KPM komited pastikan persekolahan secara bersemuka sepanjang 2022 | DagangNews Skip to main content

KPM komited pastikan persekolahan secara bersemuka sepanjang 2022

Datuk Dr Radzi Jidin berbual dengan seorang daripada pelajar pada majlis penyampaian komputer riba dan pelan data kepada pelajar sekolah pada Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan Tahun 2022 di Putrajaya pada 14 Januari 2022.


 

PUTRAJAYA 15 Jan - Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan sesi persekolahan secara bersemuka untuk sesi 2022 dapat dilaksanakan sepanjang tahun ini melalui pelaksanaan beberapa inisiatif antaranya berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kata Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin.

 

Beliau berkata pihaknya juga akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pelajar dapat hadir bersemuka ke sekolah walaupun menyedari terdapat risiko peningkatan jangkitan COVID-19.

 

"Sekolah ni kadang-kadang apabila mula dibuka, dah mula rasa selesa, jadi kita dah minta pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan SOP sentiasa dipatuhi terutama pemakaian pelitup muka dan pengudaraan.

 

"Pengudaraan merupakan satu lagi komponen yang kita sentiasa tekankan bukan saja dalam kelas tetapi termasuk di bilik guru dan bilik khas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di sini, Jumaat, lapor Bernama.

 

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan komputer riba dan pelan data sumbangan wang wakalah zakat kepada 42 penerima anak asnaf dari sekolah rendah dan menengah di sekitar Putrajaya.

 

"Kita sentiasa duduk berbincang mengambil pandangan KKM dan kita yakin dengan kerjasama ibu bapa, anak-anak dan sekolah, insya-Allah anak-anak kita dapat terus hadir secara bersemuka untuk 2022," katanya.


 

radzi jidin

 


Sementara itu, Radzi berkata KPM pada tahun ini akan menumpukan kepada pembangunan kurikulum baharu.

 

"Kurikulum ni ada kitarannya dan untuk tahun ini kitarannya dah tamat. Bermakna murid Tahun Enam dah lengkap kitaran kurikulum semasa.

 

"Kita ambil kira semua pandangan yang diberikan dan insya-Allah kita akan pastikan supaya pembangunan kurikulum ini dapat mengambil kira bukan saja pandangan tetapi keadaan dan persekitaran di luar sana bagi memastikan anak-anak kita bersedia apabila mereka keluar dari sistem pendidikan dalam tempoh enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.

 

“Pada waktu itu apa yang dipelajari masih relevan dengan keadaan semasa," katanya.


 

radzi jidin

 

radzi jidin

 


Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM juga sedang membangunkan satu sistem yang merekod dan menyimpan aset-aset serta bil utiliti sekolah dalam usaha memastikan pembaziran dapat diminimumkan.

 

Beliau berkata, sepanjang lawatannya selama 22 bulan ke lebih 277 institusi pendidikan, didapati berlaku pembaziran air memandangkan walaupun sekolah ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan dan tiada pelajar, namun bil air masih mencecah ribuan ringgit sebulan.

 

"Kita sedang bangunkan satu sistem supaya kesemua bil air ini diletakkan dalam satu papan pemuka bagi membolehkan pengetua dan guru melihat bil air mereka berbanding sekolah-sekolah lain dan melihat sekolah manakah bil airnya melebihi kadar nisbah ditetapkan.

 

"Ini juga membolehkan kita melihat apakah puncanya dari sudut pembaziran itu sendiri ataupun paip lama yang telah bocor di bawah sana (tanah). Jadi kita tahu puncanya dan membolehkan kita melaksanakan intervensi yang lebih cekap untuk kita pastikan supaya dapat jimat perbelanjaan utiliti," katanya.


 

radzi jidin

 


Selain itu, Radzi berkata satu sistem pengurusan inventori yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan bertujuan merekodkan aset-aset di sekolah supaya sekiranya ada aset yang tidak digunakan di sekolah itu, ia dapat dipindahkan ke sekolah lain yang memerlukan.

 

"Hasil lawatan, kita lihat banyak aset kementerian yang tidak diguna secara optimum. Contoh ada berberbelas ketuhar tidak diguna sedangkan ada keperluan untuk institusi kita yang melaksana program katering, jadi kita boleh pindahkan.

 

"Perabot-perabot yang rosak...kita ada satu senarai di manakah sekolah yang ada lebihan perabot akan di bawa dari sekolah ini ke sekolah yang memerlukan. Jadi ia merupakan pendekatan pengurusan aset yang lebih cekap," katanya. - DagangNews.com