendokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi Pendidikan Tinggi 2015-2025, seterusnya dapat membangunkan modal insan dan melahirkan graduan bertaraf global”, kata Mahdzir. - DagangNews.com