Kos bahan binaan untuk semua kategori bangunan didapati meningkat | DagangNews Skip to main content

Kos bahan binaan untuk semua kategori bangunan didapati meningkat

Kenaikan harga bagi kebanyakan bahan binaan seperti besi adalah disebabkan kenaikan kos bahan mentah.

PUTRAJAYA 11 Mac - Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) tanpa bar keluli bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.3 dan 1.5% untuk hampir semua kategori bangunan pada Februari 2022 berbanding pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi ialah bangunan konkrit bertetulang dua hingga empat tingkat (berbumbung rata) dengan 1.5% di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

 

"IKB tanpa bar keluli di Sabah dan Sarawak pula meningkat di antara 0.1 dan 2.8% bagi hampir semua kategori bangunan, dengan kategori bangunan yang mencatatkan peningkatan tertinggi di Sabah dan Sarawak adalah bangunan lima tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Kota Kinabalu dan cerucuk di Sibu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, IKB termasuk bar keluli pada Februari 2022 bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meningkat antara 0.3 dan 5.2% berbanding bulan sebelumnya bagi hampir semua kategori bangunan, kata Mohd Uzir.

 

"Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Malaysia ialah bangunan lima tingkat dan lebih (untuk penginapan) dan bangunan lima tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Johor dengan 5.2%, Kota Kinabalu, Sabah (1.7% bagi hampir semua kategori bangunan) dan Sibu, Sarawak dengan 5.8% bagi cerucuk,” katanya.

 

Mohd Uzir dalam pada itu berkata, harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan mycon 60 high tensile deformed bars meningkat 3.0% berbanding 1.6% pada bulan sebelumnya.

 

"Peningkatan tertinggi bagi besi direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dengan 5.1% dan diikuti oleh Sarawak sebanyak 6.7%," katanya.


 

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
                       Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 


Beliau berkata, kenaikan harga bagi kebanyakan bahan binaan seperti besi adalah disebabkan kenaikan kos bahan mentah.

 

"Data World Bank Commodities Price menunjukkan harga bijih besi meningkat 7.8% kepada AS$142.84 unit kering setiap tan metrik  (dmtu) pada Februari 2022 berbanding AS$132.53 setiap dmtu pada bulan sebelumnya.

 

"Selain harga bijih besi, harga bahan logam dan mineral lain seperti aluminium, tembaga, plumbum, timah, nikel dan zink juga menunjukkan trend menaik pada Februari 2022," katanya. - DagangNews.com