KPMG disaman kerajaan - buktikan Serba Dinamik bukan melangkah sumbang | DagangNews Skip to main content

KPMG disaman kerajaan - buktikan Serba Dinamik bukan melangkah sumbang

SHAH ALAM 10 Julai – Tindakan terbaru kerajaan Malaysia menyaman KPMG, membuktikan langkah seumpamanya yang diambil Serba Dinamik Holdings Berhad ke atas firma audit itu, bukan suatu `langkah sumbang' terhadap satu daripada 4 firma audit terbesar di dunia.

 

Ramai pihak mengkritik dan mengecam Serba Dinamik semasa mengemukakan writ saman tersebut kepada KPMG pada 22 Jun, malah menganggap Serba Dinamik tidak berpeluang memenangi kes tersebut.

 

Semalam tidak semena-mena, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa Writ dan Pernyataan Tuntutan telah difailkan terhadap 44 rakan-rakan kongsi KPMG pada 6 Julai 2021.

 

“Kerajaan Malaysia, Menteri Kewangan Inc, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikat 1MDB merupakan Plaintif di dalam perkara ini. Tuntutan tersebut berkaitan dengan kerja-kerja audit 1MDB oleh KPMG bagi tahun 2010 hingga 2012,” menurut jurucakap MOF.

 

Ini sekaligus bermakna kes saman kedua yang diterima KPMG dalam kurang sebulan, selepas Serba Dinamik menyaman firma audit luarannya atas dakwaan kecuaian, melanggar kontrak dan melanggar tugasan statutori.

 

“Reputasi dan kredibiliti KPMG kini berdepan risiko musnah berikutan saman terbaru ke atas mereka oleh kerajaan Malaysia,” kata pengerusi Serba Dinamik, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed kepada FocusM.

 

Mohamed Ilyas tidak menyimpan perasaannya terhadap KPMG. “Inilah sebabnya kami menyifatkan KPMG sebagai `shop lot auditor’. Saya tahu ramai orang marah dengan kenyataan saya tetapi sekarang jelas apa yang saya maksudkan adalah benar belaka".

illyas mohamed
                           Datuk Ilyas Pakeer Mohamed

 

KPMG merupakan juruaudit untuk 1MDB antara tahun 2010 hingga 2012, dan telah dipecat sebagai auditor setelah firma itu enggan meluluskan akaun tahun kewangan 2013.

 

Menurut dokumen yang diperoleh The Edge Markets, plaintif (kerajaan Malaysia) mendakwa antara 2009 dan 2014, kira-kira AS$5.64 bilion telah disalahguna dari akaun 1MDB dan subsidiari bagi manfaat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sekutu atau wakilnya.

 

Daripada AS$5.64 bilion itu, sejumlah AS$3.197 bilion telah digelapkan semasa tiga tahun kewangan di mana KPMG merupakan juruaudit 1MDB.

 

Ketika pasaran ditutup petang Jumaat, kaunter Serba Dinamik meningkat 1.5 sen atau 3.41% menjadi 45.5 sen sesaham dengan 311.16 juta saham didagangkan, menjadikannya saham paling aktif di bursa, menaikkan modal pasaran syarikat kini ke paras RM1.7 bilion. – DagangNews.com